Memandang dengan wajah yang sayu, anak itu tidak dapat
berbuat apa-apa untuk menyelamatkan rumah salai kelapa yang dibina
bersama neneknya dari rentung dijilat api. Pada hari itu,
bukan sahaja salah satu punca pendapatan keluarganya hilang, malah dia
harus mencari jalan melangsaikan upah yang perlu dibayar kepada beberapa
orang perkerja.
Tertekan dengan kejadian itu, semangatnya tidak
patah, malah dia mampu berdiri di hadapan keluarganya bagi menyatakan
kesediaannya untuk bertanggungjawab atas kejadian tersebut, sedangkan
ketika itu dia cuma berusia 12 tahun. Akibatnya, anak itu
kehilangan biasiswa persekolahan dan terpaksa membuat kerja sambilan
dengan mengajar matematik kepada anak-anak seorang tauke Cina yang
bersekolah di darjah tiga dan empat.
baca lagi Klik TAJUK ENTRI ni
Akhirnya, hasil titik peluh anak kampung itu, beliau berjaya meringankan bebanan yang ditanggung oleh keluarganya. Peristiwa kebakaran rumah salai itu memberi kesan sangat mendalam di hati kecil anak itu dan masih kekal dalam ingatanya.
Pada 1979, 21 Tahun selepas kejadian kebakaran rumah salai neneknya,
anak kecil yang pernah menjual kelapa salai itu adalah Ketua Pegawai
Eksekutif (CEO) di Permodalan Nasional Berhad. Dua tahun kemudiannya, nama penjual kelapa salai itu menjadi sebutan masyarakat dan korporat antarabangsa.
Ini atas kejayaan mengetuai operasi ‘dawn raid’ di Bursa Saham London
dengan ‘membawa pulang’ syarikat ladang kelapa sawit gergasi
Malaysianized Guthrie (kini dikenali sebagai Kumpulan Guthrie Bhd). Dua puluh tujuh tahun selepas kejayaan ‘dawn raid’, anak itu dinobatkan pula sebagai Menteri Besar Selangor yang ke-14.
Demikian antara liku-liku kehidupan pernah ditempuhi Tan Sri Abdul
Khalid Ibrahim yang sempat dirakamkan beliau dalam buku sulongnya,
‘Fearless: From Kampung Boy To CEO’. Buku tersebut dilancarkan
oleh isteri Menteri Besar Selangor, Puan Sri Salbiah Tunut dalam satu
majlis yang diadakan di Hotel Sunway Pyramid hari ini.
Selain
menceritakan pengalaman beliau ketika meningkat dewasa, Abdul Khalid
turut menyelitkan tips-tips berguna dalam mengejar impiannya untuk
dikongsikan bersama masyarakat. Antara pengajaran penting yang
dikongsikan Khalid dalam buku setebal 76 halaman ini, beliau amat
menitikberatkan sikap bertanggungjawab dalam menjalankan tugas.
Selain isi kandungan yang padat dengan pengalaman perit dan lucu buku
ini bertambah menarik kerana dipersembahkan dengan gaya penyampaian
seolah-olah Abdul Khalid berkomunikasi secara intim dan mesra dengan
pembaca. Ketika ditemui semasa pelancaran, Abdul Khalid
memberitahu, buku yang dihasilkannya ini merupakan perintis kepada
penulisan bacaan yang lebih berat.
“Banyak kali rakan-rakan saya minta saya tulis buku pengalaman saya sebagai ahli korporat.
“Jadi saya hasilkan buku ini dahulu sebagai permulaan kepada penulisan
yang lebih berat, lebih bersifat akademik,” katanya kepada media selepas
pelancaran buku tersebut.
Menurut Abdul Khalid, hasil jualan buku yang berharga RM25 senaskhah ini akan disumbangkan ke rumah-rumah kebajikan. Buku ini sudah pun berada di pasaran dan boleh didapati di kedai-kedai terkemuka.
Buku yang mcm menarik...pasti sy cari..
ReplyDelete