Murah Rezeki Apabila Berkahwin | NIKMATNYA HALAL
6/23/2013 11:49:00 am
Murah Rezeki Apabila Berkahwin | NIKMATNYA HALAL | Islam sebagai satu jalan dan cara hidup komprehensif memberi
penekanan penting meletakkan garis panduan serta piawaian tinggi yang
terperinci bagi membimbing manusia ke arah keredaanNya. Dalam Islam,
perkahwinan dan hubungan suami isteri serta seisi keluarga adalah
perkara mulia dipandang penting.
Allah SWT yang mencipta manusia dengan sebaik kejadian, meletakkan
unsur syahwat dan menanam perasaan kasih sayang yang bergerak selari
dengan perkembangan kemanusiaan itu sendiri. Islam meraikan fitrah dan
keperluan hidup manusia, contohnya keperluan ingin dikasihi, mempunyai
pasangan hidup serta keluarga sebagai tempat menerima serta mencurahkan
kasih sayang.
baca lagi Klik TAJUK ENTRI ni
Oleh itu, semua orang yang berkemampuan dan cukup syarat dianjurkan
berkahwin dan membina keluarga. Allah SWT berfirman yang bermaksud:“Dan di antara tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya bahawa Dia menciptakan untuk kamu isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan di antara kamu suami isteri perasaan kasih sayang dan belas kasihan.” (Surah al-Rum, ayat 21)
Islam turut memberi panduan bagi golongan muda yang ingin berkahwin
dengan niat menjaga diri daripada dosa dan maksiat, tetapi khuatir
rezekinya sama ada mencukupi atau tidak untuk menanggung keluarga. Dalam
hal ini, sekiranya usaha mencari rezeki dijalankan dengan tersusun
selepasnya, yakinlah bahawa rezeki akan dimudahkan melalui perkahwinan
itu. Ia dinyatakan dalam firman Allah yang bermaksud:
“Dan kahwinilah orang yang sendirian di antara kamu, dan orang yang layak (berkahwin) daripada hamba yang lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan mengkayakan mereka daripada rezeki-Nya. Dan Allah Maha Luas Pemberian-Nya dan Maha Mengetahui.” (Surah al-Nur, ayat 32)
Namun begitu, sekiranya seseorang belum mempunyai kemampuan dan
persediaan menempuh kehidupan berkeluarga, maka hendaklah berusaha
menahan hawa nafsu dengan sebaiknya. Panduan itu diberikan Rasulullah
SAW dalam sabdanya yang bermaksud:
“Wahai orang muda, sesiapa di antara kamu yang mampu berkahwin maka hendaklah dia berkahwin kerana ia (iaitu perkahwinan) dapat mengawal mata dan kemaluan. Barang siapa yang tidak mampu maka hendaklah dia berpuasa kerana ia (iaitu puasa) akan menjadi penjaga baginya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Islam sebenarnya tidak menggalakkan umatnya mengambil sikap
berkecuali dengan tidak mementingkan urusan perkahwinan. Rasulullah SAW
pernah menggambarkan kegembiraan Baginda di akhirat dengan bilangan
umatnya yang ramai hasil daripada perkahwinan berlangsung di kalangan
umatnya. Sabda Baginda SAW bermaksud: “Nabi SAW menyuruh kami supaya
berkahwin dan melarang kami membujang. Larangan itu beliau tekankan
dengan cukup keras dengan bersabda:
“Nikahilah wanita yang subur dan penyayang, kerana aku berasa bangga melihat umatku yang ramai pada hari kiamat kelak.” (Riwayat Ahmad)
Namun begitu, kita perlu melihat dengan lebih terperinci bahawa apa
yang menjadi impian Rasulullah SAW adalah umatnya ramai, berkualiti,
mempunyai jati diri Muslim sebenar. Apakah yang dikatakan perkahwinan
itu? Dr Wahbah al-Zuhayli dalam kitabnya al-Fiqh al-Islamiy meletakkan
definisi perkahwinan atau al-nikah sebagai ‘satu akad yang menghalalkan
pergaulan di antara seorang lelaki dengan seorang perempuan bukan
muhrim, menimbulkan hak dan kewajipan antara kedua-dua mereka.’ Menerusi
definisi ini, beberapa perkara penting dapat dikeluarkan:
# Pertama, perkahwinan menyatukan antara dua insan
yang saling menyintai dengan menggunakan akad ijab kabul yang sah dalam
Islam. Ia berkait perjanjian dengan Allah untuk menjaga perkara yang
digariskan antara mereka selepas akad dilaksankan. Justeru, perkahwinan
mempunyai nilai keagamaan, ketundukan kepada Allah dan mematuhi
peraturan yang Allah tetapkan untuk dijaga di sepanjang prkahwinan
berlangsung.
# Kedua, adalah jelas bahawa perkahwinan hanya boleh
berlaku di antara lelaki dan perempuan yang bukan muhrim. Dengan itu,
Islam tidak membenarkan hubungan sesama muhrim walaupun mereka saling
mencintai seperti anak dan bapa, adik beradik, anak saudara dengan bapa
saudara dan sebagainya. Termasuklah hubungan muhrim yang terbina dari
pertalian darah, susuan dan persemendaan.
# Ketiga, hanya selepas wujudnya akad perkahwinan,
barulah wujud hak dan tanggungjawab yang perlu dipatuhi dan ditunaikan
pasangan terbabit. Hak isteri adalah tanggungjawab suami untuk tunaikan
dan hak suami menjadi tanggungjawab isteri untuk tunaikan. Hak anak yang
lahir selepas ikatan itu menjadi tanggungjawab ayah dan ibu untuk
tunaikan. Istilah tanggungjawab pula memberi konotasi yang besar,
perkara yang ditanggung dan perlu ditunaikan dengan ikhlas, jika gagal
maka ada pertanggungjawaban di hadapan Allah di akhirat kelak terhadap
pengabaian dan kegagalan itu. Itulah elemen keagamaan dan ketundukan
kepada Allah di dalam perkahwinan.
# Keempat, definisi itu juga menjelaskan bahawa
pasangan yang belum berkahwin, sama ada yang sedang bercinta atau
bertunang, belum wujud sebarang hak dan tanggungjawab antara mereka.
Hubungan mereka belum dihalalkan agama dan mereka tidak boleh bebas
bergaul, berpegangan tangan, berpelukan apatah lagi melakukan hubungan
kelamin kerana Islam tidak mengiktiraf mereka sebagai pasangan yang sah.
Inilah yang paling ketara antara perkahwinan di sisi pandangan barat
dan Islam. Bagi golongan barat, apabila pasangan saling cinta mencintai,
maka hubungan kelamin adalah suatu yang lumrah. Agama tidak mempunyai
peranan dalam pembawaan dan keputusan dibuat. Kerana itu, melakukan
hubungan kelamin, mempunyai anak sebelum berkahwin adalah perkara bukan
mengaibkan atau pelik dalam masyarakat mereka. Islam tidak membenarkan
kita menyerupai dan mengambil langkah seperti mereka.
# Kelima, akad perkahwinan adalah ikatan murni
antara lelaki dan perempuan untuk hidup bersama dalam sebuah rumah
tangga. Nilai keagamaan sangat jelas dizahirkan di mana tertolaklah
perkahwinan sama jantina, lelaki dengan lelaki, perempuan dengan
perempuan. Barat menerima perkembangan yang berlaku di mana lelaki boleh
berkahwin dengan lelaki dan wanita berkahwin dengan wanita. Ia kerana
perkahwinan bagi mereka adalah titik akhir penzahiran kecintaan antara
dua insan. Tidak ada hubung kait dengan elemen keagamaan. Sedangkan
Islam sama sekali tidak mengiktiraf hubungan gay atau lesbian. Bahkan
Islam tidak mengiktiraf perkahwinan mana-mana pihak yang membuat
pembedahan tukar jantina. Islam tidak mengiktiraf perkahwinan lelaki
menjadi perempuan dan perempuan menjadi lelaki.
# Keenam, perkahwinan adalah ikatan suci yang bukan
saja menggabungkan dua insan, tetapi dua keluarga dan keturunan. Maka
silaturahim antara manusia akan berkembang dan kehidupan lebih berseri.
2 comments
Ya, betul kalau zaman Rasullulah, zaman sekarang bankrupt Bro. pasal ramai perempuan yg demanding.
ReplyDeletewa sokong lu bro.. mcm2 punya demanding.bangla,nepal,niger..yg ni demand kes apa bro.ramai lagik malaysia ni. Yg x skolah sampai ngaji tinggi..nepal,bangka,niger jgk pilih. alasan malaysia malas kerja,mat pet etc .. nepal,bangka,niger pun sama la cik adik.
ReplyDelete"Semua artikel dalam blog ini dikongsikan untuk tujuan ilmu pengetahuan dan masih boleh dibincangkan & dipersoalkan kebenarannya. Ketepatan & kesahihan maklumat dalam blog ini perlu dibandingkan dengan sumber-sumber lain agar tidak terjadi anggapan penyebaran maklumat palsu atau fitnah. Sebarang maklumbalas berkaitan boleh diajukan kepada Abe di queachmad [at] queachmad [dot] com"