LAHAD DATU TERKINI | 4 Mayat Warga Asing Termasuk 2 Kanak-Kanak Maut Ketika Pertempuran
3/26/2013 10:21:00 am
LAHAD DATU TERKINI | 4 Mayat Warga Asing Termasuk 2 Kanak-Kanak Maut Ketika Pertempuran | LAHAD DATU – Empat mayat dipercayai rakyat asing ditemui di dalam sebuah rumah di Kampung Tanjung Batu selepas pasukan keselamatan bertempur dengan pengganas militan semasa operasi penggeledahan di kampung itu, Ahad.
Pertempuran pada pukul 9.15 pagi itu turut menyebabkan seorang anggota tentera cedera di paha kanan akibat terkena tembakan musuh, kata Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin.
Beliau berkata insiden itu berlaku selepas pasukan keselamatan menjejaki dua musuh yang memasuki sebuah rumah berhampiran dan berlaku tembak menembak sehingga mencederakan anggota itu.
“Berlaku beberapa minit pertempuran di situ, dan semasa pertempuran pasukan keselamatan mendapati seorang musuh telah lari dari rumah itu menghala ke sebuah rumah di sebelah sebelum bertindak membakar rumah berkenaan.
“Pasukan keselamatan Negara kemudiannya melepaskan tembakan bagi membersihkan rumah yang mula-mula dimasuki dua pengganas itu sebelum memasukinya dan menjumpai empat orang mati ditembak,” katanya pada sidang akhbar bersama Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar di Markas Operasi di Felda Sahabat 16 di sini Ahad.
Zulkifeli berkata mayat itu terdiri daripada seorang lelaki dan wanita dewasa serta seorang kanak-kanak lelaki dan perempuan. Tiada pengenalan diri ditemui.
Beliau berkata hasil penggeledahan, pasukan keselamatan menemui seorang lagi kanak-kanak lelaki yang cedera, juga tiada pengenalan diri dan dia diterbangkan ke Hospital Sandakan untuk rawatan.
Pasukan keselamatan turut menemui sejumlah bekalan makanan yang dipercayai dikumpul di rumah berkenaan, katanya.
Zulkifeli berkata kesemua mayat itu dibawa keluar dari lokasi pertempuran, menjadikan jumlah keseluruhan mayat yang dikeluarkan sehingga kini 42.
Beliau berkata militan pengganas yang semakin terdesak kini bergerak dalam kumpulan kecil dan mengaplikasikan ‘Small Unit Tactic’, iaitu cuba mendatangkan seberapa banyak mungkin kecederaan kepada pasukan keselamatan yang menjejaki pergerakan mereka.
“Daripada pertempuran yang dialami, kami dapati Modus Operandi musuh ialah apabila bertempur mereka akan membawa pasukan keselamatan ke satu kawasan di mana penembak tepat mereka dapat melepaskan tembakan.
“Selepas bertempur di situ, mereka kemudiannya berundur dan memasuki kawasan rumah yang telah dikenal pasti untuk bertahan dan bertempur semula sebelum bertindak membakar rumah itu dan rumah berdekatan sekiranya tidak lagi mampu bertahan,” katanya.
Beliau berkata taktik melengahkan pergerakan anggota keselamatan itu diteruskan dengan militan berundur ke kawasan paya berdekatan yang telah dikenal pasti sebelum menggempur pasukan keselamatan yang menghampirinya.
Zulkifeli yang yakin semua penembak tepat musuh berjaya ditembak mati dalam pertempuran sebelum 20 Mac, berkata taktik yang diguna musuh sekarang ini memerlukan pasukan keselamatan lebih berhati-hati.
“Sejak pertempuran pada 20 Mac pasukan keselamatan tidak lagi mendapat tentangan daripada penembak tepat musuh dan kami yakin kumpulan ‘sniper’ pengganas telah dapat ditewaskan kerana kebelakangan ini tidak ada lagi ancaman daripada kumpulan penembak tepat itu,” katanya. - BERNAMA
0 comments
"Semua artikel dalam blog ini dikongsikan untuk tujuan ilmu pengetahuan dan masih boleh dibincangkan & dipersoalkan kebenarannya. Ketepatan & kesahihan maklumat dalam blog ini perlu dibandingkan dengan sumber-sumber lain agar tidak terjadi anggapan penyebaran maklumat palsu atau fitnah. Sebarang maklumbalas berkaitan boleh diajukan kepada Abe di queachmad [at] queachmad [dot] com"