KISAH PEMUDA YANG BERNAMA 'UZAIR | Gunakanlah AKAL Untuk Berfikir | Pada suatu hari ketika 'Uzair memasuki kebunnya yang menghijau dengan
pokok-pokok tamar dan tiba-tiba hatinya telah terpesona serta tertarik
untuk memikirkan rahsia keindahan dan keajaiban alam ini.
Sesudah
memetik buah-buahan dia pulang dengan keldainya sambil menikmati
keindahan-keindahan alam sekitarnya sehingga keldai yang ditungganginya
tersesat jalan.
baca lagi klik TAJUK ENTRI ni
Setelah sekian lama barulah dia sedar bahawa dia telah
berada di suatu daerah yang tidak dikenali oleh beliau serta sudah jauh
dari negerinya sendiri.
Sebaik sahaja dia sampai ke daerah itu dilihatnya kampung itu baru
sahaja diserbu oleh musuh-musuh sehingga menjadi rosak-binasa sama
sekali. Di tapak atau bekas runtuhan terdapat mayat-mayat manusia yang
bergelimpangan yang sudah busuk serta hancur. Melihatkan pemandangan
yang mengerikan itu, dia pun turun dari keldainya dengan membawa dua
keranjang buah-buahan. Manakala keldainya itu ditambat di situ, kemudian
dia pun duduk bersandar pada dinding sebuah rumah yang sudah runtuh
bagi melepaskan penatnya. Dalam pada itu, fikirannya mula memikirkan
mayat manusia yang sudah busuk itu.
"Bagaimana orang-orang yang sudah mati dan hancur itu akan dihidupkan
oleh Tuhan kembali di negeri akhirat?" begitulah pertanyaan yang datang
bertalu-talu da tidak terjawab olehnya sehingga dia menjadi
lemah-longlai dan kemudian terus tertidur. Dalam tidur itu, dia
seakan-akan bertemu dengan semua arwah (roh-roh) orang-orang yang sudah
meninggal itu. Tidurnya amat luar biasa sekali, bukan hanya sejam atau
semalam, tetapi dia telah tidur terus-menerus tanpa bangun-bangun selama
seratus tahun lamanya.
Dalam masa dia tertidur itu, keadaan di sekitarnya sudah ramai lapisan
baru, rumah serta bangunan-bangunan banyak yang telah didirikan. Dalam
masa seratus tahun itu, segala-galanya sudah berubah, manakal 'Uzair
tetap terus tidur tersandar di dinding buruk itu menjadi jasad (tubuh)
yang tidak bernyawa lagi. Dagingnya sudah hancur dan tulang belulangnya
sudah hancur lebur berderai.
Kemudian jasad 'Uzair yang telah mati, daging dan tulangnya yang sudah
hancur itu disusun kembali oleh Allah pada bahagiannya masing-masing
lalu ditiupkan ruhnya. Dan ketika itu juga 'Uzair hidup kembali seperti
dahulu. 'Uzair terus berdiri seperti orang yang bangun dari tidur lantas
dia mencari keldai dan buah-buahannya di dalam keranjang dahulu.
Tidak berapa lama kemudian, turunlah beberapa malaikat seraya bertanya, "Tahukah engkau ya 'Uzair berapa lama engkau tidur?"
Tanpa berfikir panjang 'Uzair menjawab, "Saya tertidur sehari dua ataupun setengah hari."
Lalu malaikat pun berkata kepadanya, "Bahawa engkau terdampar di sini
genap seratus tahun lamanya. Disinilah engkau berbaring, berhujan dan
berpanas matahari, kadang-kadang ditiup badai dan berhawa sejuk dan juga
panas terik. Dalam masa yang begitu panjang, makanan engkau tetap baik
keadaannya. Tetapi cuba lihat keadaan keldai itu, dia sendiri pun sudah
hancur dan dagingnya sudah busuk."
Berkata malaikat lagi, "Lihatlah dan perhatikanlah sungguh-sungguh.
Demikianlah kekuasaan Allah. Allah dapat menghidupkan kembali orang yang
sudah mati dan mengembalikan jasad-jasad yang sudah hancur lebur dan
dengan semudah itu pulalah Tuhan akan membangkitkan semua manusia yang
sudah mati itu nanti di akhirat untuk diperiksa dan diadili segala
perbuatannya. Hal ini diperlihatkan oleh Tuhan kepada engkau supaya iman
engkau tetap dan engkau sendiri dapat menjadi bukti kepada
manusia-manusia lain supaya engkau dan manusia-manusia lain tiada syak
dan ragu-ragu lagi tentang apa yang diterangkan Tuhan tentang akhirat
itu."
Setelah 'Uzair melihat makanan dan keldainya yang sudah hancur itu, maka
'Uzair pun berkata, "Sekarang tahulah saya bahawa Allah itu adalah
berkuasa ke atas tiap-tiap sesuatu." Tiba-tiba keldai yang sudah hancur
berderai itu dilihatnya mulai dikumpulkan daging dan tulangnya. Dan
akhirnya menjadi seperti sediakala iaitu hidup kembali bergerak-gerak
dan berdiri sebagaimana sebelum mati. Maka 'Uzair pun berkata, "Sekarang
tahulah saya bahawa Allah berkuasa di atas segala-galanya." Lalu dia
pun terus mengambil keldainya dahulu dan terus menunggangnya pulang ke
rumahnya dahulu dengan mencari-cari jalan yang sukar untuk dikenali.
Dilihatnya segala-gala telah berubah. Dia cuba mengingati apa yang
pernah dilihatnya seratus tahun dahulu. Setelah menempuhi berbagai
kesukaran, akhirnya dia pun sampai ke rumahnya. Sebaik sahaja dia sampai
di situ, dia mendapati rumahnya sudah pun buruk di mana segala dinding
rumahnya telah habis runtuh. Semasa dia memandang keadaan sekeliling
rumahnya, dia ternampak seorang perempuan tua, lantas dia pun bertanya,
"Inikah rumah tuan 'Uzair?"
"Ya," jawab perempuan itu. "Inilah rumah 'Uzair dahulu, tetapi 'Uzair
telah lama pergi dan tiada didengar berita tentangnya lagi sehingga
semua orang pun lupa padanya dan saya sendiri tidak pernah menyebut
namanya selain kali ini sahaja." Kata perempuan itu sambil menitiskan
airmata.
'Sayalah 'Uzair," jawab 'Uzair dengan pantas. "Saya telah dimatikan oleh
Tuhan seratus tahun dahulu dan sekrang saya sudah dihidupkan oleh Allah
kembali."
Perempuan tua itu terkejut seakan-akan tidak percaya, lalu dia pun
berkata, "'Uzair itu adalah seorang yang paling soleh, doanya selalu
dimakbulkan oleh Tuhan dan telah banyak jasanya di dalam menyembuhkan
orang yang sakit tenat." Sambunya lagi, "Saya ini adalah hambanya
sendiri, badan saya telah tua dan lemah, mata saya telah pun buta kerana
selalu menangis terkenangkan 'Uzair. Kalaulah tuan ini 'Uzair maka
cubalah tuan doakan kepada Tuhan suaya mata saya terang kembali dan
dapat melihat tuan."
"Uzair pun mendaha kedua belah tangannya ke langit lalu berdoa ke hadrat
Tuhan. Tiba-tiba mata orang rua itupun terbuka dan dapat melihat dengan
lebih terang lagi. Tubuhnya yang tua dan lemah itu kembali kuat
seakan-akan kembali muda. Setelah merenung wajah 'Uzair dia pun berkata,
"Benar, tuanlah 'Uzair. Saya masih ingat." Hambanya itu terus mencium
tangan 'Uzair lalu keduanya pergi mendapatkan orang ramai, bangsa
Israil. 'Uzair memperkenalkan dirinya bahawa dialah 'Uzair yang pernah
hidup di kampung itu lebih seratus tahun yang lalu.
Berita itu bukan sahaja mengejutkan bangsa Israil, tetapi ada juga
meragukan dan ada yang tidak percaya kepadanya. Walau bagaimanapun
berita itu menarik perhatian semua orang yang hidup ketika itu. Kerana
itu mereka ingin menguji kebenaran 'Uzair. Kemudian datanglah anak
kandungnya sendiri seraya bertanya, "Saya masih ingat bahawa bapa saya
mempunyai tanda di punggungnya. Cubalah periksa tanda itu. Kalau ada
benarlah dia 'Uzair."
Tanda itu memang ada pada 'Uzair, lalu percayalah sebahagian daripada
mereka. Akan tetapi sebahagian lagi mahukan bukti yang lebih nyata, maka
mereka berkata kepada 'Uzair, "Bahawa sejak penyerbuan Nebukadnezar ke
atas bangsa dan negara Israil dan setelah tentera tersebut membakar
kitab suci Taurat, maka tiadalah seorang pun bani Israil yang hafal isi
Taurat kecuali 'Uzair sahaja. Kalau benarlah tuan Uzair, cubalah tuan
sebutkan isi Taurat yang betul."
'Uzair pun membaca isi Taurat itu satu persatu dengan fasih dan lancar
serta tidak salah walaupun sedikit. Mendengarkan itu barulah mereka
percaya bahawa sungguh benar itulah 'Uzair. Ketika itu, semua bangsa
Israil punpercaya bahawa dialah 'Uzair yang telah mati dan dihidupkan
semual oleh Tuhan. Banyak di antara mereka yang bersalam dan mencium
tangan 'Uzair serta meminta nasihat dan panduan daripadanya. Tetapi
sebahagian daripada kaum Yahudi yang bodoh menganggap 'Uzair sebagai
anak Tuhan pula. Maha Suci Allah tidak mempunyai anak samada 'Uzair
mahupun Isa kerana semua makhluk adalah kepunyaan-Nya belaka. Janganlah
kita was-was tentang kekuasaan Allah, maka hendaklah dia fikir siapakah
yang menciptakan dirinya itu. Adalah mustahil sesuatu benda itu terjadi
dengan sendirinya tanpa ada yang menciptakan. Kalau masih ada orang yang
ragu-ragu tentang kekuasaan Allah, ubatnya hanya satu sahaja, hendaklah
dia membaca dan memahami al-Qur'an, was-was terhadap kekuasaan Allah
itu hanya datangnya dari syaitan.
Allah S.W.T telah meletakkan komputer dalam kepala kita untuk berfikir, oleh itu gunakanlah akal kita untuk berfikir.
100 tahun tidur... Maha Suci Allah ounya kuasa... segalanya berkemungkinan
ReplyDelete