Sahabat Que 'Silent Readers'

Dua Rakan Temui Ajal Bersama | INNALILLAH

6/13/2013 07:38:00 am

Dua Rakan Temui Ajal Bersama | INNALILLAH | DUNGUN – “Sebaik sampai di tempat kejadian, saya lihat dua mayat terbujur kaku, salah seorangnya mungkin adik saya tetapi saya tak sampai hati nak tengok kerana keadaannya amat menyayat hati.”

Maut
Itu luahan Ahmad Syahir Abdul Razak, 32, abang kepada seorang mangsa nahas, Abdul Hadi, 18.
baca lagi Klik TAJUK ENTRI ni
Abdul Hadi ialah bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Durian Mas maut di tempat kejadian akibat cedera parah selepas motosikal ditunggang dipercayai bertembung dengan motosikal rakannya, Fahmi Nizamuddin Yazid, 18, yang turut menemui ajal di tempat kejadian, malam semalam.

Ketika kejadian, Abdul Hadi difahamkan baru pulang dari sebuah warung berdekatan untuk menghantar nasi ayam dibelikannya ke rumah tetapi keluar semula sebelum dia kemalangan, kira-kira jam 9.50 malam di Jalan Sultan Zainal Abidin 2, dekat sini. Menurut Ahmad Syahir, adik lelakinya itu baru tamat tingkatan lima dan kini sedang menunggu jawapan untuk menyambung pelajaran ke politeknik. 

Mahu sambung pelajaran
Katanya, arwah amat meminati kerjaya sebagai juruukur dan menaruh harapan tinggi agar permohonannya untuk menyambung pelajaran diterima. “Sebelum kejadian, saya sempat bertemu arwah buat kali terakhir di rumah keluarga, kira-kira jam 2.30 petang dan tiada sebarang perubahan pelik sebagai petanda ditunjukkannya.

“Ketika berada di rumah di Cheneh, saya menerima panggilan telefon daripada seorang rakan memaklumkan adik yang juga anak bongsu daripada lapan beradik kemalangan.

“Tak sangka pula dia menemui ajal sebab baru petang tadi (semalam) kami berjumpa,” katanya. 

Hubungan amat rapat
Rakan arwah Abdul Hadi, Taqiyuddin Che Soh, 22, pula berkata, arwah seorang remaja yang aktif dan dia mengikuti kelas Silat Cekak pada setiap Rabu di Institut Kemahiran Ranako, Kemaman.

“Kali terakhir saya jumpa arwah adalah malam Rabu lalu sewaktu mengikuti sesi latihan.

“Ketika itu tak nampak sebarang perubahan pada dirinya, memang terkejut apabila saya terima panggilan telefon kata dia meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan,” katanya.

Mangsa kedua, Fahmi Nizamuddin pula dimaklumkan bapanya, Yazid Harun, 50, adalah teman akrab kepada Abdul Hadi dan hubungan mereka dikatakan amat rapat sejak akhir-akhir ini. Yazid yang masih kelihatan sugul dengan pemergian anak lelakinya itu berkata, arwah bakal mendaftar masuk dalam jurusan asasi kejuruteraan di Kolej TATIUC, Kemaman pada 30 Jun nanti.

Katanya, kedua-dua mangsa berhasrat untuk tidak menyambung pelajaran di tingkatan enam, sebaliknya ingin meneruskan pengajian di kolej.

“Dia nak masuk belajar hujung bulan nanti, malangnya hasrat arwah tidak kesampaian.

“Apa pun saya reda dengan pemergiannya,” kata Yazid yang bertugas sebagai pembantu pertanian di Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah). Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Dungun untuk pemeriksaan lanjut bagi mengesahkan punca kematian. Jenazah dua remaja terbabit kemudiannya dibawa pulang ke kampung mereka di Al Mukthtafi Billah Shah, awal pagi semalam. Hadir sama menziarahi jenazah, Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan kejadian berkenaan dan kes masih dalam siasatan pihak polis. – Sinar Harian Online

You Might Also Like

0 comments

"Semua artikel dalam blog ini dikongsikan untuk tujuan ilmu pengetahuan dan masih boleh dibincangkan & dipersoalkan kebenarannya. Ketepatan & kesahihan maklumat dalam blog ini perlu dibandingkan dengan sumber-sumber lain agar tidak terjadi anggapan penyebaran maklumat palsu atau fitnah. Sebarang maklumbalas berkaitan boleh diajukan kepada Abe di queachmad [at] queachmad [dot] com"


Search Blog QueAchmad