SOAL JAWAB: Suami Tak Beri Nafkah
10/12/2012 04:30:00 pm
WAJARKAH seorang suami tidak memberi nafkah kepada isterinya dengan alasan isteri bekerja? Sudahlah dia tidak memberi nafkah, malah menyuruh saya membayar sewa rumah dan mengeluarkan belanja membeli barangan dapur setiap bulan. Dia seolah-olah belum bersedia memikul tanggungjawab sebagai suami. Saya sangat terkejut dengan perubahan suami. Sepanjang kami berkawan sehingga masuk sembilan bulan berkahwin, suami tidak pernah jujur terhadap saya.
Saya dan keluarga sangat terkilan dengan keadaan sekarang kerana suami seolah-olah melepaskan tanggungjawab kepada saya untuk menguruskan hal perbelanjaan rumah tangga. Setiap kali meminta belanja, suami akan memberitahu tiada wang. Tetapi apabila masa gaji bulanan saya masuk ke akaun, suami minta dibelanja sedangkan apabila berkaitan wang, suami terlalu berkira.
Apabila saya meminta nafkah, kami bergaduh dan dia beri pelbagai alasan. Ketika bujang, suami memang tidak pernah keluarkan duit belanja kepada keluarga. Dia anak sulung dalam keluarga. Saya cuma inginkan hak saya dan mohon Dr beri penjelasan dan nasihat yang sewajarnya.
FATONAH,
Pulau Pinang
PERKARA di atas tidak wajar berlaku. Islam sudah menetapkan kewajipan suami menyediakan nafkah kepada isteri dan anak dalam bentuk makanan dan minuman, tempat kediaman, pakaian dan perubatan. Pengecualian hanya kepada isteri nusyuz atau anak sudah baligh dan mampu bekerja. Bagaimanapun, dalam menentukan kadar nafkah, ia bergantung kepada kemampuan suami.
Islam menyuruh suami bekerja untuk menanggung isteri ketika tempoh perkahwinan. Isteri pula tidak wajib bekerja. Seorang isteri hanya bertanggungjawab mengurus keluarga, mendidik anak dan melayan suami. Apabila ingin bekerja, isteri perlu mendapat keizinan suami dan pekerjaan mestilah yang baik, halal dan sesuai dengan ciri wanita dan taraf pendidikannya.
Isteri pula perlu bersungguh-sungguh mematuhi hukum Islam ketika di luar rumah dan waktu bekerja. Selain itu, suami tidak boleh menyekat isteri bekerja apabila sudah ditetapkan kerja sebagai syarat ketika pernikahan. Bagaimanapun, suami boleh meminta isteri berhenti bekerja untuk kepentingan keluarga dan anak walaupun ada syarat bekerja sebelum ini. Islam juga tidak membenarkan suami mensyaratkan isteri berkongsi pendapatannya dengan suami apabila bekerja.
Islam membenarkan adanya persefahaman antara suami isteri dalam berkongsi hasil pendapatan dan pengurusan kewangan antara kedua-dua mereka. Ia dibuat tanpa paksaan dan kerelaan isteri. (Lihat perbincangan, ‘Wajibkah Memberikan Nafkah Jika Isteri Bekerja?’ dan petikan Keputusan Majlis Fiqh Sedunia dalam persidangan yang ke-16 di Dubai pada 9-14 April 2005 di SINI).
Dengan kata lain, suami tidak boleh lepas tangan dalam memberi nafkah kepada isteri dengan alasan isteri bekerja. Memberi nafkah tetap menjadi tanggungjawab suami. Mana-mana isteri yang tidak berpuas hati dengan pengabaian nafkah bolehlah melaporkan aduan kepada pihak berkuasa agama untuk penyelesaian.
4 comments
Lengkapkanlah kehidupanmu..
ReplyDeleteBaru kamu mengenal erti KASIH DAN SAYANG..
LUV U ALL..
sharing is caring....
ReplyDeleteBukankah kaum hawa diciptakan sebagai insan yang bersifat lemah dan kaum lelaki diamanahkan untuk melindungi kaum wanita ini dan bukan untuk menzaliminya....Jangan jadi lelaki atau suami dayus...
ReplyDeleteSaya juga menghadapi masalah yg sama..suami lepas langsung tanggungjawab dia pada saya dengan alasan saya bekerja dan gaji saya lebih tinggi dari dia. Saya seolah2 ada suami tapi macam janda sebab serba serbi keperluan saya tanggung sendiri. Hanya anak2 mjadi asbab untuk saya terus bertahan memegang gelaran isteri......
ReplyDelete"Semua artikel dalam blog ini dikongsikan untuk tujuan ilmu pengetahuan dan masih boleh dibincangkan & dipersoalkan kebenarannya. Ketepatan & kesahihan maklumat dalam blog ini perlu dibandingkan dengan sumber-sumber lain agar tidak terjadi anggapan penyebaran maklumat palsu atau fitnah. Sebarang maklumbalas berkaitan boleh diajukan kepada Abe di queachmad [at] queachmad [dot] com"