[EKSKLUSIF] SOALAN & JAWAPAN BERKAITAN SOLAT JAMAK DI MUSIM BANJIR | Oleh Ustaz Dr. Zaharuddin Abd Rahman | SOALAN:
Asalamualaikum ustaz, sahabat saya mintak tolong tanya pada ustaz.
Kes
dia mcm ni, kalau badan perempuan tu kotor kena lumpur banjir lepas tu
tempat solat pun kotor kira darurat ke? Boleh buat jamak ke?
baca lagi klik TAJUK ENTRI ni
Kes lagi
satu, kalau baju kotor kena lumpur. Banjir lepas tu ada tempat solat tapi
kalau nak ambik wuduk terpaksa ambik depan lelaki macam mana tu? Mintak
ustaz tolong jelaskan.
JAWAPAN
Wa’alaikumussalam,
Ulama mengharuskan jama’ solat Zuhur dan Asar, Maghrib dan Isyak
disebabkan oleh keuzuran dan kesukaran tertentu yang munasabah. Ulama
mazhab Maliki mengharuskan jama’ bagi mereka yang tidak bermusafir
disebabkan hujan, tanah terlalu berlumpur untuk ke masjid (termasuk
banjir) dan juga disebabkan sakit. (Al-Muqaddimat wa Mumahhidat, 1/185)
Ulama mazhab Syafie mengharuskan jama’ solat disebabkan hujan yang
boleh membasahkan semua pakaian, dan sebahagian ulama Syafie turut
mengharuskan atas sebab sakit, tanah dan ketakutan atas keselamatan (
biasanya merujuk kepada perjalanan ke masjid atau pertahanan diri
seperti tentera dan lainnya). (Al-Umm, Al-Syafi’e, 1/76 ; Kifayatul
Akhyar, 1/337)
Ulama mazhab Hanbali turut mengharuskan
disebabkan salji, kesejukan angin kencang dan, wanita yang istihadah dan
sepertinya. Mazhab Hanbali adalah yang paling luas keharusan untuk
jama’ ini. Mereka berdalil kepada hadis riwayat Muslim yang sohih dari
Ibn Abbas
عن ابن عباس أن رسول الله جمع بين الظهر والعصر، والمغرب
والعشاء بالمدينة في غير خوف ولا مطر. قيل لابن عباس : ما أراد إلى ذلك ؟
قال : أراد أن لا يحرج أمته
Ertinya: Rasululllah telah menjama’kan
solat Zohor dan Asar, Maghrib dan Isyak di Madinah tanpa jelas ketika
itu wujud sebarang suasana ketakutan atau hujan. Ditanya kepda Ibn Abbas
apakah tujuan baginda?
Maka dijawab : Baginda mahu agar tidak
menyukarkan ummatnya.
Kesatuan ulama Fiqh sedunia telah
membincangkan hadis ini dan meletakkan syarat kesukaran, keuzuran, sakit
dan yang sepertinya bagi sesiapa yang ingin beramal dengan jama’ solat
sebagaimana dalam hadis tadi. Tanpa sebarang keuzuran dan suasana yang
munasabah, jama’ TIDAK DIBENARKAN.
KESIMPULAN
Sheikh
Dr Yusuf al-Qaradawi ( Fatawa Mu’asiroh) mengharuskan jama’ dalam
keadaan uzur dan kesukaran, ini terpakai dalam suasana banjir dan
keadaan sukar di tempat pemindahan banjir dan rumah masing-masing, BUKAN
SAHAJA DI MASJID, ( rujuk al-Umm, 1/76) khususnya dalam keadaan banjir
belum surut, hujan pula masih turun, pakaian dan peralatan serba kurang.
Air bersih terlalu terhad.
Hukumnya adalah HARUS dan
DIBOLEHKAN untuk menjama'kan solat Zohor dan Asar, serta Maghrib dan
Isyak, ia meringankan kerana dengan sekali wudhu’ dua solat fardhu dapat
diselesaikan, pastinya sukar untuk menjaga wudhu dan sukar untuk
berwudhu berulang kali dalam keadaan kekurangan air bersih yang
meyakinkan. tetapi jika batal diantara dua solat jama' itu, wudhu tetap
WAJIB diambil.
Jika terlalu terdesak dan tiada air mineral
atau bersih paip, menggunakan air banjir juga masih dibenarkan namun
wajar dielakkan setakat mampu.
Cuma para ulama bersepakat jika
solat jama’ tanpa keuzuran sebenar dan menyalahgunakan keringanan ini,
solat adalah batal dan tidak sah.
Jika penempatan banjir atau
rumah mangsa banjir adalah seperti gambar, iaitu turut dinaiki air dan
tiada tempat yang kering sepenuhnya, maka DIHARUSKAN solat sambil duduk
atas kerusi, dengan rukuk dan sujud sekadar membengkok badan ke bawah.
sujud mestilah lebih ke bawah berbanding rukuk. namun tiada menyentuh
air banjir.
Manakala soalan, berkaitan campur lelaki wanita di
tempat wudhu’, wudhu masih mesti diambil. Bagi membolehkan ia diambil
oleh wanita saya mencadangkan beberapa perkara iaitu :
1) Cakap elok-elok pada kaum lelaki agar pergi mengosongkan tempat terbabit sebelum berwudhu’.
2) Minta ketua atau pegawai beri kerjasama untuk wanita berwudhuk.
3) Meminta saudara mara ambil kain cadar atau yang sesuai bagi dibuat
penghadang semasa ahli keluarga wanita masing-masing ingin mengambil
wudhu.
Sekian, semoga dapat beramal dalam apa jua keadaan.
Dr. Zaharuddin Abd Rahman
Web : www.zaharuddin.net
Facebook : https://www.facebook.com/pages/Ustaz-Dr-Zaharuddin-Abd-Rahman/264020270304330
Web : www.zaharuddin.net
Facebook : https://www.facebook.com/pages/Ustaz-Dr-Zaharuddin-Abd-Rahman/264020270304330
No comments:
Post a Comment
"Semua artikel dalam blog ini dikongsikan untuk tujuan ilmu pengetahuan dan masih boleh dibincangkan & dipersoalkan kebenarannya. Ketepatan & kesahihan maklumat dalam blog ini perlu dibandingkan dengan sumber-sumber lain agar tidak terjadi anggapan penyebaran maklumat palsu atau fitnah. Sebarang maklumbalas berkaitan boleh diajukan kepada Abe di queachmad [at] queachmad [dot] com"