MESTI BACA: Formula Mengubati ‘Penyakit’ Mulut Celupar Daripada Rasulullah SAW
9/23/2012 07:54:00 pm
Adakah anda pernah terfikir dan sedar
anda bermulut celupar? Sedarkah anda apabila kita berbicara, tanpa
disedari kita telah mengguris hati dan perasaan orang lain? Pernahkan
anda dipinggirkan kerana anda suka bercakap ‘lepas’?
Sebagai
manusia biasa, kita tidak pernah terlepas dan lari dari melakukan
kesilapan dalam segala tindakan serta percakapan harian. Rasulullah
telah meninggalkan beberapa petua untuk mengubati penyakit lisan dan
petua yang berguna untuk mengubati penyakit-penyakit lain seperti suka
memfitnah, mengumpat, menipu, bercakap kotor dan sebagainya selain
mulut celupar.
Pertama, Rasulullah menyuruh kita diam apabila terdorong untuk bertutur perkara yang tidak sepatutnya. Sahabat Abu Syuraih Al-Khuza’iy r.a. menyatakan bahawa Rasulullah pernah berpesan, “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia bercakap hanya perkara yang baik atau diam.”
baca lagi Klik TAJUK ENTRI ni
Kemudian,
Rasulullah menyuruh kita berzikir bagi mengimbangi aktiviti lidah.
Kebanyakan dari kita menggunakan lidah untuk kemudahan dan kepentingan
diri dan terlupa memuji pencipta lidah setiap hari. Kata-kata yang
dihasilkan oleh lidah dalam memuji pencipta lidah lebih sedikit
berbanding dengan kata-kata yang dihasilkan ketika berkomunikasi sesama
kita. Menurut sahabat Ibnu Umar, Rasulullah pernah berkata,
“Janganlah kamu banyak bercakap tanpa berzikir kepada Allah, kerana
sesungguhnya banyak bercakap tanpa berzikir kepada Allah mengakibatkan
kerasnya hati, dan orang yang paling jauh dengan Allah adalah orang
yang paling keras hati". Rasulullah pernah menyatakan menerusi
Imam Bukhari, terdapat dua kalimat zikir yang paling disukai oleh Allah
SWT yang sangat mudah diucapkan tetapi sangat berat untuk diamalkan.
Kedua-dua kalimat itu adalah ’subhanallah
wa bihamdihi’ dan ’subhanallah hil azim’ yang membawa maksud ‘Maha suci
Allah dan segala pujian kepadaNya’ dan, ‘Maha suci Allah yang Maha
Besar.’
Selain itu, dalam riwayat lain diceritakan,
sesiapa yang membaca ‘subhanallah wa bihamdihi’ sebanyak 100 kali
sehari, maka semua dosanya diampunkan oleh Allah SWT meski pun sebanyak
buih di lautan.
Ketiga, Rasulullah mengajar agar kita sentiasa
beristighfar untuk mengelakkan lidah kita dari terus ‘rancak’
membicarakan perkara yang kita sendiri tidak ketahui akan kesahihannya. Istighfar
bermaksud memohon keampunan dan kita digalakkan untuk beristighfar
sekurang-kurangnya dengan mengucapkan, ‘Astaghfirullahazim’ disertakan
‘perasaan menyesal’ di dalam hati.
Rasulullah dalam amalan hariannya selalu beristighfar sebanyak 100 kali untuk mengelakkan keburukan dalam lidahnya. Jika
Rasulullah yang maksum dan baik tutur kata beristighfar kepada Allah
sebanyak itu, bagaimana pula agaknya jumlah kuantiti istighfar orang
yang mempunyai penyakit lisan?
Bagi mereka yang ingin berubah,
tidak salah kalau ingin mencuba dan mengamalkan formula dan teknik yang
Rasulullah amalkan supaya kita dapat memperbaiki diri serta tidak
sekali-kali ‘meletakkan’ manusia lain itu lebih rendah dari diri kita
sendiri. Yang baik itu eloklah kita ambil sebagai ilmu dan
pengajaran serta hindarilah perkara-perkara yang boleh membawa sifat
mazmumah dalam diri kita. Insyallah.
0 comments
"Semua artikel dalam blog ini dikongsikan untuk tujuan ilmu pengetahuan dan masih boleh dibincangkan & dipersoalkan kebenarannya. Ketepatan & kesahihan maklumat dalam blog ini perlu dibandingkan dengan sumber-sumber lain agar tidak terjadi anggapan penyebaran maklumat palsu atau fitnah. Sebarang maklumbalas berkaitan boleh diajukan kepada Abe di queachmad [at] queachmad [dot] com"