Sahabat Que 'Silent Readers'

Dia YAHUDI... YAHUDI Tetap YAHUDI...

1/16/2013 12:24:00 pm

Dia YAHUDI Karya Husaini Amran. Dipetik dari Berita Harian Online
Dia Yahudi
Dia YAHUDI SEBAIK sahaja menjejakkan kaki di kafeteria bangunan Marquette University Alumni Union, bebola mata Salehuddin liar mencari sesusuk tubuh milik David Robbins. Entah apa sebabnya David ingin berjumpa dengannya, Salehuddin sendiri kurang pasti.
Semalam, selepas tamat kuliah Middle Eastern History, David Robbins menahan Salehuddin di luar pintu. Katanya, dia ingin berbicara dengan Salehuddin pada esok hari di kafeteria ini pada jam 2.30 petang. Macam mustahak sangat bunyinya. Salehuddin menerima pelawaan itu, walaupun dia hanya mengenali David Robbins sebagai salah seorang teman sekuliahnya.
baca lagi Klik TAJUK ENTRI ni

David masih belum tiba lagi. Jam di tangan menunjukkan pukul 2.20 petang. Mungkin David sedang dalam perjalanan ke sini. Salehuddin berjalan menuju ke kaunter makanan dan minuman. Perutnya terasa sangat lapar. Suhu musim salju yang terlampau dingin di Milwaukee membuatkan perut sering menjerit minta diisi.
Setelah membayar harga makanan dan minuman, Salehuddin memilih untuk duduk di meja yang berhampiran dengan kaunter bayaran supaya mudah David mencarinya nanti.
Roti sandwich berinti tuna disuap ke dalam mulut. Walaupun sudah lebih setahun bermukim di negara ini, anak tekak Salehuddin masih mengidamkan teh tarik, roti canai dan nasi lemak. Bila berada di perantauan, kita akan merindui makanan dan minuman yang selalu kita makan di negara asal. Cuma tinggal lapan bulan sahaja lagi sebelum Salehuddin tamat pengajian dan pulang ke tanah air.
Marquette University, Milwaukee
Salehuddin tidak sedar entah bilakah masanya David Robbins sampai. Tahu-tahu sahaja, lelaki muda bertubuh tinggi lampai dan berusia pada awal dua puluhan itu sudah berdiri tercegat di hadapannya.
“Maafkan aku kerana terlewat. Lama kau menunggu?” kata David. Dia menghulurkan tangan kanannya untuk bersalaman dengan Salehuddin.
“Tak mengapa. Aku yang sampai terlalu awal,” balas Salehuddin sambil menyambut tangan David.
“Aku kebuluran. Seharian perutku tidak diisi. Jadualku pada hari ini begitu padat. Aku harap kau tidak kisah menunggu di sini sebentar. Aku ingin membeli makanan dan minuman,” kata David.
Salehuddin mengangguk sebagai tanda bersetuju. Selang beberapa minit kemudian, David kembali dengan membawa dulang yang berisi sekeping pizza pepperoni bersaiz kecil dan segelas besar air Coca-Cola. Salah satu makanan ruji rakyat Amerika.
“Kau mahu sepotong?” David menawarkan sepotong pizza kepada Salehuddin.
“Tak mengapa, aku sudah kenyang. Lagipun, aku tak makan daging khinzir.”
“Mengapa?” tanya David. Kehairanan jelas terbayang di wajahnya.
“Agamaku melarang penganutnya memakan daging khinzir. Aku orang Islam.”
“OK,” kata David.
“Firasat aku kuat mengatakan kau bukan berasal dari negara ini.” Mulutnya cergas mengunyah pizza.
“Ya. Aku berasal dari Malaysia. Kau pernah dengar tentang Malaysia?”
“Aku mungkin pernah mendengar satu dua perkara tentang negara asalmu. Tetapi aku kurang pasti di mana lokasi Malaysia dalam peta dunia.”
“Sebuah negara yang terletak di antara Thailand di sebelah utara dan Singapura di sebelah selatan,” jelas Salehuddin. Itulah jawapan yang biasa diberikan setiap kali orang di sini bertanya di mana letaknya Malaysia.
Aneh. Kebanyakan orang Amerika tahu di mana letaknya Singapura dan Thailand, tetapi tidak tahu di mana letaknya Malaysia. Mungkin mereka sengaja tidak mahu ambil tahu.
“Sekarang baru aku tahu,” kata David.
Coklat panas yang masih berbaki separuh cawan dihirup oleh Salehuddin sehingga habis.
Clock_tower
“Kau tahu, gaya penulisan kau memang menarik. Tak hairanlah dalam kelas semalam Dr Stevens memuji esei yang kau tulis. Jika orang tidak tahu, mungkin mereka sangka engkau ialah seorang rakyat Amerika. Mungkin kau patut mempertimbangkan kerjaya dalam bidang penulisan selepas menerima ijazah nanti,” kata David.
Dr Stevens memberikan Salehuddin gred A bagi esei yang bertajuk Jewish Occupation in Palestine. Sebelum kuliah dimulakan, Dr Stevens mengagih- agihkan salinan esei itu kepada setiap pelajar di dalam kelas. Tentu David telah membaca esei itu.
“Terima kasih, pujian kau terlalu melambung tinggi. Aku perlu berfikir banyak kali jika ingin bergiat dalam bidang penulisan. Itupun kalau aku sanggup hidup dalam kebuluran,” kata Salehuddin.
Sambungnya lagi, “Namun, aku percaya Dr Stevens lebih mementingkan isi kandungan berbanding dengan gaya penulisan.”
“Aku kurang bersetuju. Padaku, kau tidak menjalankan kajian yang terperinci semasa menulis esei itu. Hujah-hujahmu berat sebelah. Tajuk eseimu jelas membayangkan bangsa Yahudi yang sepatutnya dipersalahkan kerana menduduki bumi Palestin.” Salehuddin terkejut dengan kata-kata David.
“Aku menulis tentang perkara yang sebenarnya berlaku di Palestin. Aku menulis esei itu setelah menjalankan kajian yang terperinci. Apa yang aku tulis adalah fakta, bukannya khayalan. Memang benar bangsa Yahudi yang menceroboh Palestin dan mendudukinya secara haram. Memang benar Israel yang menjadi punca kepada segala konflik dan ketegangan di Timur Tengah. Tidak keterlaluan jika aku katakan bangsa Yahudi juga bertanggungjawab di atas suasana kacau-bilau dan huru-hara yang melanda dunia dari dulu sampai sekarang.”
raise_the_flag
David kelihatan seperti tidak senang duduk. Dia membalas hujah Salehuddin, “Bangsa Yahudi memang berhak untuk menubuhkan negara Israel. Setelah sekian lama kami hidup berkelana di negara-negara lain, kami ingin kembali ke tanah asal kami. Tanah yang telah dijanjikan oleh Tuhan kepada bangsa Yahudi. Kami bukan penceroboh.
Kami? Salehuddin berasa pelik bila mendengar David menyebut perkataan kami. Yahudikah dia? Jika benar dia Yahudi, mengapa pula nama keluarganya lebih mirip kepada nama keturunan Anglo?
“Maafkan aku, David. Tadi aku terdengar kau menyebut perkataan kami. Apakah engkau seorang Yahudi?” Salehuddin bertanya untuk mendapatkan kepastian.
“Benar, aku memang seorang Yahudi. Apa engkau ada masalah dengan hakikat itu?”
“Tidak. Tetapi nama keluargamu seperti menggambarkan engkau berketurunan Anglo.”
David ketawa. “Untuk pengetahuan kau, nama asal keluargaku ialah Rabinovich. Datukku berasal dari Russia. Selepas meletusnya Revolusi Bolshevik, datukku berhijrah ke Amerika Syarikat. Di sini dia menukar nama keluargaku kepada Robbins. Dalam Bahasa Ibrani, nama keluargaku ialah Rabin,” jelas David.
Salehuddin faham kini. Dia pernah terbaca tentang kecenderungan orang Yahudi menyesuaikan nama keluarga mereka mengikut negara di mana mereka tinggal dalam buku yang bertajuk ‘The Complete International Jew’ tulisan Henry Ford.
Sama ada di Russia, Jerman, Great Britain, Amerika Syarikat atau Perancis, nama keluarga mereka mirip dengan nama-nama keluarga yang telah sedia ada di negara-negara tersebut. Jika berhijrah ke Israel, mereka akan kembali menggunakan nama keluarga dalam Bahasa Ibrani.
usa_yahudi
“Aku keliru. Jika kau seorang Yahudi, mengapa engkau memakan daging khinzir? Bukankah orang Yahudi hanya boleh mengambil makanan yang kosher sahaja?” Salehuddin bertanya.
“Kosher mosher. Aku hanya Yahudi pada keturunan. Aku tidak lagi berpegang teguh pada ajaran agama dan cara hidup Yahudi,” kata David.“Baiklah, David.
Itu hak engkau. Di sini negara bebas. Berbalik kepada topik pencerobohan bangsa Yahudi di Palestin. Aku ingin bertanya satu soalan kepada engkau: Apakah yang akan engkau lakukan jika engkau mendapati rumah engkau dicerobohi oleh seseorang yang tidak engkau kenali?”
“Sudah tentu aku akan mengusirnya. Jika perlu, aku akan gunakan kekerasan. Jika penceroboh itu dirasakan boleh mengancam nyawaku, aku akan meminta bantuan polis,” jawab David.
“Tidakkah engkau pernah terfikir rakyat Palestin juga sedang dan telah melakukan perkara yang serupa? Apakah kau berharap mereka akan sekadar berdiam diri bila orang Yahudi merampas tanah air mereka? Apakah kau fikir mereka akan melihat sahaja bila askar-askar rejim Zionis Israel menembak ahli keluarga dan membedil rumah mereka? Kau ingat mereka akan bersorak-sorai gembira bila Amerika Syarikat membantu Israel memerangi Fatah dan Hamas?”
“Kau bercakap tentang dua senario yang sangat berbeza. Aku berhak mempertahankan hak aku sebagai seorang individu. Undang-undang mengatakan begitu. Tetapi lain dengan rakyat Palestin. Mereka melakukan keganasan. Mereka menyokong kumpulan pengganas. Pengganas tiada hak di sisi undang-undang,” David masih ingin menegakkan benang basahnya.
“Kau tersilap, David. Setiap rakyat Palestin berhak untuk mempertahankan haknya sebagai seorang individu. Sama seperti kau dan aku. Tidak salah mereka berjuang untuk mempertahankan maruah dan kedaulatan bangsa mereka.”
run_with_flag
“Bagaimana dengan serangan bom berani mati di tempat-tempat awam? Mengapa mereka menafikan hak orang Yahudi untuk hidup dengan aman di atas tanah yang telah dijanjikan oleh Tuhan kepada kami? Tidakkah mereka tahu sebagai umat pilihan, kami yang lebih berhak untuk menguasai Jerusalem?” soal David bertalu-talu.
“Umat pilihan? Apa hak kamu untuk mengakui bangsa Yahudi ialah umat pilihan sedangkan kamu semua ingkar dengan perintah Allah SWT? Bani Israil menentang nabi-nabi dan rasul-rasul yang diturunkan oleh Allah. Bani Israel tidak mengakui Nabi Muhammad SAW sebagai nabi dan rasul yang terakhir kerana baginda berbangsa Arab dan bukannya berbangsa Yahudi seperti yang nenek moyang kamu ramalkan. Dan lihat pada diri kamu sendiri. Hidup kamu sudah jauh menyimpang daripada ajaran agama Yahudi.”
David kelihatan seperti ingin mencelah, tetapi Salehuddin cepat-cepat memintas, “Nanti dulu, David. Aku belum habis bercakap lagi. Tidakkah engkau pernah terfikir yang intifada dan serangan bom berani mati tidak akan berlaku sekiranya orang Yahudi tidak menceroboh bumi Palestin? Dalam erti kata yang sebenar, orang Yahudi yang sepatutnya dilabel sebagai pengganas.”
“Ah! Kamu goyim memang sama sahaja. Kamu tidak pernah mengerti niat baik kami. Fikiran kamu cetek. Dangkal. Akal goyim serupa sahaja dengan akal lembu,” David membentak. Dia masih tidak berpuas hati.
“Bangsa kamu terlalu sombong dan bongkak. Orang Yahudi fikir mereka segolongan manusia yang terunggul. Orang bukan Yahudi kamu samakan dengan haiwan!” nada suara Salehuddin semakin meninggi.
Muka David merah padam. Marah benar dia pada Salehuddin. “Walau apa pun yang kau katakan, aku tetap tidak akan bersetuju. Tahukah engkau, telah begitu lama bangsa Yahudi dihina dan menderita. Kami disembelih dan diseksa. Semuanya kerana kami tidak mempunyai sebuah negara yang boleh mempertahankan kedaulatan bangsa kami.”
palestine_flag_seaside
“Malang sekali harga yang perlu dibayar untuk menubuhkan negara Israel ialah air mata dan darah rakyat Palestin.”
“Itu semua pengorbanan yang mesti dilakukan untuk merealisasikan cita-cita murni kami. Lagipun, kami percaya darah goyim halal untuk ditumpahkan. Kami hanya ingin mewujudkan utopia di dunia yang diperintah oleh seorang Raja Agung yang berbangsa Yahudi. Penubuhan negara Israel merupakan langkah pertama,” kata David.
“Aku benar-benar tak faham. Kata kamu, bangsa Yahudi ingin mewujudkan dunia yang makmur dan sentosa. Bagaimana kamu akan melakukannya sedangkan kamu sebenarnya hanya membuat kerosakan dan mendatangkan huru-hara di muka bumi ini? Bagaimana boleh timbul kebaikan daripada kebinasaan dan kesengsaraan?” bidas Salehuddin. Degil betul Yahudi seorang ini. Sayang, degilnya tak bertempat.
“Kamu tidak akan dapat memahaminya. Tidak tercapai oleh pemikiran seorang goyim seperti kamu. Kami percaya tidak salah jika kami menggunakan cara yang kotor untuk mencapai matlamat yang baik. Yang penting ialah matlamat itu sendiri. Bukannya cara untuk mencapainya.”
“Jika permulaannya buruk, sudah tentu penghujungnya buruk juga.”
“Persetankan dengan hujah-hujah kamu. Aku sudah penat bertekak dengan goyim seperti kamu ini. Bila tiba masanya nanti, kamu semua akan mengerti dan akan berterima kasih kepada bangsa Yahudi!” tegas David.
David bingkas bangun dan beredar dari situ. David Robbins @ Rabinovich @ Rabin, seorang lelaki muda Amerika yang berketurunan Yahudi, pergi begitu sahaja tanpa menyambut tangan yang dihulurkan oleh Salehuddin, seorang lelaki muda Malaysia yang beragama Islam.
Salehuddin tidak mungkin dapat melupakan peristiwa itu selagi ada hayatnya. Bagaimanapun tidaklah sampai mematahkan semangatnya memperjuangkan kebenaran. Malahan api perjuangan semakin marak dengan menjelangnya bulan Ramadan yang akan disambut umat Islam seluruh dunia. Simpatinya kepada rakyat Palestin melimpah ruah. Tekadnya bulat kini, Yahudi perlu disingkirkan dari Palestin, meskipun tidak diketahui bila keinginan itu akan menjadi kenyataan.
Biodata: SAMARAN HUSAINI A
penulis
HUSSAINI Amran atau nama penanya, Samaran Husaini A, lulusan Sarjana Muda Sains – Ekonomi dari Marquette University, Milwaukee, Wisconsin, Amerika Syarikat adalah orang baru dalam dunia penulisan kreatif dan kini penulis bebas.
Marquette University

You Might Also Like

0 comments

"Semua artikel dalam blog ini dikongsikan untuk tujuan ilmu pengetahuan dan masih boleh dibincangkan & dipersoalkan kebenarannya. Ketepatan & kesahihan maklumat dalam blog ini perlu dibandingkan dengan sumber-sumber lain agar tidak terjadi anggapan penyebaran maklumat palsu atau fitnah. Sebarang maklumbalas berkaitan boleh diajukan kepada Abe di queachmad [at] queachmad [dot] com"


Search Blog QueAchmad