[PENDEDAHAN EKSKLUSIF] Nota Terakhir Mona Fandey | SERAM | AKU mulakan tulisan ini dengan nama Allah SWT yang Maha Pemurah lagi
Mengasihani.
Hatiku kian sebak hanya kerana Allah Maha Esa Maha
Mengetahui. Kenapa? Mengapa? Kerana Allah SWT yang menentukan
segala-galanya.
baca lagi klik TAJUK ENTRI ni
Sebelum ini aku tidak pernah mengerti apakah yang dikatakan bahagia.
Aku bertanya kepada teman. Ada yang mendefinisinya sebagai suatu keadaan
perasaan. Ya, gembira satu perasaan.
Ada pula orang kata, gembira tidak mengisi atau menepati makna
bahagia. Namun, aku pasti ia suatu keluarbiasaan. Tetapi, dapatkah
merasainya?
Akhirnya aku menemuinya, aku berasa sungguh bahagia, tiada kata-kata
untuk diungkapkan. Bahagia ini datang menerpa jiwaku dengan tiba-tiba.
Saat itu aku di dalam Masjid Nabawi di Madinah.
Pertama kali aku melangkah masuk ke masjid nan suci itu. Masjid
menempatkan makam kekasih Allah, Nabi Muhammad SAW, junjungan kita.
(Ketika itu aku mengerjakan umrah pada 2008. Tahun berikutnya, dengan
izin Allah SWT aku dapat menunaikan haji, Alhamdulillah).
Aku masih ingat lagi saat-saat itu. Pada masa itu, aku sebak, sedih
bercampur. Ya, rasa ‘bahagia’ atau rasa yang menerjah kalbu. Dengan air
mata, aku menadah tangan mengucapkan syukur ke hadrat Ilahi. Ya Allah
yang Maha Pemurah dan Maha Pengasih, aku datang dari jauh dan mendirikan
solat di Masjid Nabawi.
Di Madinah yang menyaksikan pengorbanan dan perjuangan junjungan
besar kita untuk menyelamatkan kita daripada kejahilan. Aku berasa
hampir dengan-Mu, Ya Allah. Di benakku, aku menghitung hari seterusnya
berpeluang mendirikan solat di Masjidil Haram di Makkah pula, dengan
izin-Nya. Pasti perasaan bahagia ini berulang-ulang selama aku di tanah
suci.
Sebagai manusia yang mempunyai perasaan, pengalaman duniawi menjamah
jiwaku. Menjalankan tugas sebagai wartawan mahkamah menemukanku dengan
hamba-hamba-Nya yang tersisih daripada masyarakat. Setiap hari aku
melihat pemandangan yang akan mengecutkan jiwa kecil.
Saban hari aku melihat tertuduh diberkas dan diganding untuk
dihadapkan ke muka pengadilan. Mereka akan mendapat hukuman kerana
melanggar undang-undang jenayah dan sivil.
Di tanah suci, ingatanku kembali kepada mereka, terutama sepasang
suami isteri. Dan, hati terdetik, jikalau pasangan suami isteri itu tahu
kebesaran Allah. Sedarkah mereka akibat perbuatan yang akan menerima
azab Allah kelak. Azab-azab yang diulang-ulang dalam firman Allah dan
hadis Rasul. Hatiku mengeluh, sekiranya mereka mengingati Allah SWT
semua ini tidak akan berlaku.
Tetapi, ustaz pernah mengajar, tidak perlu kata ‘kalaulah’ kerana
semua yang berlaku itu satu ketentuan Allah SWT. Aku menghadiahkan
al-Fatihah kepada kedua-duanya. Ya Allah ampunkan mereka berdua, doaku
untuk mereka di masjid suci itu. Umum tahu siapakah pasangan yang
meninggalkan nama.
Nama sebagaimana? Nama yang dirujuk sebagai kes-kes jenayah dalam
pengajian bidang guaman? Rentetan hidup pasangan ini menjadi bualan
waktu itu. Mereka pergi sebagai manusia yang dikenali kerana jenayah
dilakukan. Tetapi adakah orang yang terfikir untuk ambil kisah mengapa
jenayah sedemikian terjadi?
Mengimbas pengalaman lama, lebih lima bulan aku dan rakan-rakan
wartawan membuat liputan kes perbicaraan pasangan ini di Mahkamah Tinggi
Temerloh, sekitar tahun 1994/95. Isterinya mesra dengan nama Mona
Fandey. Suaminya, Mohd
Affandi Abdul Rahman. Kedua-duanya menyara hidup
dengan mendakwa sebagai bomoh.
Mereka diberkas dan dibicarakan atas tuduhan membunuh Allahyarham
Datuk Mazlan Idris yang pada masa itu wakil rakyat negeri Pahang. Satu
pembunuhan yang teramat kejam.
Aku tidak ingin mengungkit kembali fakta yang dibentangkan dalam kes
mereka. Hanya untuk membawa pembaca mengenangkan arwah Mona Fandey. Dia
seorang wanita ayu. Mona Fandey seperti wanita lain juga. Dia ada impian
untuk berjaya dalam hidup. Salah satu impiannya ingin jadi penyanyi.
Mona Fandey seorang isteri yang sangat mencintai suaminya. Dia
meluahkan perasaan hatinya dalam nota autograf yang aku ambil
daripadanya dan kini tersimpan sebagai khazanah peribadi. Bunyinya
ringkas: “Saya ingin hidup dan mati bersama suamiku.”
Ya, dia mencapai keinginannya itu. Dia mati bersama-sama suaminya.
Mereka berdua dihukum gantung sampai mati atas kesalahan membunuh di
bawah jenayah berat undang-undang Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sepanjang pasangan itu dibicarakan, mahkamah penuh sesak. Pada satu
ketika timbul kejadian mistik yang sehingga sekarang jadi persoalan
tanpa jawapan. Pada suatu pagi kes mereka, tiba giliran doktor forensik
yang bedah siasat anggota mayat mangsa yang mati dalam keadaan ngeri
dikerat-kerat 18.
Hadirin di mahkamah senyap sunyi. Cerita doktor terasa ngeri, seram
remang bulu roma. Tidak semena-mena kedengaran bunyi ‘keruk-keruk’. Para
hadirin memandang sesama sendiri.
Dada akhbar esoknya memaparkan bermacam versi yang kebanyakannya
mengatakan satu bunyi menakutkan. Tetapi Utusan Malaysia melaporkan
berita eksklusif. Pada petang itu, aku memperoleh maklumat daripada
sumber bahawa ia adalah bunyi itik-itik jawa Mona Fandey yang mati
beragan (kelaparan) di Kampung Hulu Dong, Raub.
Seorang wartawan wanita pula yang menemui Mona Fandey di lokap untuk
bertanya resolusi tahun baharu, pada malamnya dikatakan mengigau
menghempas muka ke lantai simen tandas hinggakan pipi dan bibir
berdarah.
Aku masih ingat, Mona Fandey memberi amaran kepada wartawan supaya
tidak menokok tambah apa yang dikatakannya pada masa dia bersama-sama
suami dan pembantunya, Juraimi Husin dibawa menaiki trak untuk balik ke
Penjara Kajang. Hukuman mati sudah dijatuhkan.
“Saya nak senyum.” Itu kata-kata akhir Mona Fandey kepadaku apabila
ditanya apa yang akan dibuatnya menghabiskan sisa-sisa waktu di penjara.
Manakala Mohd. Affandi pula kata, dia hendak beramal ibadat dan Juraimi
mengatakan dia hendak mengaji al-Quran.
Semasa itu, fikiranku terasa berat. Mona Fandey kata dia nak senyum?
Kata-katanya mengandungi amaran pula supaya tidak tokok tambah.
Sepanjang perjalanan balik ke ibu pejabat Utusan, aku tidak berhenti
berfikir. Apabila sampai di pejabat, aku cerita kepada Ketua Pengarang
ketika itu dan beberapa editor yang memberi pandangan berbeza mengenai
kata-kata Mona Fandey.
Seorang editor berpandangan, ada sesuatu yang ‘tak kena’ pada wanita
ini. Namun aku jawab, tidak. Kata-kata Mona Fandey dalam maknanya. Aku
beri hujah bahawa simboliknya dia pasrah nasib yang telah menimpa
dirinya.
Keesokannya, keluar tajuk besar Utusan Malaysia, “Saya nak senyum.”
Waktu itu akhbar Utusan Malaysia laris macam goreng pisang panas.
Apabila dikenangkan, aku pun rasa nak senyum. Kenapa? Akhbar berbahasa
Cina turut mengambil kesempatan memaparkan gambar-gambar yang dikatakan
seolah-olah mendewakan wanita ini.
Hal ini berlaku di peringkat dia hadir perbicaraan di mahkamah. Aku
masih ingat bagaimana dia menonjolkan diri dengan keterampilan
berpakaian kemas bermacam fesyen pada setiap hari. Jelas dia seorang
wanita yang mempunyai cita rasa tinggi kepada kemewahan.
Cita-cita yang tidak kesampaian Mona Fandey untuk menjadi penyanyi.
Dalam ceritanya kepada hakim, Mona Fandey mendakwa ketika pegawai polis
menyoal siasat, dia minta untuk menyanyi.
Dalam filem Hindustan, katanya, orang tidak jemu menonton sebab hero
bercinta menyanyi, putus cinta menyanyi, masak di dapur menyanyi dan
mengiring orang mati pun menyanyi. Apa yang menariknya, Mona Fandey
meminta izin hakim agar dibenarkan dia menyanyi sebuah lagu dalam
mahkamah.
Hakim bijaksana tidak membenarkan. Jika dibenarkan pasti gempar
mahkamah jadi pentas hiburan. Aku berdoa kepada Allah SWT untuk
mengampunkan dosa semua hamba-Nya dan diberi taufik serta hidayah kepada
yang masih terpesong.
Bahagia menjelma apabila kita dapat merasai keesaan-Nya. Kebahagiaan
yang abadi. Semoga Allah mencucuri rahmat kepada ketiga-ketiga hamba-Nya
ini.
No comments:
Post a Comment
"Semua artikel dalam blog ini dikongsikan untuk tujuan ilmu pengetahuan dan masih boleh dibincangkan & dipersoalkan kebenarannya. Ketepatan & kesahihan maklumat dalam blog ini perlu dibandingkan dengan sumber-sumber lain agar tidak terjadi anggapan penyebaran maklumat palsu atau fitnah. Sebarang maklumbalas berkaitan boleh diajukan kepada Abe di queachmad [at] queachmad [dot] com"