Jutawan Arab Saudi yang berjaya mengubah hidup beliau daripada
seorang rakyat miskin hingga berjaya mengumpul kekayaan, Sulaiman
Al-Rajhi, merupakan seorang dermawan yang terkenal di dunia. Beliau adalah pengasas Bank Al-Rajhi, bank Islam terbesar di dunia, dan salah satu daripada syarikat terbesar di Arab Saudi. Sehingga
2011, kekayaan beliau telah dianggarkan oleh majalah Forbes, bernilai
sebanyak AS$ 7.7 bilion sekali gus disenaraikan sebagai orang ke-120
yang terkaya di dunia. Yayasan Saar milik beliau adalah sebuah organisasi amal yang terkenal di negara tersebut.
Keluarga
Al-Rajhi dianggap sebagai salah satu daripada keluarga kaya yang BUKAN
daripada keluarga diraja, dan mereka adalah antara dermawan terkemuka
di dunia. Walaupun Al-Rajhi adalah seorang
jutawan, tetapi beliau memilih untuk menjadi ‘miskin’ sehinggakan
beliau tidak mempunyai sebarang wang dan juga saham yang dimiliki
beliau sebelum ini.
'Wawancara EKSKLUSIF' yang meng'insaf'kan bersama Al Rajhi, Klik TAJUK ENTRI ni
Keadaan tersebut terjadi apabila
beliau memindahkan kesemua aset yang dimiliki kepada anak-anak beliau
dan mendermakan aset-aset yang selebihnya. Bagi menghargai jasa
beliau terhadap dunia Islam, termasuk mengasaskan bank Islam terbesar
dunia dan juga segala usaha yang dijalankan untuk membasmi kemiskinan,
Al-Rajhi telah dipilih untuk menerima Anugerah Antarabangsa Raja Faisal
atas jasa beliau kepada Islam. Dalam satu wawancara yang dibuat oleh Muhammad Al-Harbi dari Al-Eqtisadiah Business Daily,
Al-Rajhi menceritakan tentang bagaimana beliau mampu meyakinkan
ketua-ketua bank di dunia, termasuk Bank of England, hampir 30 tahun
lalu, bahawa bayaran ‘faedah’ adalah sesuatu yang haram bagi kedua-dua
agama iaitu Islam dan Kristian, dan bank secara Islam adalah
penyelesaian yang terbaik bagi menaikkan taraf ekonomi dunia.
Kisah Al-Rajhi berkisarkan tentang bagaimana seseorang itu meraih kekayaan dari bawah. Beliau
terpaksa melalui kesusahan ketika beliau kecil sebelum menjadi kaya,
dan kemudiannya meninggalkan segala harta yang ada setelah mengecapi
kejayaan. Al-Rajhi masih lagi aktif dalam bekerja walaupun usia beliau telah mencecah lebih daripada 80 tahun. Beliau memulakan tugas harian sejurus selepas solat Subuh dan terus bekerja hingga selepas solat Isyak. Beliau
kini sedang memberikan tumpuan terhadap Yayasan SAAR, dengan
berulang-alik di negara-negara Arab bagi menguruskan segala hal-hal
yang berkaitan dengan yayasan tersebut.
Beliau sering membawa
diari kecil untuk mencatatkan aktiviti harian beliau dan sentiasa
memastikan tidak akan terlepas dari satu aktiviti pun. Al-Rajhi juga merupakan seorang yang amat berjaya dalam apa jua bidang yang beliau ceburi. Selain
daripada mengusahakan bank Islam terbesar dunia, beliau juga telah
mengasaskan ladang binatang ternakan yang terbesar di Timur Tengah. Daripada
segi perladangan, beliau telah menjalankan banyak eksperimen ternakan
secara organik di negara-negara Arab, termasuk perladangan udang
Al-Laith. Beliau juga turut mengasaskan perniagaan hartanah dan juga
beberapa lagi pelaburan.
Temubual:
Sheikh Suleiman, adakah anda kini telah menjadi miskin semula?
Ya. Kini apa yang saya miliki hanyalah pakaian-pakaian saya. Saya telah
membahagikan harta saya kepada anak-anak dan juga mendermakan
selebihnya untuk menjalankan projek-projek amal. Ini bukanlah sesuatu
yang aneh bagi saya. Kedudukan kewangan saya kini telah menjadi kosong
sebanyak dua kali dalam hidup saya. Jadi, saya amat faham akan keadaan
ini. Namun, kini perasaan itu dipenuhi dengan kegembiraan dan juga
ketenangan. Sememangnya saya yang memilih untuk menjadi miskin.
Mengapa berbuat begitu?
Segala kekayaan dimiliki oleh Allah s.w.t, kita hanyalah ditugaskan
untuk menjaga kekayaan tersebut. Ada beberapa sebab mengapa saya
memilih untuk memilih jalan ini. Antara sebab-sebab utamanya adalah
saya perlu menjaga sahabat-sahabat Islam dan juga anak-anak saya. Ia
adalah antara perkara yang paling penting dalam hidup. Saya juga tidak
suka untuk membuang masa di mahkamah hanya kerana ada antara mereka
yang tidak bersetuju dengan jumlah harta yang diwariskan kepada mereka.
Terdapat banyak contoh di mana anak-anak mula berpecah hanya kerana
harta yang kemudiannya menghancurkan syarikat. Negara ini telah banyak
kehilangan syarikat-syarikat besar kerana perbalahan harta yang boleh
diselesaikan jika kita mencari jalan penyelesaian yang lebih berkesan.
Selain daripada itu, setiap umat Islam perlu bersedekah sebagai bekalan
pahala di akhirat kelak, Jadi, saya lebih suka jika anak-anak saya
mencari kekayaan sendiri daripada bergantung dengan saya.
Adakah Sheikh mempunyai banyak masa terluang setelah membahagikan kesemua harta?
Seperti yang telah saya maklumkan tadi, saya masih lagi bekerja keras
untuk mendapatkan lebih derma. Saya telah bekerjasama dengan pelbagai
agensi bagi menjayakan projek ini. Secara kebiasaanya, umat Islam
sering membahagikan satu per tiga ataupun suku daripada kekayaan mereka
untuk bersedekah yang hanya akan diberikan setelah mereka meninggal
dunia. Namun, bagi saya, saya mahu mula bersedekah ketika saya masih
hidup. Jadi, saya telah membawa anak-anak saya ke Mekah pada hujung
bulan Ramadhan dan memberitahu mereka idea saya. Mereka bersetuju
terhadap idea tersebut. Saya telah meminta bantuan daripada
agensi-agensi yang berkaitan untuk membahagikan kesemua harta saya
termasuk saham dan juga hartanah kepada anak-anak dan juga untuk
didermakan. Kesemua anak-anak saya berpuas hati terhadap inisiatif saya
dan mereka kini sedang menguruskan segala harta yang saya berikan
kepada mereka.
Berapa banyak harta yang dibahagikan kepada anak-anak dan juga untuk didermakan?
Beliau tergelak tanpa memberi sebarang jawapan.
Apakah perasaan Sheikh terhadap kesemua projek yang sedang dijalankan?
Saya ingin menegaskan bahawa terdapat beberapa faktor yang saya ambil
sebelum melakukan sebarang pelaburan. Eksperimen yang saya lakukan
terhadap pertukaran wang adalah salah satu daripada sebab mengapa saya
mengasaskan bank. Ketiadaan bank Islam juga menjadi antara sebab
mengapa saya mula mengasaskan Bank Al-Rajhi, yang kini merupakan bank
Islam terbesar di dunia. Saya mulakan eksperimen saya dengan membuka
pejabat di Britain dimana kami mula memperkenalkan sistem perbankan
Islam ke peringkat yang lebih besar. Eksperimen tersebut kemudiannya
mula berkembang dan ia mula mendapat sokongan daripada ulama-ulama
Saudi pada ketika itu. Saya masih ingat lagi bagaimana permohonan saya
untuk mendapatkan lesen untuk membuka bank tidak diterima pada mulanya.
Ini adalah kerana pihak British tidak memahami apa-apa pun tentang
sistem perbankan Islam. Saya kemudiannya pergi ke London dan berjumpa
dengan Pengurus Bank of England dan dua daripada pegawai kanan beliau.
Saya memberitahu mereka bahawa penggunaan faedah adalah haram bagi
Islam dan juga Kristian dan kebanyakan daripada mereka sanggup
menyimpan wang mereka di dalam kotak di rumah daripada menyimpan di
dalam bank. Saya cuba untuk meyakinkan mereka bahawa (jika mereka mula
membuka bank Islam) ini mampu menaikkan taraf ekonomi dunia. Mereka
akhirnya bersetuju untuk mula membuka bank-bank Islam. Saya kemudiannya
mula mengembara ke serata dunia di bahagian Timur dan Barat, dan
berjumpa dengan ketua-ketua bank negara di beberapa buah negara dan
memberitahu mereka bagaimana ciri-ciri yang terdapat dalam dunia
ekonomi Islam. Kami mula bekerja dan mencapai kejayaan di negara-negara
Arab dan melaksanakan perbankan Islam di London, saya kemudiannya
berjumpa dengan Mufti Besar Sheikh Abdul Aziz bin Baz dan Sheikh
Abdullah bin Humaid, dan memberitahu mereka tentang rancangan saya
bahawa : ‘Kita mampu, dengan izin Allah, memajukan perbankan Islam.
Mereka memuji saya atas inisiatif yang saya jalankan. Dari situlah kami
mula mengusahakan Bank Al-Rajhi seperti mana yang anda dapat lihat hari
ini. Bagi projek Ladang Ternakan Al-Watania pula, saya mula mendapat
inspirasi untuk menjalankan projek tersebut apabila melawat ladang
ternakan di luar negara. Saya dapati bahawa cara mereka menyembelih
adalah salah. Saya kemudiannya mengambil keputusan untuk melabur dalam
bidang ternakan atas nama Islam dan negara. Saya tetap menjalankan
projek tersebut walaupun membuat pelaburan dalam industri ternakan
adalah sesuatu yang agak berisiko pada masa tersebut. Kini, Al-Watania
telah menjadi salah satu daripada projek mega di Saudi. Syarikat
tersebut mendapat 40 peratus daripada saham di negara-negara Arab, dan
ayam-ayam Al-Watania diberikan makanan yang cukup dan disembelih dengan
cara yang halal menurut undang-undang syariah.
Walaupun dengan semua kekayaan yang dimiliki, mengapa syeikh tidak mempunyai satu pun kapal terbang sendiri?
Saya ada banyak kapal terbang, tetapi kesemuanya dimiliki oleh
syarikat-syarikat penerbangan tertentu. Saya memilikinya setiap kali
saya membayar tiket penerbangan untuk ke satu-satu destinasi (gurauan).
Saya sering terbang dengan kadar kelas ekonomi kerana Allah tidak
memberikan kita harta untuk ditunjuk-tunjuk.
Bagaimana pula dengan hobi syeikh?
Saya tidak mempunyai sebarang hobi yang khusus. Bagaimanapun, saya suka
mengembara di padang pasir. Saya tidak pernah mengambil pakej percutian
di negara-negara lain selain dari Saudi.
Ketepatan masa Al-Rajhi
Wawancara ini telah menunjukkan bagaimana disiplin Al-Rajhi dalam
menepati masa. “Pada awal karier saya dalam industri, saya mempunyai
beberapa perjumpaan dengan beberapa syarikat besar di Eropah. Saya
masih ingat lagi kisah dimana saya terlambat selama beberapa minit
dalam satu perjumpaan dengan salah seorang pegawai besar sebuah
syarikat. Walaupun hanya beberapa minit, beliau tidak mahu meneruskan
perjumpaan tersebut. Selepas kejadian tersebut, setelah projek kami
mula berkembang, pegawai yang sama pula lambat untuk berjumpa dengan
saya, jadi, saya pula yang tidak mahu meneruskan perjumpaan tersebut.
Saya sering membawa kertas untuk menulis segala perjumpaan dan urusan
dan sentiasa memastikan agar saya sering menepati masa walau apa pun.”
Al-Rajhi berkata lagi: Saya amat menepati segala perkara yang
diterapkan dalam Islam sepanjang hidup saya. Saya pernah mendapat
undangan daripada kerajaan Arab untuk menghadiri satu persidangan yang
berkaitan dengan pelaburan. Kemudiannya, dalam persidangan yang sama,
saya dijemput untuk mengambil bahagian dalam majlis makan malam mereka,
saya dapati bahawa antara aktiviti yang dijalankan ketika majlis
tersebut adalah bertentangan dengan ajaran Islam. Saya kemudiannya
keluar dari majlis makan malam tersebut. Kemudian, Abdul Aziz
Al-Ghorair dari UAE turut serta bersama saya. Tidak lama selepas itu,
menteri yang bertanggungjawab terhadap persidangan tersebut datang
kepada kami dan kami mula menerangkan kepada beliau bahawa aktiviti
yang dijalankan di majlis tersebut adalah bertentangan dengan budaya
Islam. Beliau kemudiannya berkata bahawa aktiviti-aktiviti di majlis
tersebut akan dibatalkan. Apabila mereka membatalkan aktiviti tersebut,
kami kembali menyertai majlis tersebut.
Penyelesaian Masalah
Al-Rajhi berkata: Pada satu masa, salah satu daripada kilang yang
diuruskan oleh anak saya habis dijilat api. Apabila dia datang untuk
memaklumkan perkara tersebut kepada saya, saya memberitahu: Sebut
Alhamdulillah. Saya meminta anak saya supaya tidak membuat sebarang
laporan tentang kerugian yang dialami bagi meminta pampasan daripada
pihak berkuasa. Sebaliknya, pampasan yang diberikan oleh Allah adalah
lebih penting bagi kita. Assam Al-Hodaithy, Pengurus Kewangan bagi
syarikat Ternakan Al-Watania berkata: “Apabila kilang tersebut
terbakar, kami telah membuat keputusan untuk tidak menyakiti hati
Al-Rajhi dengan memberitahu beliau tentang apa yang terjadi. Kami
kemudiannya berjumpa dengan beliau keesokan harinya dan memberitahu
akan perkara yang terjadi, beliau mengarahkan kami untuk berpindah ke
tempat lain dan membersihkan segala kerosakan sehingga semuanya
dibaiki.” Perkara yang sama terjadi di satu lagi projek Al-Watania di
Mesir. Syarikat tersebut kerugian kira-kira SR10 juta Pound Mesir.
Apabila pegawai projek tersebut menghubungi Al-Rajhi untuk memberitahu
perkara tersebut, beliau terkejut apabila Al-Rajhi menjawab dengan
menyebut: “Alhamdulillah.”
No comments:
Post a Comment
"Semua artikel dalam blog ini dikongsikan untuk tujuan ilmu pengetahuan dan masih boleh dibincangkan & dipersoalkan kebenarannya. Ketepatan & kesahihan maklumat dalam blog ini perlu dibandingkan dengan sumber-sumber lain agar tidak terjadi anggapan penyebaran maklumat palsu atau fitnah. Sebarang maklumbalas berkaitan boleh diajukan kepada Abe di queachmad [at] queachmad [dot] com"