Sesungguhnya Allah, seperti yang tersebut dalam surah an-Nisa: 27
menyatakan kesungguhanNya untuk menerima taubat setiap hamba-Nya.
Walaupun mereka yang tunduk, kalah oleh runtunan hawa nafsu berusaha
untuk menyimpang, berpaling jauh daripada Allah, tidak mahu bertaubat.
Perlu
diinsafi dan disedari bahawa Allah itu amat suka dengan mereka yang
bertaubat (al-Baqarah: 222), biar beta pa banyak dosa yang dilakukan
oleh seorang hamba yang beriman. Sesungguhnya Allah itu amat menerima
taubat hamba-Nya (an-Nisa: 15 & 63).
baca lagi Klik TAJUK ENTRI ni
Dalam surah
at-Taubat: 104 dijelaskan firman Allah yang bermaksud: Tidakkah mereka
mengetahui bahawasanya Allah menerima taubat dari hamba-hamba-Nya dan
menerima zakat dan bahawasanya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha
Penyayang. Sesungguhnya bertaubat itu terlalu mudah. Taubat
bererti insaf, sedarkan diri terhadap kesalahan yang telah dilakukan
berserta azam tidak akan mengulangi dosa yang sama, juga lain-lain
dosa, di samping menjauhkan diri daripada wasilah (perantara) yang
boleh menyebabkan seseorang itu terlibat dengan dosa yang sama. Orang
yang berkenaan hendaklah melakukan banyak ibadah dan kebajikan.
Orang
yang bertaubat kerana minum arak, mesti menjauhkan diri dari
tempat-tempat di mana dia terlibat dengan arak, memutuskan hubungan
dengan teman-teman yang menggalak, memperkenal atau menemaninya minum
arak. Orang yang terlibat dengan zina mesti mengelakkan diri dari
tempat-tempat perzinaan, di lorong-lorong mati, hotel-hotel,
rumah-rumah urut dan sebagainya, juga memisahkan diri daripada
berhubung dengan GRO-GRO yang dilangganinya.
Allah seperti yang
dijelaskan dalam surah Isra’: 32, melarang setiap orang itu daripada
menghampiri zina. Tidak dijelaskan dalam ayat ini secara terus tentang
larangan zina, kerana perbuatan zina itu lumrahnya akan didahului oleh
wasitah atau perantaraan yang merangsang kepada zina, seperti
bercumbu-cumbuan, berkhalwat, menonton video lucah, minum arak dan
sebagainya.
Sekiranya wasitah ini dapat dielakkan, perbuatan zina
itu akan dapat dihindarkan. Sebaliknya perbuatan ini tidak dapat
dielakkan, besar kemungkinan zina itu akhirnya akan berlaku. Kerana itu
larangan Allah ini mesti dijauhi. Taubat itu adalah hidayah
daripada Allah, bagi mereka yang menginsafi diri. Taubat yang sebenar
adalah taubat nasuha, lahir daripada rasa menyesal hakiki, ikhlas,
berazam tidak mengulangi di samping memperbanyakkan ibadah. Biarpun
taubat itu begitu mudah, boleh dilakukan pada bila-bila masa, siang
atau malam, seseorang itu perlu memilih waktu juga tempat agar taubat
dan ibadah yang dilakukan itu dapat dihayati.
Waktu
yang elok untuk bertaubat di antaranya ialah pada satu per tiga malam
yang terakhir, iaitu lebih kurang selepas pukul 3 hingga 5 pagi. Itulah
yang dinamakan waktu mustajab. Pada waktu itu, seperti yang tersebut
dalam sebuah hadis dijelaskan bahawa Allah akan menerima taubat mereka
yang bertaubat dan menerima doa bagi mereka yang berdoa.
Dalam
sebuah hadis daripada Asma’ bin al-Hakam al-Fazari, beliau menyatakan
yang dia mendengar Saidina Ali berkata, bahawa beliau telah mendengar
satu hadis yang memberi manfaat kepadanya, di mana hadis tersebut
adalah daripada Saidina Abu Bakar, Rasulullah yang bersabda: Tidak ada
seseorang pun yang berdosa satu dosa, lalu dia bangun dan membersihkan
diri dan sembahyang, kemudian memohon keampunan Allah, kecuali Allah
mengampuni akan dia, kemudian dia membaca ayat ini (Ali-Imran: 135)
yang bermaksud: Dan orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau
menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah lalu memohon ampun
terhadap dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa
selain daripada Allah. Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya
itu sedangkan mereka mengetahui – hadis hasan.
Masalah
timbul apabila sebahagian daripada mereka yang melakukan dosa, tidak
kira dosa apa, besar atau kecil beranggapan bahawa taubat itu satu
urusan yang berat lagi sukar. Sukar untuk memahaminya, juga untuk
melakukannya. Urusan yang berkaitan dengan hak manusia mesti
disempurnakan apabila seseorang itu bertaubat. Apabila seseorang itu
memohon keampunan dan bertaubat kepada Allah, tanggungjawab kepada
sesama manusia seperti hutang, termasuk hutang-hutang lapuk yang tidak
dibayar kerana tidak berupaya melakukannya, ataupun kerana sengaja
tidak mahu membayarnya, kepada mereka yang berurusan perniagaan atau
sebagainya.
Sebagai contoh, sekiranya seseorang itu berhutang
kepada jirannya sebanyak tiga ribu ringgit, dia mesti melangsaikannya.
Ini termasuklah hutang surat khabar yang dihantar hari-hari ke rumah,
roti yang dihantar setiap petang, barang runcit yang diambil setengah
bulan sekali di kedai koperasi dan sebagainya. Bagi abang yang
membolot harta pusaka peninggalan orang tua daripada adik-beradik lain
mesti memulangkan hak tersebut menurut pembahagian faraid dan mohon
halal daripada mereka yang berhak selama mana abang tadi mengambil
manfaat daripada harta peninggalan tersebut. Hak-hak tersebut
termasuklah hak yang bukan bersifat kebendaan, seperti perbuatan
memfitnah, tohmah, tuduhan palsu, amalan menyakiti orang lain termasuk
perbuatan sihir.
Hak yang tidak bersifat kebendaan ini perlu
dipohon maaf kepada orang yang terlibat. Sekiranya mereka yang terlibat
tidak mahu memaafkan, taubat masih tetap diperlukan dan permohonan maaf
tetap dimestikan kerana tuntutannya terlalu besar di akhirat kelak. Hak-hak seumpama inilah di antara penentu sama ada seseorang itu akan dimasukkan dalam syurga atau dihumban ke neraka.
Tempat
di mana roh seseorang itu berada bergantung kepada tanggungjawab hutang
ke atasnya. Sekiranya maaf telah dipinta tetapi orang yang dianiaya
tidak sudi memaafkannya, orang yang terlibat hendaklah memperbanyakkan
taubat dan minta keampunan kepada Allah di samping memperbanyakkan
ibadah dan amal kebajikan agar Allah memaafkannya. Ibadah dan kebajikan
mengimbangi dosa-dosa yang dilakukan di samping keampunan Allah. Orang
yang berhutang wajib membayar hutangnya.
Sekiranya si piutang telah
meninggal, hutang itu hendaklah dibayar oleh keluarganya yang masih
hidup. Sekiranya keluarga tersebut tidak
diketahui, orang yang berhutang hendaklah bersedekah kepada fakir
miskin, sebanyak jumlah hutang yang dilakukan, di samping melakukan
taubat dan ibadah kepada Allah, agar Allah menerima taubat, istighfar
dan ibadah yang dilakukan.
No comments:
Post a Comment
"Semua artikel dalam blog ini dikongsikan untuk tujuan ilmu pengetahuan dan masih boleh dibincangkan & dipersoalkan kebenarannya. Ketepatan & kesahihan maklumat dalam blog ini perlu dibandingkan dengan sumber-sumber lain agar tidak terjadi anggapan penyebaran maklumat palsu atau fitnah. Sebarang maklumbalas berkaitan boleh diajukan kepada Abe di queachmad [at] queachmad [dot] com"