[EKSKLUSIF] 10 Tabiat Buruk Ibu Bapa Yang Patut Dihentikan | MESTI BACA !!!
10/21/2014 09:00:00 am
[EKSKLUSIF] 10 Tabiat Buruk Ibu Bapa Yang Patut Dihentikan | MESTI BACA !!! | Sebagai insan biasa, kita tidak terlepas mempunyai tabiat buruk
masing-masing.
Mana ada manusia yang sempurna, bukan? Tidak salah
mempunyai tabiat buruk, asalkan ia tidaklah memudaratkan diri sendiri
dan orang lain.
baca lagi klik TAJUK ENTRI ni
Namun begitu, terdapat beberapa tabiat buruk yang harus anda
pertimbangkan untuk dihentikan – lebih-lebih lagi setelah menjadi ibu
bapa. Hidup ini hanya sementara. Perbaikilah mana yang mampu demi
kesejahteraan hubungan anda dengan anak-anak. InshaAllah.
1. Menghakimi ibu bapa lain
Lumrah manusia, kita sering membanding-banding kehidupan kita dengan
orang lain. Skeptikal tatkala melihat ada ibu bapa yang membawa anaknya
makan malam di restoran makanan ringan seperti McDonald.
Memandang serong apabila ada ibu bapa yang mengherdik anaknya di Toys
‘R’ Us kerana anaknya memberontak mahukan permainan yang diidamkan.
Tidak setuju apabila melihat sesetengah ibu bapa membiarkan sahaja anak
mereka tidur lambat hingga 12 tengah malam untuk menonton tv. Semuanya
serba tak kena.
Hanya cara didikan kita adalah yang terbaik. Hakikatnya, kesemua ibu
bapa mahukan yang terbaik dari yang terbaik untuk anak mereka. Kalau
tidak, masakan kita sanggup bekerja keras semata-mata mahu memberi
keselesaan hidup pada mereka.
Pengajarannya: Janganlah menghakimi ibu bapa lain. Setiap individu
mempunyai cara mereka yang tersendiri dalam mendidik anak mereka.
2. Bercakap negatif tentang diri sendiri
Pernah tak anda memarahi diri sendiri atau bercakap perkara yang
tidak berapa elok tentang diri sendiri? Contohnya seperti; “ishhh.
Bodohnya aku! Kenapa la aku terlupa kunci pintu tadi?” atau “alahai
gemuknya aku bila tengok kat cermin ni. Macam panda” atau apa sahaja.
Kadang kala hinggakan menjadi satu tabiat menyalahkan diri sendiri.
Mulai saat ini, fikir dua tiga kali setiap kali mahu bercakap perkara
negatif tentang diri sendiri – lebih-lebih lagi apabila anak anda ada
berdekatan. Ketahuilah, anak-anak kita memandang tinggi pada kita. Cuba
letakkan diri anda di tempat mereka.
Pernahkah anda terfikir apa agaknya perasaan mereka apabila mereka
mengetahui ibu bapa mereka tidak memandang tinggi akan diri sendiri?
Pasti tidak elok. Dan apabila anak-anak anda kerap mendengarnya,
dikhuatiri mereka mula membuat pada diri mereka juga – sekaligus
mengurangkan tahap keyakinan mereka pada diri sendiri.
Pengajarannya: Berbuat baiklah dengan diri sendiri. Sayangilah diri sendiri.
3. Sibuk dengan perkara lain
Bilakah kali terakhir anda menghabiskan cuti hujung minggu tanpa
smartphone, ipad dan segala jenis gadjet yang ada? Akhir-akhir ini,
kadang kala apabila makan di luar, saya terperasan, walaupun satu
keluarga makan bersama-sama di restoran, tetapi kesemuanya hanyut dalam
gadjet masing-masing.
Mereka kurang berbual antara satu sama lain. Sedangkan, tujuan untuk
makan di luar, adalah untuk menghabiskan masa bersama-sama. Aneh, bukan?
Saya tertanya-tanya, dimanakah kualiti masa yang dihabiskan kalau semua
orang sibuk dengan dunia masing-masing?
Daripada bermain candy crush, upload gambar di instagram ataupun
check-in lokasi di facebook, cuba letakkan gadjet anda sebentar dan
nikmati momen tersebut sepuas-puasnya. Mungkin anda boleh meletakkan
satu peraturan:
Tiada gadjet selepas jam 7 malam. Semua orang wajib mengikutinya
termasuk diri anda sendiri. Berbuallah, menonton tv bersama, atau
bermain monopoly bersama. Anda pasti akan berasa seronok dengan kualiti
masa yang dihabiskan – mood pun boleh menjadi bertambah baik.
Pengajarannya: Berhenti seketika. Ingatlah, hidup ini singkat. Anda
tidak tahu bila kali terakhir anda menghabiskan masa dengan orang yang
tersayang.
4. Berkata buruk tentang orang yang anak-anak sayangi
Tidak kira sama ada adik-beradik anda, cikgu anak anda, ibu bapa
mertua ataupun bekas suami/isteri. Jangan sekali-kali berkata buruk
tentang orang yang anak-anak anda sayangi. Islam juga melarang berkata
buruk berkenaan orang lain – inikan pula orang yang rapat dengan
anak-anak kita.
Saya yakin, anda pasti tidak akan marah tidak tentu hala. Pasti
bersebab. Tetapi sekiranya tidak dapat mengawal diri pun, pastikan anda
tidak melakukannya dihadapan anak anda. Ingatlah, sekiranya anda berkata
buruk tentang orang lain, sebenarnya anda lebih menggambarkan diri anda
sendiri. Jangan rosakkan imej buruk orang lain, dan imej buruk diri
anda sendiri.
Pengajarannya: Jangan libatkan anak-anak yang tidak berdosa dengan masalah orang dewasa. Biarlah mereka hidup dengan gembira.
5. Cuba untuk mengawal semua perkara
Sebagai ibu bapa, kita pasti mahukan yang terbaik untuk anak-anak
kita. Kita tidak mahu melihat mereka, susah, sakit, cedera, sedih, gagal
atau kecewa. Tetapi tahukah anda, kesemuanya adalah sebahagian dari
hidup? Jika bukan sekarang anak anda akan alaminya, pasti di masa
hadapan mereka akan alaminya.
Jangan menjadi terlalu “overprotective“. Dikhuatiri mereka akan
tertekan, menyimpan perasaan, memberontak dan melakukan perkata yang
tidak sepatutnya satu hari nanti. Saya sendiri diwaktu muda, mengakui
sering terdetik dalam hati apabila ibu bapa sayang melarang melakukan
sesuatu “sikit-sikit tak boleh. Semua tak boleh. Rasa nak lari rumah
la!”.
Saya tertekan kerana ibu saya tidak membenarkan saya keluar ke pusat
beli belah sendirian. Sedangkan sedikit pun saya tidak tahu, beliau
sebenarnya risaukan keselamatan saya.
Jangan terlalu mengongkong, tetapi jangan pula terlalu memberi
kelonggaran. Biarlah anak mengumpul pengalaman mereka sendiri, agar
lambat laun, beliau dapat membezakan sendiri mana yang baik dan mana
yang buruk.
Pengajarannya: Berilah anak anda sedikit ruang untuk membuat kesilapan, agar membantu beliau membuat keputusan di masa hadapan.
6. Mengambil gambar hampir semua benda!
Di zaman teknologi kini, hampir semua benda kita mahu kongsikan di
media sosial. Tetapi ketahuilah, ada bezanya mengambil gambar untuk
kenangan, dengan mengambil gambar hampir semua benda!
Tidak salahnya nak bergambar di hari raya, di birthday party, di
majlis penyampaian hadiah anak atau bergambar sewaktu percutian
keluarga. Semestinya anda mahu merakam memori indah untuk simpanan di
hari tua. Tetapi kadang kala.. KADANG KALA, lebih baik sekiranya anda
berhenti seketika mengambil gambar dan menikmati momen tersebut
semaksimum mungkin.
Apabila difikirkan kembali, menikmati sendiri saat tersebut lebih
kekal dalam ingatan kita berbanding sibuk mengambil gambar. Demi
mengambil gambar yang cantik, angle yang menarik, selalunya kita pasti
akan terlepas saat indah yang sebenar.
Saya mempunyai seorang rakan yang sentiasa melekat dengan ipad
beliau. Hampir setiap peristiwa, sama ada majlis sambutan atau percutian
keluarga di Australia, semuanya beliau merakamnya dengan ipad tersebut.
Sehinggakan kadang kala, saya tertanya sendirian. Apa bezanya dengan
menonton sahaja video tersebut di youtube?
Pengajarannya: Bergambar dan berkongsi di media sosial biarlah
berpada. Sekali lagi, hidup ini sementara. Kita tidak pasti bila kali
terakhir dapat menikmatinya.
7. Menurut semua kehendak anak
Benar, apa lah sangat permainan RM20 dikedai atau ais krim baskin
robin di hujung minggu. Pasti tidak menjadi masalah untuk setiap ibu
bapa memenuhinya. Lagipun, kita pasti mahu anak-anak sentiasa gembira.
Namun, janganlah menjadikan ia sebagai suatu kebiasaan. Dikhuatiri,
lama kelamaan anak anda tidak boleh menerima “tidak” sebagai jawapan.
Pasti yang dia minta wajib kita penuhi. Dikhuatiri juga, anak anda tidak
akan terlalu menghargai apa yang beliau ada. Kerana sudah tertanam
dalam fikirannya “apa yang aku mahu, pasti aku akan dapat”. Takut
sekiranya perasaan syukur hilang darinya.
Sebagaimana saya sewaktu kecil dahulu. Saya akan dapat basikal yang
saya idam-idamkan hanya setelah saya memperoleh keputusan yang baik
dalam UPSR. Jadi, saya akan terdorong untuk berusaha bersungguh-sungguh
dan menjaga sebaik-baiknya pemberian ayah hasil dari usaha diri sendiri.
Pengajarannya: Letakkan limit untuk setiap permintaan dan pemberian.
8. Berada dalam zon selesa
Sekiranya anda bencikan roller coaster, anda pasti tidak akan membawa
anak-anak ke taman hiburan. Sekiranya anda tidak suka terik panas
matahari dan berenang, anda pasti tidak akan membawa anak-anak ke tepi
pantai. Sekiranya anda tidak suka makanan Jepun, tentu restoran sushi
tidak akan anak anda jejaki.
Mudah untuk mengelakkan sahaja perkara yang anda tidak suka lakukan.
Tetapi ia mungkin tidak adil untuk anak anda. Tidak salah sekiranya
membiarkan mereka meneroka sendiri kehidupan ini serta memilih apa yang
mereka suka dan tidak suka lakukan.
Tidak mustahil mereka lebih berani bermain roller coaster dari anda.
Tidak mustahil mereka lebih gemarkan snorkeling dan bermain pasir di
pantai. Luangkan sedikit masa, dan biarlah anak anda merasai pengalaman
baru. Manalah tahu, anda pula akan bertukar minat dan persepsi berkenaan
aktiviti itu.
Pengajarannya: Janganlah mementingkan diri sendiri. Beri peluang untuk anak anda merasai pengalaman baru.
9. Melewat-lewatkan solat dan tidak solat berjemaah
Sungguhpun banyak lagi amalan agama lain yang boleh dititikberatkan
seperti membaca al-Quran, berzikir, menderma dan berpuasa sunat; tetapi
ketahuilah, solat itu tiang agama. Sekiranya tiangnya tidak teguh,
masakan binaan tersebut kukuh, bukan?
Solat itu penting terutamanya untuk menegah kita dari melakukan
perkara yang mendatangkan dosa. Saya akui, saya sendiri bergelut untuk
berusaha solat di awal waktu. Pasti ada sahaja perkara yang tiba-tiba
urgent untuk dilakukan sehingga melalaikan saya. Sekiranya kita mahu
anak-anak menjadi anak yang soleh dan menjaga solat, paling utama,
semuanya harus bermula dengan diri kita dahulu.
Selain itu, solat berjemaah adalah pengikat kasih dan hubungan sesama
ahli keluarga. Amalkan solat berjemaah setiap kali bersolat. Nescaya,
Allah akan merahmati dan memberkati keluarga anda, inshaAllah.
Pengajarannya: Bak kata pepatah, “memimpin melalui teladan”.
Kata-kata, nasihat pada anak-anak dan menghantar mereka ke sekolah agama
tidak cukup, selagi kita sendiri tidak mengamalkannya.
10. Tidak mengucapkan ‘I Love You’.
“I love you.” atau “saya sayang awak”. Tiga perkataan yang tampak
mudah, tetapi susah untuk diucapkan oleh kebanyakan ibu bapa terutamanya
kaum bapa. Mungkin bukan budaya kita, atau mungkin sahaja ramai ibu
bapa berpendapat “perbuatan yang ditunjukkan adalah lebih baik
berbanding sekadar kata-kata ucapan”.
Benar pebuatan itu penting, tetapi anak-anak kebanyakannya tidak tahu
andai kata kita sendiri tidak memberitahu mereka. Anak-anak tahu betapa
anda sayangkan mereka sama ada secara perbuatan dan luahan kata-kata
merupakan antara hadiah terindah yang boleh diberikan kita kepada
mereka.
Pergilah. Beritahu mereka anda menyayangi mereka – tidak kira anak anda sudah meningkat remaja atau masih dibuaian.
Pengajarannya: Buangkan rasa ego atau malu dan luahkan perasaan sayang anda pada anak-anak. Semoga bermanfaat. Wassalam
Kredit gambar: Mike Franks, Cool Fundamentalist, Marwa Morgan
sumber: www.bidadari.my
0 comments
"Semua artikel dalam blog ini dikongsikan untuk tujuan ilmu pengetahuan dan masih boleh dibincangkan & dipersoalkan kebenarannya. Ketepatan & kesahihan maklumat dalam blog ini perlu dibandingkan dengan sumber-sumber lain agar tidak terjadi anggapan penyebaran maklumat palsu atau fitnah. Sebarang maklumbalas berkaitan boleh diajukan kepada Abe di queachmad [at] queachmad [dot] com"