[PENDEDAHAN EKSKLUSIF] Lima Bangunan Di Malaysia Yang Menakutkan | [EKSKLUSIF] 5 Gambar | Lima Bangunan Di Malaysia Yang Menyeramkan Di Malaysia, banyak rumah-rumah dan bangunan lama diklasifikasikan menyeramkan dan berpenunggu.
1. Apartment Riviera II, Cheras
baca lagi klik TAJUK ENTRI ni
Sekitar akhir tahun 1990-an, apartment ini menempatkan
pelajar-pelajar asrama beberapa buah universiti dan juga orang ramai,
termasuk warga asing.
Ketika para pelajar baru ditempatkan, tiada apa yang tidak kena
dengan bangunan ini. Kegiatan pelajar berjalan rancak meliputi aktiviti
keagamaan, pembelajaran dan kecergasan. Bangunan diselenggarakan dengan
baik, malah ramai pelajar sering menggunakan kolam renang di bahagian
tengah apartment untuk mandi-manda.
Tahun demi tahun, keadaan mula berubah. Bangunan apartment yang
dulunya ceria, menjadi semakin suram. Khabar angin bertiup kencang,
bahawa bangunan ini menjadi tempat para pelajar berduaan dan melakukan
aktiviti maksiat. Sejak semua ini berlaku, semakin banyak kejadian
mistik mula berlaku di apartment tersebut.
Menaiki atau menuruni bangunan menggunakan lif menjadi sesuatu yang
menakutkan, terutamanya di waktu malam. Kadangkala butang menyala
sendiri lantas lif berhenti di tingkat-tingkat tak berpenghuni.
Kadangkala muncul pula entiti yang tidak diingini sebaik saja pintu lif
terbuka di tingkat-tingkat yang tidak ditekan oleh pelajar. Menaiki
tangga pula bakal terserempak dengan entiti lain. Kebanyakan hanya
berharap nasib mereka baik tidak bertemu dengan entiti setiap kali
menggunakan lif.
Dikhabarkan, banyak kejadian mistik berlaku di apartment ini,
sehingga jumlah penghuni kian berkurangan. Selenggaraan bangunan semakin
diabaikan, air dalam kolam renang menjadi semakin keruh dan perabot
semakin rosak. Kejadian histeria dan rasukan berlaku dengan kerap,
sehinggalah pada suatu hari, salah seorang pelajar perempuan dikatakan
terjun dari tingkat lima kerana mendengar suara aneh yang memintanya
berbuat demikian. Kecederaan pelajar tersebut agak serius, sehingga
memaksa pihak pengurusan mengosongkan bangunan tersebut kira-kira enam
tahun lalu.
Kini bangunan Apartment Riviera II, Taman Kencana, Cheras hanya
tinggal bangunan, tiada siapa pun berani menghuninya. Ia semakin suram
dan menyeramkan walaupun dilihat dari jauh pada waktu siang. Hanya
kumpulan penyiasat paranormal tempatan yang melawat sekali-sekala
menceritakan pengalaman seram mereka sewaktu di sana.
2. Rumah Deposit RM 50 Seksyen 2, Shah Alam
Rumah sewa ini sering diperkatakan, terutamanya sewaktu penulis masih
belajar di sebuah universiti di Shah Alam. Ramai yang menganggap ia
sekadar legenda urban, dan ada yang mengatakan rumah tersebut memang
wujud. Khabarnya, penyewa yang menyewa di rumah tersebut akan diganggu
dan biasanya akan berpindah keluar selepas hanya sehari atau dua hari.
Walaupun terdapat pelbagai cerita mengenai rumah tersebut, masih
ramai yang cuba hendak menyewa. Mungkin kerana depositnya hanya RM 50?
Tuan rumah dikatakan sering menolak sekiranya ada yang hendak menyewa,
tetapi kebanyakannya tetap berkeras mahu mencuba. Biasanya jumlah
penyewa yang ramai menyebabkan ada yang berani menanggung risiko. Kalau
ramai, apa yang hendak ditakutkan bukan?
Namun begitu, percubaan mereka berakhir mengecewakan. Pernah satu
kumpulan tabligh cuba menyewa rumah tersebut. Pada hari pertama, di
waktu maghrib, mereka duduk berkeliling dan berdoa, secara tiba-tiba
satu kepala manusia jatuh di tengah-tengah mereka. Kesemua anggota
tabligh terus lari keluar dari rumah tersebut dan tidak pulang lagi.
Cerita yang paling terkenal tentang rumah ini ialah cerita salah
seorang penyewa yang pada masa itu berjumlah sepuluh orang. Dua orang
dari mereka telah meratakan sedikit busut yang betul-betul berada di
belakang pintu dapur. Akibatnya, mereka mula diganggu. Ada antara mereka
yang kaki direntap sewaktu sedang tidur sehingga jatuh katil.
Ada pula yang terjumpa batu nesan di atas katil, serta diganggu suara perempuan ketawa mengilai.
Kisah penyewa ini berakhir malang apabila diganggu sehingga dua orang
yang meratakan busut telah meninggal dunia, seorang akibat kemalangan
semasa lari keluar dari rumah tersebut, dan seorang lagi jatuh sakit
selepas itu.
Apa sejarah rumah ini? Khabarnya ia ialah rumah seorang pengamal
sihir. Satu ketika dahulu, keluarga pengamal sihir ini dijumpai mati
dibunuh di rumah tersebut.
Sehingga kini tidak dapat dipastikan di mana lokasi sebenar rumah
tersebut, yang dikatakan berdekatan dengan sebuah taman tema air yang
terletak di Seksyen 3, Shah Alam.
3. Kemayan City, Johor Bahru
Sebenarnya bangunan Kemayan City, bolehlah dikatakan sebagai satu
projek ‘gajah putih’. Ia pada asalnya hendak dibina sebagai salah satu
pusat membeli belah di Johor Bahru sekitar 90’an, namun pembinaannya
tergendala apabila berlaku kemelesetan ekonomi pada tahun 1998.
Selepas ekonomi kembali pulih, bangunan itu terbiar begitu saja. Ada
yang mengatakan ia menjadi tempat penagih dadah melepaskan gian, dan ada
juga pasangan yang mengambil kesempatan duduk berduaan di situ.
Khabarnya, ada juga penagih dikatakan cuba mencuri kabel elektrik di
situ, malang sekali mereka terkena renjatan elektrik dan meninggal
dunia.
Sebelum ini tersebar juga cerita mengenai keluarga dari Singapura
yang lalu di hadapan bangunan itu melihatnya begitu meriah, dengan lampu
warna warni terpasang dan dipenuhi begitu ramai pengunjung. Keluarga
ini telah masuk ke bangunan itu, membeli belah dan makan.
Setelah beredar, mereka singgah di rumah saudara dan menceritakan
pengalaman membeli belah di situ. Kemudian barulah mereka tahu yang
Kemayan City hanyalah bangunan kosong yang terbengkalai. Barang yang
telah mereka beli di situ hilang begitu saja manakala baki wang yang
didapati bertukar menjadi daun kering.
Kata orang arif, ia ialah kerja syaitan yang mahu melekakan dan menyesatkan manusia. Mungkin ada benarnya.
4. Rumah Banglo Jalan Turi, Bangsar
Rumah ini pernah mendapat liputan meluas sekitar tahun 1992, apabila
dua orang kanak-kanak lelaki dan pembantu rumah (kesemuanya warga asing)
yang menghuni rumah itu telah dibunuh oleh seorang pengawal
keselamatan. Pembunuhan mereka dikatakan dilaksanakan secara kejam, dan
mayat mereka dicampak dan disembunyikan dalam lubang najis di belakang
rumah.
Akibat perbuatannya, pengawal keselamatan itu telah dijatuhkan dan
menjalani hukuman mati. Namun cerita itu tidak berakhir begitu saja.
Rumah banglo itu terbiar tidak berpenghuni apabila pemiliknya pulang
ke negara asal. Keadaan rumah tersebut menjadi semakin daif kerana tiada
siapa berani tinggal di situ. Perabot telah musnah dan keadaan rumah
semakin uzur. Biarpun begitu, acap kali diberitakan orang ramai yang
melawat rumah itu atau lalu lalang di bahagian hadapan terlihat bayangan
dua orang budak dan juga wanita di situ, terutamanya waktu senja.
Kini, rumah itu telah dirobohkan sepenuhnya. Oleh siapa, tidak pula
diketahui. Yang tinggal hanya serpihan rumah saja. Namun bila melihat
runtuhan rumah saja pun, seseorang itu masih boleh berasa seram.
5. Penjara Pudu
Antara yang tempat yang terkenal sebagai tempat yang menyeramkan,
ialah Penjara Pudu yang terletak di Jalan Hang Tuah. Bangunan penjara
itu menempatkan bukan saja banduan biasa malah banduan akhir.
Antara cerita mengenai Penjara Pudu ialah mengenai seorang detektif
yang sedang menyoal siasat seorang banduan wanita sekitar tahun 60’an.
Sewaktu sedang menyoal siasat secara tiba-tiba kepala wanita tadi
terjatuh dan bergolek ke pintu bilik.
Detektif tersebut telah lari keluar dan mendapati sebenarnya dia
tidak menyoal siasat sesiapa pun. Banduan wanita tersebut sebenarnya
tidak wujud di penjara itu.
Kini Penjara Pudu telah diruntuhkan sepenuhnya dan proses pembinaan
bangunan baru sedang dijalankan. Khabarnya sebuah pusat membeli-belah
akan dibina di situ.
No comments:
Post a Comment
"Semua artikel dalam blog ini dikongsikan untuk tujuan ilmu pengetahuan dan masih boleh dibincangkan & dipersoalkan kebenarannya. Ketepatan & kesahihan maklumat dalam blog ini perlu dibandingkan dengan sumber-sumber lain agar tidak terjadi anggapan penyebaran maklumat palsu atau fitnah. Sebarang maklumbalas berkaitan boleh diajukan kepada Abe di queachmad [at] queachmad [dot] com"