[EKSKLUSIF] DETIK-DETIK KEWAFATAN NABI MUHAMMAD SAW | BAGINDA RASULULLAH SAW
11/30/2013 01:13:00 am
[EKSKLUSIF] DETIK-DETIK KEWAFATAN NABI MUHAMMAD SAW | BAGINDA RASULULLAH SAW | Daripada Ibnu Mas'ud r.a., bahawasanya dia berkata:
"Ketika ajal Rasulullah saw sudah dekat, baginda mengumpul kami di rumah Siti Aishah
r.a. Kemudian baginda memandang kami sambil berlinangan air
matanya, lalu bersabda: Marhaban bikum, semoga Allah memanjangkan umur kamu semua, semoga
Allah menyayangi, menolong dan memberikan petunjuk kepada kamu.
baca lagi KISAH NYATA YANG BENAR ni, klik TAJUK ENTRI ni
Aku berwasiat kepada kamu,
agar bertakwa kepada Allah. Sesungguhnya aku adalah sebagai pemberi peringatan untuk kamu.
Janganlah kamu berlaku sombong terhadap Allah."
"Allah berfirman: Kebahagiaan dan kenikmatan di
akhirat kami jadikan untuk orang-orang yang tidak ingin menyombongkan dirinya dan membuat
kerosakan di muka bumi. Dan kesudahan syurga itu bagi orang-orang yang bertakwa."
Kemudian kami bertanya: "Bilakah ajal baginda
ya Rasulullah?"
Baginda menjawab: "Ajalku telah hampir, dan
akan pindah ke hadrat Allah, ke Sidratulmuntaha dan ke Jannatul Makwa serta ke
Arsyila."
Kami bertanya lagi: "Siapakah yang akan
memandikan baginda ya Rasulullah?"
Rasulullah menjawab: "Salah seorang ahli
bait."
Kami bertanya: "Bagaimana nanti kami mengafani
baginda ya Rasulullah?"
Baginda menjawab: "Dengan bajuku ini atau
pakaian Yamaniyah."
Kami bertanya: "Siapakah yang mensolatkan
baginda di antara kami?" Kami menangis dan Rasulullah saw pun turut menangis.
Kemudian baginda bersabda: "Tenanglah, semoga
Allah mengampuni kamu semua. Apabila kamu semua telah memandikan dan mengafaniku, maka
letaklah aku di atas tempat tidurku, di dalam rumahku ini, di tepi liang kuburku. Kemudian
keluarlah kamu semua dari sisiku. Maka yang pertama-tama mensolatkan aku adalah sahabatku
Jibril as. Kemudian Mikail, kemudian Israfil kemudian Malaikat Izrail (Malaikat Maut)
beserta bala tenteranya.
Kemudian masuklah anda dengan sebaik-baiknya. Dan hendaklah
yang mula solat adalah kaum lelaki dari pihak keluargaku, kemudian yang wanita-wanitanya,
dan kemudian kamu semua."
Semenjak hari itu, Rasulullah saw bertambah
sakitnya yang ditanggungnya selama 18 hari. Setiap hari, ramai yang mengunjungi baginda,
sampailah datangnya hari Isnin, disaat baginda menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Sehari menjelang baginda wafat iaitu pada hari Ahad, penyakit baginda semakin
bertambah serius. Pada hari itu, setelah Bilal bin Rabah selesai mengumandangkan azannya,
dia berdiri di depan pintu rumah Rasulullah, kemudian memberi salam:
"Assalamualaikum ya Rasulullah?"
Kemudian dia berkata lagi: "Assolah
yarhamukallah."
Fatimah menjawab: "Rasulullah dalam keadaan
sakit."
Maka kembalilah Bilal ke dalam masjid. Ketika bumi terang
disinari matahari siang, maka Bilal datang lagi ke tempat Rasulullah, lalu dia berkata
seperti perkataan yang tadi.
Kemudian Rasulullah memanggilnya dan menyuruh dia masuk.
Setelah Bilal bin Rabah masuk,
Rasulullah saw bersabda: "Saya sekarang berada
dalam keadaan sakit. Wahai Bilal, kamu perintahkan sahaja agar Abu Bakar menjadi imam
dalam solat."
Maka keluarlah Bilal sambil meletakkan tangan di atas
kepalanya sambil berkata: "Aduhai, alangkah baiknya bila aku tidak dilahirkan
ibuku?"
Kemudian dia memasuki masjid dan memberitahu Abu Bakar agar beliau
menjadi imam dalam solat tersebut. Ketika Abu Bakar r.a. melihat ke tempat
Rasulullah SAW yang kosong, sebagai seorang lelaki yang lemah lembut, dia tidak dapat
menahan perasaannya lagi, lalu dia menjerit dan akhirnya dia pengsan. Orang-orang yang
berada di dalam masjid menjadi bising sehingga terdengar oleh Rasulullah saw.
Baginda bertanya: "Wahai Fatimah, suara apakah
yang bising itu?"
Siti Fatimah menjawab: "Orang-orang menjadi
bising dan bingung kerana Rasulullah saw tidak ada bersama mereka."
Kemudian Rasulullah saw memanggil Ali bin Abi Talib dan
Abbas r.a. Sambil dibimbing oleh mereka berdua, maka baginda berjalan menuju ke masjid.
Baginda solat dua rakaat.
Setelah itu baginda melihat kepada orang ramai dan
bersabda: "Ya ma aasyiral Muslimin, kamu semua berada dalam pemeliharaan dan
perlindungan Allah. Sesungguhnya Dia adalah penggantiku atas kamu semua, setelah aku
tiada.
Aku berwasiat kepada kamu semua agar bertakwa kepada Allah SWT kerana aku akan
meninggalkan dunia yang fana ini. Hari ini adalah hari pertamaku memasuki alam akhirat,
dan sebagai hari terakhirku berada di alam dunia ini."
MALAIKAT MAUT DATANG BERTAMU
Pada hari esoknya iaitu pada hari Isnin, Allah mewahyukan
kepada Malaikat Maut supaya dia turun menemui Rasulullah saw dengan berpakaian
sebaik-baiknya.
Dan Allah menyuruh Malaikat Maut mencabut nyawa Rasulullah saw
dengan lemah lembut. Seandainya Rasulullah menyuruhnya masuk, maka dia dibolehkan masuk.
Tetapi jika Rasulullah saw tidak mengizinkannya, dia tidak boleh masuk dan hendaklah dia
kembali sahaja.
Maka turunlah Malaikat Maut untuk menunaikan perintah Allah
SWT. Dia menyamar sebagai seorang biasa. Setelah sampai di depan pintu tempat kediaman
Rasulullah saw,
Malaikat Maut itupun berkata: "Assalamualaikum
wahai ahli rumah kenabian, sumber wahyu dan risalah!"
Fatimah pun keluar menemuinya dan berkata kepada tamunya
itu: "Wahai Abdullah (hamba Allah), Rasulullah sekarang dalam keadaan
sakit."
Kemudian Malaikat Maut itu memberi salam lagi:
"Assalamualaikum, bolehkah saya masuk?"
Akhirnya Rasulullah saw mendengar suara Malaikat Maut itu,
lalu baginda bertanya kepada puterinya Fatimah: "Siapakah yang ada di muka
pintu itu?"
Fatimah menjawab: "Seorang lelaki memanggil
baginda. Saya katakan kepadanya bahawa baginda dalam keadaan sakit. Kemudian dia memanggil
sekali lagi dengan suara yang menggetarkan sukma."
Rasulullah saw bersabda: "Tahukah kamu siapakah
dia?"
Fatimah menjawab: "Tidak wahai baginda."
Lalu Rasulullah saw menjelaskan: "Wahai
Fatimah, dia adalah pengusir kelazatan, pemutus keinginan, pemisah jemaah dan yang
meramaikan kubur.
Kemudian Rasulullah saw bersabda: "Masuklah,
wahai Malaikat Maut."
Maka masuklah Malaikat Maut itu sambil mengucapkan:
"Assalamualaika ya Rasulullah."
Rasulullah saw pun menjawab: "Waalaikassalam ya
Malaikat Maut. Engkau datang untuk berziarah atau untuk mencabut nyawaku?"
Malaikat Maut menjawab: "Saya datang untuk
ziarah sekaligus mencabut nyawa. Jika tuan izinkan akan saya lakukan. Jika tidak, saya
akan pulang."
Rasulullah saw bertanya: "Wahai Malaikat Maut,
di mana engkau tinggalkan kecintaanku Jibril?"
Jawab Malaikat Maut: "Saya tinggal dia di
langit dunia."
Baru sahaja Malaikat Maut selesai bicara, tiba-tiba Jibril
a.s. datang lalu duduk di samping Rasulullah saw.
Maka bersabdalah Rasulullah saw: "Wahai Jibril,
tidakkah engkau mengetahui bahawa ajalku telah dekat?"
Jibril menjawab: "Ya, wahai kekasih
Allah."
KETIKA SAKARATUL MAUT:
Seterusnya Rasulullah saw bersabda: "Beritahu
kepadaku wahai Jibril, apakah yang telah disediakan Allah untukku di sisinya?"
Jibril pun menjawab: "Bahawasanya pintu-pintu
langit telah dibuka, sedangkan malaikat-malaikat telah berbaris untuk menyambut
rohmu."
Baginda saw bersabda: "Segala puji dan syukur
bagi Tuhanku. Wahai Jibril, apa lagi yang telah disediakan Allah untukku?"
Jibril menjawab lagi: "Bahawasanya pintu-pintu
Syurga telah dibuka, dan bidadari-bidadari telah berhias, sungai-sungai telah mengalir,
dan buah-buahnya telah ranum, semuanya menanti kedatangan rohmu."
Baginda saw bersabda lagi: "Segala puji dan
syukur untuk Tuhanku. Beritahu lagi wahai Jibril, apa lagi yang disediakan Allah
untukku?"
Jibril menjawab: "Aku memberikan berita gembira
untuk tuan. Tuanlah yang pertama-tama diizinkan sebagai pemberi syafaat pada hari kiamat
nanti."
Kemudian Rasulullah saw bersabda: "Segala puji
dan syukur aku panjatkan untuk Tuhanku. Wahai Jibril beritahu kepadaku lagi tentang khabar
yang menggembirakan aku."
Jibril a.s. bertanya: "Wahai kekasih Allah, apa
sebenarnya yang ingin tuan tanyakan?"
Rasulullah saw menjawab: "Tentang
kegelisahanku. Apakah yang akan diperolehi oleh orang-orang yang membaca Al-Quran
sesudahku? Apakah yang akan diperolehi orang-orang yang berpuasa pada bulan Ramadhan
sesudahku? Apakah yang akan diperolehi orang-orang yang berziarah ke Baitul Haram
sesudahku?"
Jibril menjawab: "Saya membawa khabar gembira
untuk baginda. Sesungguhnya Allah telah berfirman: Aku telah mengharamkan Syurga
bagi semua Nabi dan umat, sampai engkau dan umatmu memasukinya terlebih dahulu."
Maka berkatalah Rasulullah saw: "Sekarang,
tenanglah hati dan perasaanku. Wahai Malaikat Maut dekatlah kepadaku."
Lalu Malaikat Maut pun mendekati Rasulullah saw.
Ali r.a. bertanya: "Wahai Rasulullah saw,
siapakah yang akan memandikan baginda dan siapakah yang akan mengafaninya?"
Rasulullah menjawab: "Adapun yang memandikan
aku adalah engkau wahai Ali, sedangkan Ibnu Abbas menyiramkan airnya dan Jibril akan
membawa hanuth (minyak wangi) dari dalam Syurga."
Kemudian Malaikat Maut pun mulai mencabut nyawa Rasulullah
saw. Ketika roh baginda sampai di pusat perut, baginda berkata: "Wahai Jibril,
alangkah pedihnya maut."
Mendengar ucapan Rasulullah itu, Jibril a.s. memalingkan
mukanya.
Lalu Rasulullah saw bertanya: "Wahai Jibril,
apakah engkau tidak suka memandang mukaku?"
Jibril menjawab: "Wahai kekasih Allah, siapakah
yang sanggup melihat muka baginda, sedangkan baginda sedang merasakan sakitnya maut?"
Akhirnya roh yang mulia itupun meninggalkan jasad
Rasulullah saw.
KESEDIHAN SAHABAT
Berkata Anas r.a.: "Ketika aku lalu di depan
pintu rumah Aisyah r.a., aku terdengar dia sedang menangis sambil mengatakan: Wahai
orang-orang yang tidak pernah memakai sutera, wahai orang-orang yang keluar dari dunia
dengan perut yang tidak pernah kenyang dari gandum, wahai orang-orang yang telah memilih
tikar daripada singgahsana, wahai orang-orang yang jarang tidur diwaktu malam kerana takut
Neraka Sa'ir."
Dikisahkan dari Said bin Ziyad dari Khalid bin Saad,
bahawasanya Muaz bin Jabal r.a. telah berkata:
"Rasulullah saw telah
mengutusku ke Negeri Yaman untuk memberikan pelajaran agama di sana. Maka tinggallah aku
di sana selama 12 tahun. Pada satu malam aku bermimpi dikunjungi oleh seseorang.
Kemudian
orang itu berkata kepadaku: Apakah anda masih lena tidur juga wahai Muaz, padahal
Rasulullah saw telah berada di dalam tanah?"
Muaz terbangun dari tidur dengan rasa takut, lalu dia
mengucapkan: "A'uzubillahi minasy syaitannir rajim." Lalu setelah
itu dia mengerjakan solat. Pada malam seterusnya, dia bermimpi seperti mimpi malam
yang pertama.
Muaz berkata: "Kalau seperti ini, bukanlah dari
syaitan." Kemudian dia memekik sekuat-kuatnya, sehingga didengar sebahagian
penduduk Yaman. Pada keesokan harinya, orang ramai berkumpul lalu Muaz berkata
kepada mereka: "Malam tadi dan malam sebelumnya saya bermimpi yang sukar untuk
difahami. Dahulu, bila Rasulullah saw bermimpi yang sukar difahami, baginda membuka Mushaf
(al-Quran).
Maka berikanlah Mushaf kepadaku." Setelah Muaz menerima Mushaf,
lalu dibukanya. Maka nampaklah firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya kamu
akan mati dan sesungguhnya mereka akan mati pula." (Surah Az-Zumar: ayat 30)
Maka menjeritlah Muaz, sehingga dia tidak sedarkan diri.
Setelah dia sedar kembali, dia membuka Mushaf lagi dan dia nampak firman Allah yang
berbunyi: "Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang rasul, sungguh telah
berlalu sebelumnya beberapa orang rasul. Apakah jika dia wafat atau dibunuh kamu akan
berbalik ke belakang (murtad)? Barang siapa yang berbalik ke belakang, maka dia tidak
dapat mendatangkan mudharat kepada orang-orang yang bersyukur?" (Surah
Al-lmran: ayat 144) Maka Muaz pun menjerit lagi: "Aduhai Abal-Qassim.
Aduhai Muhammad."
Kemudian dia keluar meninggalkan Negeri Yaman menuju ke
Madinah. Ketika dia akan meninggalkan penduduk Yaman, dia berkata: "Seandainya
apa yang ku lihat ini benar, maka akan meranalah para janda, anak-anak yatim dan
orang-orang miskin, dan kita akan menjadi seperti biri-biri yang tidak ada
pengembala."
Kemudian dia berkata: "Aduhai, sedihnya
berpisah dengan Nabi Muhammad saw." Lalu dia pun pergi meninggalkan mereka. Di
saat dia berada pada jarak lebih kurang tiga hari perjalanan dari Kota Madinah, tiba-tiba
terdengar olehnya suara halus dari tengah-tengah lembah yang mengucapkan firman Allah yang
bermaksud: "Setiap yang bernyawa pasti akan merasakan mati."
Lalu Muaz mendekati sumber suara itu. Setelah berjumpa,
Muaz bertanya kepada orang tersebut:
"Bagaimana khabar Rasulullah saw?"
Orang tersebut menjawab: "Wahai Muaz, sesungguhnya Muhammad saw telah
meninggal dunia." Mendengar ucapan itu, Muaz terjatuh dan tak sedarkan diri.
Lalu orang itu menyedarkannya. Dia memanggil Muaz: "Wahai Muaz, sedarlah dan
bangunlah."
Setelah Muaz sedar kembali, orang tersebut lalu menyerahkan
sepucuk surat untuknya yang berasal dari Abu Bakar As-siddiq, dengan cop dari Rasulullah
saw. Tatkala Muaz melihatnya, dia lalu mencium cop tersebut dan diletakkan di matanya.
Kemudian dia menangis dengan tersedu-sedu. Setelah puas dia menangis, dia pun
melanjutkan perjalanannya menuju Kota Madinah. Muaz sampai di Kota Madinah pada waktu
fajar menyingsing. Didengarnya Bilal sedang mengumandangkan azan Subuh. Bilal mengucapkan:
"Asyhadu Allaa Ilaaha Illallah?" Muaz menyambungnya:
"Wa Asyhadu Anna Muhammadur Rasulullah." Kemudian dia menangis dan
akhirnya dia jatuh dan tak sedarkan diri lagi.
Pada saat itu, di samping Bilal bin Rabah ada Salman
Al-Farisy r.a. lalu dia berkata kepada Bilal: "Wahai Bilal, sebutkanlah nama
Muhammad dengan suara yang kuat dekatnya. Dia adalah Muaz yang sedang pengsan."
Setelah Bilal selesai azan, dia mendekati Muaz, lalu dia berkata:
"Assalamualaika, angkatlah kepalamu wahai Muaz, aku telah mendengar dari Rasulullah
saw, baginda bersabda: Sampaikanlah salamku kepada Muaz." Maka Muaz pun
mengangkatkan kepalanya sambil menjerit dengan suara keras, sehingga orang-orang menyangka
bahawa dia telah menghembuskan nafas yang terakhir. Kemudian dia berkata:
"Demi ayah dan ibuku, siapakah yang mengingatkan aku pada baginda, ketika baginda
akan meninggalkan dunia yang fana ini, wahai Bilal? Marilah kita pergi ke rumah isteri
baginda Siti Aisyah r.a."
Setelah sampai di depan pintu rumah Siti Aisyah, Muaz
mengucapkan: "Assalamualaikum ya ahlil bait, wa rahmatullahi wa
barakatuh." Yang keluar ketika itu adalah Raihanah, dia berkata:
"Aisyah sedang pergi ke rumah Siti Fatimah." Kemudian Muaz menuju ke
rumah Siti Fatimah dan mengucapkan: "Assalamualaikum ya ahlil bait."
Siti Fatimah menyambut salam tersebut, kemudian dia
berkata: "Rasulullah saw bersabda: Orang yang paling alim di antara kamu
tentang perkara halal dan haram adalah Muaz bin Jabal. Dia adalah kekasih Rasulullah
saw." Kemudian Fatimah berkata lagi: "Masuklah wahai Muaz."
Ketika Muaz melihat Siti Fatimah dan Aisyah r.a., dia terus pengsan dan tak
sedarkan diri. Setelah dia sedar, Fatimah lalu berkata kepadanya: "Saya
mendengar Rasulullah saw bersabda: Sampaikanlah salam saya kepada Muaz dan khabarkan
kepadanya bahawasanya dia kelak dihari kiamat sebagai imam ulama." Kemudian
Muaz bin Jabal keluar dari rumah Siti Fatimah menuju ke arah kubur Rasulullah saw.
(Dipetik dari buku 1001 Duka - Himpunan Kisah-kisah
Menyayat Hati)
1 comments
Cerita ni syiah reka.. Cek smula
ReplyDelete"Semua artikel dalam blog ini dikongsikan untuk tujuan ilmu pengetahuan dan masih boleh dibincangkan & dipersoalkan kebenarannya. Ketepatan & kesahihan maklumat dalam blog ini perlu dibandingkan dengan sumber-sumber lain agar tidak terjadi anggapan penyebaran maklumat palsu atau fitnah. Sebarang maklumbalas berkaitan boleh diajukan kepada Abe di queachmad [at] queachmad [dot] com"