BANGKOK – Segala-galanya sudah berakhir buat Harimau Malaya apabila tumpas 0-2 kepada Thailand dalam aksi separuh akhir kedua kempen Piala Suzuki AFF 2012 di Stadium Supachalasai, malam tadi. Kekalahan tersebut sekali gus mengecewakan harapan seluruh Rakyat Malaysia yang mengharapkan Harimau Malaya berjaya melangkah ke final. Impian Harimau Malaya untuk mengulangi 'magis' muncul juara dua tahun lalu hanya tinggal sejarah apabila Gajah Perang terlalu unggul di gelanggang sendiri, sekali gus menyaksikan Thailand mara ke final dengan kelebihan agregat 3-1.
Untuk rekod, kedua-dua pasukan sebelum ini terikat seri 1-1 dalam aksi separuh akhir pertama di Stadium Nasional, Bukit Jalil Ahad lalu. Suka atau tidak, skuad negara yang tempang apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain gara-gara Mohamad Fadhli Shas diperintahkan keluar padang pada babak pertama juga seolah-olah satu petanda betapa aksi malam tadi bukan milik Malaysia. Thailand yang sekadar memerlukan keputusan seri tanpa jaringan untuk layak ke final sebaliknya bermula garang apabila kesilapan Aidil Zafuan Abdul Radzak untuk mengawal kemas bola nyaris dihukum Jakkapan Pornsai seawal minit ketiga, mujur penjaga gol negara, Farizal Marlias bijak mengawal keadaan.
baca lagi Klik TAJUK ENTRI ni
Kepantasan jentera serangan Thailand yang diterajui Teerasil Dangda dan Anucha Kitpongsri juga memaksa benteng pertahanan negara menampilkan aksi keras sehingga Mahalli Jasuli dan Mohamad Fadhli dilayangkan kad kuning oleh pengadil dari Korea Selatan, Lee Minhu pada awal babak pertama. Peluang terbaik tuan rumah sekali lagi hadir pada minit ke-18 dan 21 namun percubaan Teerasil dan kapten, Panupong Wangsa gagal menemui sasaran. Harimau Malaya yang sekali-sekala menyerang begitupun kecewa apabila Lee Minhu tidak menganugerahkan sepakan penalti pada minit ke-29 biarpun S. Kunanlan dikasari Panupong dalam kotak penalti.
Kesempatan itu pantas dimanfaatkan Thailand menerusi satu serangan kilat seminit kemudian namun rembatan deras Teerasil hasil umpanan Datsakorn Thonglao sedikit tersasar biarpun Farizal telah tertewas. Di sinilah episod hitam skuad negara bermula. Entah apa puncanya, Mohamad Fadhli tiba-tiba dilayangkan kad kuning kedua oleh Lee Minhu gara-gara dikatakan bertelagah dengan Datsukorn. Sejak itu, Thailand dilihat hanya menunggu masa merobek gawang gol negara apabila menguasai sebahagian besar perlawanan, namun dikecewakan dengan kecekapan Farizal yang beberapa kali menyelamatkan keadaan.
Biarpun tertekan, skuad kendalian Datuk K. Rajagobal tetap tidak berputus asa mengatur gerakan namun sepakan percuma kapten, Safiq Rahim pada penghujung babak pertama terus ke dakapan penjaga gol Thailand, Kawin Thamsatchanan. Gol yang ditunggu-tunggu lebih 20,000 penyokong tuan rumah akhirnya menjelma lima minit kemudian apabila Teerasil bijak memanfaatkan kesilapan Amar Rohidan sebelum tenang menolak masuk melepasi jangkauan Farizal. Jaringan itu jelas membunuh semangat juang pemain negara dan hasilnya, Theerathon Bunmathan berjaya menggandakan kelebihan tuan rumah pada minit ke-63 hasil kelam-kabut di depan pintu gol Harimau Malaya.
Skuad negara yang terus memberi tentangan untuk sekurang-kurangnya merapatkan kedudukan begitupun kecewa apabila tandukan Norshahrul Idlan Talaha dan Mohd. Safee Sali pada minit ke-80 dan 82 gagal menepati sasaran. Thailand yang juga juara Kumpulan A bakal berdepan juara Kumpulan B, Singapura di final nanti. Final pertama bakal berlangsung di Stadium Jalan Besar, Singapura pada 19 Disember depan sebelum final kedua di Stadium Rajamangala tiga hari kemudian.
huhu..sedihhh T_T.. refreee sengal..berat sebelah... x layak jadik pengadil betul.. Malaysia pun asal Mat Yo jek yg asik tunggu depan gol?? yg lain gi mana??? thailand main kotorrr.. klau jumpa refree sengal tuh..memang aku buat kimbab je.. >.<
ReplyDelete