Thursday, 27 September 2012

TERKINI: Mahkamah Tetapkan 23 Oktober Sambung Bicara KES BUNUH Sosilawati



SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 23 dan 25 Okt ini untuk menyambung perbicaraan kes bunuh jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain. Hakim Datuk Akhtar Tahir menetapkan tarikh itu ketika kes berkenaan disebut di hadapannya, hari ini. Beliau juga menetapkan tarikh sambung perbicaraan seterusnya dari 6 hingga 9 Nov dan 3 hingga 7 Dis ini. 


Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff memaklumkan bahawa Mahkamah Rayuan pada 13 Sept lepas menolak rayuan empat tertuduh, N.Pathmanabhan, T.Thilaiyalagan, R.Matan dan R.Kathavarayan terhadap keputusan Akhtar mengetepikan sapina yang mereka keluarkan kepada tiga timbalan pendakwa raya termasuk beliau untuk menjadi saksi perbicaraan.


baca lagi Klik TAJUK ENTRI ni

Ishak berkata permohonan keempat-empat tertuduh untuk menangguhkan perbicaraan sementara menunggu keputusan rayuan mereka kepada Mahkamah Persekutuan berhubung keputusan Mahkamah Rayuan itu juga telah ditolak. Pada 23 Julai lepas, Akhtar menolak permohonan Pathmanabhan, bekas peguam dan tiga pekerja ladang Thilaiyalagan, Matan dan Kathavarayan untuk mensapina Ishak, Saiful Edris Zainuddin dan Idham Abd Ghani, untuk tampil sebagai saksi. 


Langkah itu bertujuan mengetepikan dua barang kes yang dikemukakan ketiga-tiga timbalan pendakwa raya berkenaan pada akhir kes pendakwaan untuk mencabar kebolehpercayaan dua saksi pendakwaan U Suresh dan K Sarawanan yang didakwa berpaling tadah. 


Dua barang kes itu ialah nota prosiding di Mahkamah Majistret Telok Datok, Banting, di mana Suresh dan Sarawanan mengaku bersalah terhadap tuduhan melupuskan bukti berkaitan pembunuhan itu dan dikenakan hukuman tujuh tahun penjara setiap seorang. Tiga timbalan pendakwa raya itu juga terlibat dalam prosiding di Mahkamah Majistret Telok Datok. 



Suresh, 28, dan Sarawanan, 21, kini menjalani hukuman penjara 20 tahun di Penjara Sungai Udang, Melaka, setelah Mahkamah Rayuan tidak memberi kebenaran kepada mereka pada 24 Ogos tahun lepas untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menambah hukuman penjara terhadap mereka. 



Pathmanabhan, Thilaiyalagan, Matan dan Kathavarayan diperintah membela diri terhadap tuduhan membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44. 



Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Ladang Gadong, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting, antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010. - Bernama

No comments:

Post a Comment

"Semua artikel dalam blog ini dikongsikan untuk tujuan ilmu pengetahuan dan masih boleh dibincangkan & dipersoalkan kebenarannya. Ketepatan & kesahihan maklumat dalam blog ini perlu dibandingkan dengan sumber-sumber lain agar tidak terjadi anggapan penyebaran maklumat palsu atau fitnah. Sebarang maklumbalas berkaitan boleh diajukan kepada Abe di queachmad [at] queachmad [dot] com"