[EKSKLUSIF] Kisah Hidup Bersama Mayat Kekasih Selama 7 Tahun | PELIK TAPI BENAR | Kebanyakan manusia normal apabila kehilangan seseorang yang dicintai selalunya akan mencari pengganti lain.
Mungkin berikrar untuk hidup keseorangan sehingga akhir hayat semata
untuk menunjukkan kesetiaan atau mati secara tiba-tiba akibat strok di
sisi mayat isteri yang meninggal akibat barah di atas katil hospital
yang walaupun kedengaran tidak logik namun harus terjadi kerana perlu
mengikut skrip (ok, ini hanya terjadi di dalam drama Tentang Dhia).
Namun tidak bagi Carl Tanzler.
baca lagi klik TAJUK ENTRI ni
Carl Tanzler dilahirkan pada 1877 di Dresden, Jerman dan kemudiannya
berpindah ke Florida pada tahun 1927 bersama isteri dan dua anak
perempuannya. Beliau kemudiannya berkerja sebagai pakar radiologi di
United States Marine Hospital di Key West.
Di sana, beliau ditempatkan di wad tibi, suatu urusan yang agak
mengerikan memandangkan kadar kematian yang tinggi bagi penyakit
tersebut berbanding hari ini. Boleh difahamkan bahawa bagi seorang
manusia normal sekalipun untuk menghadapi kematian pada setiap hari
merupakan sesuatu yang sangat menggugat emosi dan berbahaya, lebih-lebih
lagi bagi seorang Carl Tanzler yang boleh dikira tidak betul juga
kepalanya sikit-sikit.
Beliau mendakwa berpengetahuan dalam teknik pengubatan yang baru dan
belum diuji untuk menyembuhkan pelbagai penyakit, di samping mempunyai
kelayakan dan sijil yang tidak disokong dan tidak diiktiraf. Beliau juga
didakwa tidak pernah menjalani apa-apa pendidikan perubatan secara
formal.
Bukan itu sahaja, malah beliau mendakwa pernah dikunjungi nenek
moyangnya yang telah lama meninggal yang menunjukkan beliau satu visi
tentang seorang wanita cantik berambut hitam yang akan menjadi cinta
sejatinya.
Pertemuan Dengan Helen
Walaupun telah berumahtangga, Tanzler percaya beliau telah menjumpai
cinta sejatinya apabila beliau bertemu Maria Elena Milagro “Helen” de
Hoyos pada April 1930, yang biasa dipanggil Helen atau jika anda sudah
biasa dalam dunia blogging, panggil Maria Elena juga boleh. Heheh.
Helen merupakan pesakit tibi yang berdasarkan gambar di atas,
memang.sangat.gojes.amat dan berada dalam keadaan kritikal. Tanzler
berikrar untuk menyelamatkan Helen walau dalam apa jua cara sekalipun,
dan keluarga Helen yang sudah terdesak bersetuju untuk membenarkan
Tanzler menggunakan rawatannya yang pelik dan belum teruji dari
penggunaan ubat-ubat herba hinggalah rawatan x-ray.
Tanzler meluahkan cintanya kepadanya Helen, memberi beliau
bermacam-macam hadiah, namun tiada bukti menunjukkan Helen menerima
semula cinta Tanzler dalam apa cara sekalipun. Namun Tanzler tidak
berputus asa, malah beliau seolah-olah percaya bahawa dengan
menyembuhkan penyakitnya, Helen tidak mampu untuk berkata tidak untuk
menolak cintanya.
Kematian Helen
Walau bermacam-macam usaha yang telah dilakukan, Helen akhirnya
meninggal dunia pada tahun 1931. Kemudian Tanzler membina makam untuk
Helen dengan kebenaran keluarga Helen dan bermula dari situlah kelakuan
cinta Tanzler semakin bertambah pelik.
Keluarga Helen tidak mengesyaki apa-apa dengan kelakuan Tanzler yang
sering mengunjungi makam tersebut namun apa yang mereka tidak ketahui
ialah usaha Tanzler yang tidak penat lelah untuk mengekalkan mayat Helen
dalam keadaan stasis.
Beliau memelihara mayatnya dengan formaldehyde, dan dalam
dua tahun berikutnya menemani mayat Helen setiap malam dan berbual
panjang bersama beliau. Beliau juga memasang telefon di situ supaya
beliau masih boleh menghubungi mayat Helen walaupun beliau tiada di
situ.
Jika masa kini pasti Tanzler sudah membuka akaun Facebook atau
Twitter untuk Helen dan berpura-pura membalas komen atau retweet bersama
Helen. Beliau juga dilaporkan mendakwa sering dikunjungi roh Helen yang
memberitahunya supaya memindahkan mayatnya.
Pada 1933 akhirnya beliau mencuri mayat Helen dari kuburnya dan
membawanya pulang ke rumah. Pada masa tersebut Helen telah meninggal
selama dua tahun dan beliau berjuang habis-habisan untuk melawan
pereputan mayatnya.
Beliau menggunakan berbaldi-baldi bahan pengawet untuk mengekang
penguraian dan mencurah berbotol-botol minyak wangi untuk melawan bau
daging mayat Helen yang sudah mereput itu. Namun semuanya tidak berkesan
dan mayat Helen berterusan mereput.
Walaupun begitu, beliau tetap terus berusaha menjalinkan perhubungan,
seolah-olah hidup bersama dalam suasana bahagia, malahan turut
memainkan lagu-lagu untuk mayat Helen melalui piano.
Semakin teruk pereputan mayat Helen, semakin ekstrem kaedah yang digunakan Tanzler untuk memelihara mayat tersebut.
Beliau menggunakan wayar piano untuk menyambung tulang-tulang pada
mayat tersebut dan apabila mata beliau mula mereput, Tanzler
menggantikannya dengan replika kaca. Kulitnya mula mereput dan jatuh,
dan beliau menggantikannya dengan campuran pelik ciptaannya sendiri,
iaitu sutera yang direndam bersama lilin dan plaster.
Untuk setiap bahagian badan beliau yang mula mereput, Tanzler cuba
memeliharanya sedaya upaya namun lama-kelamaan mayat tersebut berubah
daripada wanita yang dicintainya menjadi semacam anak patung yang
mengerikan, melambangkan kesedihan hidup mayat Helen tersebut.
Badannya terurai kerana organnya mula mereput, dan Tanzler mengisi
perut dan dadanya dengan kain buruk untuk mengekalkan bentuknya.
Rambutnya jatuh dan beliau menggantikannya dengan rambut palsu. Beberapa
laporan mendakwa beliau memasang satu tiub yang bertindak sebagai
kemaluan palsu pada mayat Helen dengan tujuan Tanzler untuk,
err..berjimak.
Tanzler Ditangkap
Namun percintaan romantik antara Tanzler dan mayat Helen tersebut
berakhir tujuh tahun kemudian iaitu pada tahun 1940, apabila kakak Helen
yang mengesyaki Tanzler memecah masuk rumahnya sebelum menjumpai mayat
Helen yang sudah berupa barbie dollhendaknya, memakai pakaian kepunyaan Helen.
Tanzler ditangkap dan didapati masih waras untuk dibicarakan namun
akhirnya dilepaskan kerana kekurangan akta dalam undang-undang.
Kisah beliau yang pelik dan mengerikan itu mendapat liputan luas
media, namun reaksi orang ramai adalah sebaliknya yang kebanyakannya
bersimpati terhadap Tanzler. Orang ramai beranggapan Tanzler merupakan
seorang yang ‘eccentric romantic‘, mungkin juga kehilangan arah, namun masih perlu diberikan simpati.
Mayat Helen telah diperiksa oleh doktor dan ahli patologi dan
kemudiannya dipaparkan kepada orang ramai yang dihadiri oleh beribu
pengunjung. Mayat Helen dikebumikan di satu perkuburan rahsia yang masih
tidak diketahui hingga hari ini, mungkin bertujuan untuk mengelak
Tanzler daripada senyap-senyap mencuri semula mayat tersebut.
Walaupun kehilangan mayat Helen, obsesi Tanzler tidak pernah
berkurang. Beliau mencipta satu patung untuk mengganti mayat tersebut
dan memakaikannya pakaian kepunyaan Helen.
Dari sini dapatlah diketahui bahawa patung yang menjijikkan dan
mengerikan yang menggantikan Helen itu adalah lebih penting bagi Tanzler
daripada realiti seorang wanita cantik bernama Helen itu sendiri, yang
tidak pernah membalas cintanya semasa beliau masih hidup. Tanzler
menghabiskan sisa hidupnya bersama patung tersebut.
Tanzler meninggal pada tahun 1952 di rumahnya.
Ya, kisah ini memang kedengaran mengerikan dan menjijikkan
kadang-kadang dan tidak boleh disangkal bahawa Tanzler merupakan seorang
gila, delusional dan syok sendiri tahap maut. Namun
sekurang-kurangnya kita masih boleh bersimpati dengan beliau yang sangat
setia dengan orang dicintainya dan tidak boleh membayangkan hidup
tanpanya, walaupun cara beliau mencintai itu seperti luar tabii dan
berkeadaan delusi.
No comments:
Post a Comment
"Semua artikel dalam blog ini dikongsikan untuk tujuan ilmu pengetahuan dan masih boleh dibincangkan & dipersoalkan kebenarannya. Ketepatan & kesahihan maklumat dalam blog ini perlu dibandingkan dengan sumber-sumber lain agar tidak terjadi anggapan penyebaran maklumat palsu atau fitnah. Sebarang maklumbalas berkaitan boleh diajukan kepada Abe di queachmad [at] queachmad [dot] com"