[EKSKLUSIF] Tips Bercinta | Jika Anda Pilihan Kedua Si Dia
2/10/2014 02:00:00 pm
[EKSKLUSIF] Tips Bercinta | Jika Anda Pilihan Kedua Si Dia | Tiba-tiba kamu terima panggilan daripada seseorang yang sangat
dikenali.
Percaya atau tidak dia adalah seorang yang paling disayangimu
sebelum ini. Hubungan bermula dengan persahabatan membuahkan rasa kasih.
baca lagi klik TAJUK ENTRI ni
Begitupun kamu hanya bertepuk sebelah tangan sedangkan si dia menaruh
hati kepada orang lain. Seseorang yang tidak jauh, dari kalangan sahabat
handai juga.
Rasa-rasanya si dia menerima isyarat kamu berikan. Dia bukannya tidak
tahu rasa kasih ditunjukkan tetapi apakan daya, hatinya sudah
diserahkan kepada orang lain. Cinta si dia ternyata bukan untukmu. Lalu
kamu mengambil keputusan mengundur diri. Apalah yang tinggal, lebih baik
mendoakan sahaja kedua-dua merpati itu hidup aman bahagia.
Kamu bukannya tidak berusaha dan berundur semudah itu. Sudah
dilakukan segala-galanya untuk menunjukkan kasih dan sayang. Kalau orang
sudah kemaruk cinta, gajah depan mata pun tak nampak. Kuman di seberang
laut juga mahunya. Tak kisahlah kerana bagimu itu sudah suratan. Kamu
lantas meneruskan kehidupan pada laluan berlainan.
Cuma panggilan daripadanya kali ini lain benar bunyinya. Beberapa
kali kamu menyoal, bukan salah nombor kah? Dalam hati apa yang dia
hendak sebenarnya? Sudah hampir setengah tahun masa berlalu. Sepanjang
tempoh itu kamu berdua tiada langsung berhubungan. Luka dalam hatimu pun
semakin sembuh.
“Memang tak salah. I nak bertanyakan khabar you,” ujarnya selamba.
“Oh, I sihat. Terima kasihlah,” balas kamu bersahaja.
Sejak itu kerap pula dia hadir dalam hidupmu. Kadang-kadang
merimaskan dan banyaknya merungsingkan. Lebih-lebih lagi dia terlalu
baik tiba-tiba. Sikapnya berbeza sekali, tidak lagi dingin seperti dulu.
Si dia jadi lebih bertimbang rasa dan memahami. Paling menakutkan,
beberapa isyarat diberikannya itu. Terbalik pula nampaknya. Lalu kamu
mengambil keputusan menyiasat. Kamu mula merisik daripada teman-teman,
apa sudah jadi?
Rupa-rupanya si dia sedang patah hati kerana tersinggung. Hendak kata
putus, tak berani pula teman itu mengulas lanjut. Kamu menerima si dia
seadanya, tetapi tidak pula menaruh harapan terlalu tinggi. Takut pisang
berbuah dua kali. Nampaknya sudah ada ciri-ciri sebegitu.
Begitupun kamu pasti tak dapat mengelak kembali menaruh hati
kepadanya bukan? Beberapa bulan selepas itu, si dia kelihatan sangat
berseri-seri. Tanpa menyembunyikan apa-apa dia mengaku sudah kembali
bersama kekasihnya.
Kiranya hubungan mereka ada turun naiknya. Ada ketika kamu dilayan
seperti individu paling istimewa. Fahamlah kamu hubungan mereka sedang
berantakan. Tetapi ada hari-harinya kamu dilayan sebagai sahabat karib
dan terpaksa pula mendengar cerita-cerita asmaranya. Lama-kelamaan kamu
jadi bingung. Di manakah letaknya diri kamu di matanya? Apatah lagi
kedudukan kamu di dalam hatinya.
Jangan dibiarkan sahaja seandainya kamu suarakan masalah tetapi tidak
didengar. Dah tak usah nak merungut lagi, bertindaklah sesuatu. Jangan
takut atau terlalu akur dengan si dia. Berani-beranilah mengatakan TIDAK
pada apa semua mahunya tetapi bagaimana? Berikut GUA berikan beberapa
contoh untuk dijadikan tauladan buat kamu:
1. Dia sibuk, kamu buat-buat sibuk
Misalan si dia mula tiada masa buatmu, bawa berbincang. Sekiranya dia
sombong masih kekal dengan aktiviti-aktiviti tambahannya (bersama gadis
pilihan hatinya). Jangan biarkan dia menang dengan duduk di rumah.
Sekiranya rutin kamu menonton atau melakukan aktiviti berdua terhalang
oleh alasan kesibukan si dia, pastikan kamu teruskan juga dengan
mengajak kawan-kawan atau keluarga. Biar dia tahu waktu kamu juga terisi
dan tidak terjejas dengan segala alasan diberikan. Sekiranya dia mahu
bertemu kamu, cuba katakan urusan belum selesai. Biar dia
tertunggu-tunggu atau batalkan saja pertemuan.
2. Beri ruang untuk diri sendiri
Tunjukkan dia juga bukan keutamaan kamu seperti dia lakukan terhadapmu.
Selama ini perkara lain lebih utama daripada dirimu. Jikalau mahu dia
lebih menghargai kamu, berilah ruang kepada dirimu dahulu. Utamakan diri
sendiri dan barulah kamu mendapat layanan sewajarnya.
3. Jangan terlalu menerima perbuatannya
Percayalah, perbuatan kekasih kamu itu sangat mementingkan diri sendiri.
Dia membiarkan kamu mengikut waktunya dan mahu kamu bersedia sentiasa
untuk dirinya. Sedangkan keperluanmu tidak sekali-kali dipenuhi.
Contohnya, jika kamu sangat memerlukan dirinya, belum tentu dia tampil
menemani kamu. Lebih menakutkan, kamu pula terlalu menerima apa sahaja
perlakuannya. Padahal dia memberikan alasan sama setiap kali.
4. Atasi penderaan emosi
Tanpa disedari kamu, perlakuan si dia telah mendera emosi kamu. Secara
tidak langsung membuat kamu hilang keyakinan diri. Ia memberi kesan pada
keseluruhan hidup. Seandainya kamu punya rasa enggan meneruskan
kehidupan, kerja kini membosankan, sentiasa gagal berurusan, nah, itulah
petanda kehidupan kamu terjejas kerananya. Hakikat sebenarnya kamu yang
mendera diri sendiri. Bukannya kamu terikat berada di dalam kepongpong
si dia. Kamu masih bebas dan punya kuasa membuat pilihan sendiri. Kamu
sahaja yang enggan membebaskan diri.
5. Hormat diri sendiri
Jangan berharap sangat si dia akan menghormatimu. Bagi mengembalikan
keyakinan diri, tolong hormat diri sendiri dengan mengutamakan
keperluanmu terlebih dahulu. Kalau boleh pastikan orang sekelilingmu
tergolong daripada mereka yang memandang tinggi kepada dirimu. Buka mata
hati menerima keadaan ini. Dia hanya jadikan kamu pilihan kedua.
6. Belajar berdikari
Seandainya dirasakan sukar membina hidup sendirian, cuba kenangkan
kembali kehidupan kamu sebelumnya. Bukannya si dia sentiasa berada di
sisi kamu kerana orang di sana lebih diutamakan. Tanpa sedar kamu selama
ini hidup berdikari kerana sering diabaikan. Kamu telah diperdaya oleh
fikiran kamu yang percaya selama ini kamu bergantung harap kepadanya.
Padahal si dia hanya memandang kamu sebelah mata.
Itulah sedikit sebanyak keadaan dalam sedar dan luar sedar mengenai
hubungan kamu dan si dia. Memang sukar menerima hakikat sebenar. Tetapi
ambil langkah secara perlahan-lahan kerana GUA faham, keyakinan diri
bukan datang dalam sehari dua. Sudah-sudahlah menjadi pilihan kedua si
dia. Seandainya kamu adalah kekasih kesayangannya, mengapa perlu kamu
memendam rasa sebegini. Seorang kekasih akan membahagiakan kekasihnya.
Bukan membuatkan pasangannya jadi serba salah sepertimu. Memendam rasa
dengan segala perlakuan sambil lewanya.
Jangan buang masa merebut tempat pertama itu. Kamu juga berhak untuk
bahagia seperti orang lain. Balik pada asas kehidupan, cinta kepada
Allah lebih afdhal. Dengan itu, kamu pasti dapat mengatasi rasa cinta
mendalam kamu terhadapnya.
0 comments
"Semua artikel dalam blog ini dikongsikan untuk tujuan ilmu pengetahuan dan masih boleh dibincangkan & dipersoalkan kebenarannya. Ketepatan & kesahihan maklumat dalam blog ini perlu dibandingkan dengan sumber-sumber lain agar tidak terjadi anggapan penyebaran maklumat palsu atau fitnah. Sebarang maklumbalas berkaitan boleh diajukan kepada Abe di queachmad [at] queachmad [dot] com"