[NAUZUBILLAH] Balasan Tuhan, Mayat Keluar Darah | KISAH NYATA KISAH BENAR
10/05/2014 09:00:00 am
[NAUZUBILLAH] Balasan Tuhan, Mayat Keluar Darah | KISAH NYATA KISAH BENAR | Diceritakan oleh Ustaz Nahrawi Marzoki.
PERISTIWA yang ingin saya ceritakan adalah mengenai satu jenazah yang
bagi saya cukup aneh.
baca lagi klik TAJUK ENTRI ni
Darah tak putus-putus keluar daripada seluruh
tubuhnya. Tak tahulah kenapa, tapi dari sejak Allahyarham meninggal
dunia, darah tak berhenti-henti keluar.
Allahyarham ini meninggalnya kerana sakit, bukan sebab kemalangan.
Doktor pun mengesahkan tidak ada penyakit yang boleh sebabkan jenazah
berdarah macam itu sekali. Apakah yang berlaku kepada Allahyarham?
Peristiwa tersebut berlaku beberapa tahun lalu di sebuah tempat di
Selangor. Tapi maaflah, nama orang dan nama tempat kejadian tak dapat
saya ceritakan ialah Allahyarham ini adalah seorang lelaki, meninggal
ketika berumur 50-an atau 60-an tahun dan semasa hidupnya, Allahyarham
bolehlah kita golongkan sebagai orang kaya.
Dia pegawai kerajaan dan pernah menjadi penolong pengarah agensi tempat dia bekerja.
Allahyarham ini ada beberapa orang anak. Beliau meninggal dunia di
rumahnya pada pukul 8.30 malam kerana sakit biasa.Tapi saya diberitahu
doktor pun tak tahu apa penyakit yang dihadapinya.
Tapi yang menimbulkan pertanyaan dan keinsafan ialah apabila
Allahyarham habis saja nazak dan lepas itu menghembuskan nafasnya yang
terakhir, tiba-tiba saja darah mula keluar daripada seluruh tubuhnya,
khususnya dari liang-liang dan rongga-rongga, dari mulut, telinga,
hidung, mata, celah-celah bulu roma dan celah-celah kuku.
Mula-mula sedikit, tapi makin lama makin banyak sampai mayat itu
dipenuhi darah. Darah itu pun tak putus-putus keluar. Cukup mengerikan
dan menyedihkan.
Apabila tengok mayat ayahnya itu lain macam, anak Allahyarham pergi
ke rumah saya. Masa itu kira-kira pukul 11.00 malam. Kebetulan pula anak
Allahyarham itu murid saya yang memang saya kenal sangat.
Dalam keadaan yang sedih bercampur panik dia berkata, “Ustaz, ayah saya meninggal dunia. Ustaz boleh tolong tak?”
Saya kata, “Boleh, tapi kenapa pula? Ada masalah ke?”
“Mayat ayat saya ni agak lain sikitlah ustaz. Saya minta sangatlah
ustaz dapat tolong kami,” kata anak Allahyarham tadi. Bagaimanapun dia
tidak ceritakan pada saya apa yang terjadi pada mayat ayahnya itu.
Saya pun pergi ke rumahnya. Apabila sampai di rumahnya baru dia
ceritakan apa yang sebenarnya berlaku. Saya naik ke atas rumah dan terus
pergi ke tempat Allahyarham diletakkan dan, masya-Allah, saya tengok
darah sudah penuh di seluruh badan Allahyarham.
Baunya pun semakin hanyir. Busuk. Dan busuknya pun lain dari yang
lain, sukar untuk saya gambarkan hinggakan kemenyan yang dibakar dan
bau-bauan pun tak boleh mengurangkan bau busuk mayat itu.
Apabila saya pandang wajah Allahyarham, saya lihat ia seperti dalam
keadaan cemas, takut, langsung tidak ada tanda-tanda kejernihan dan nur
di wajahnya. Apa yang sebenarnya dialami dan dirasai oleh Allahyarham
ketika itu wallahuaklam. Allah yang lebih mengetahui.
Maha suci Allah, mayat ini cukup pelik sebab baru dua jam lebih dia
meninggal tapi begitu aib sekali keadaannya. Dalam hati saya berdoa dan
beristighfar supaya saya dapat uruskannya dengan cara terbaik dan tidak
berlaku lagi sesuatu yang mengaibkan Allahyarham.
Saya pelawa beberapa orang kawan untuk uruskan jenazah tadi. Kami
ambil kapas dan tutup mulut, hidung, mata, telinga dan rongga-rongga
besar pada mayat. Tapi Allah itu Maha Berkuasa, kapas itu tidak mampu
menahan darah yang keluar.
Apabila dicabut kapas yang sudah basah dengan darah utuk diganti
dengan kapas yang lain, darah meleleh keluar dari rongga-rongga tadi.
Menjejes hingga kain dan tikar tempat kami baringkan mayat itu menjadi
merah. Tidak tahulah berapa banyak kapas yang kami gunakan, tapi tak
berkesan.
Allah jua yang menentukan. Tidak cukup dengan darah, tambah
menyedihkan saya ialah muka dan kulit di seluruh tubuh Allahyarham tadi
tiba-tiba menggerutu. Keluar satu bahan berlendir, menggerutu macam
cacar yang berbonjol-bonjol di muka dan badannya.
Bonjol-bonjol kecil itu seperti bernanah dan busuk baunya. Makin lama
bonjol-bonjol itu makin banyak hingga tidak keterlaluan kalau saya
katakan di sini iaitu wajah jenazah tersebut sudah tidak menyerupai
wajah manusia lagi.
Melihat keadaan mayat yang sebegitu rupa, saya pun katakan kepada
semua kaum keluarga Allahyarham dan pembantu saya, “Kita mesti kebumikan
jenazah ini malam ini juga.” Mereka bersetuju.
Selain daripada dua orang pembantu, tiga orang anakAllahyarham juga
menolong saya menguruskan jenazah bapanya. Tapi sedih, seorang demi
seorang anak Allahyarham itu pengsan kerana tidak sanggup melihat
keadaan mayat bapa mereka itu. Akhirnya tinggallah saya dengan dua
pembantu saya tadi.
Bagi mengelakkan tohmahan orang dan tak mahu kain kapan menjadi
merah, saya ambil keputusan untuk membalut Allahyarham dengan plastik,
plastik alas meja yang berwarna putih. Selepas itu barulah kami balut
mayat tadi seperti biasa dengan kain putih.
Mengikut syarak, mayat tidak digalakkan dikebumi malam-malam. Tapi
dalam keadaan darurat seperti itu saya tidak boleh tunggu lama-lama.
Kebetulan pula kawasan perkuburan terletak tidak jauh dari rumah
Allahyarham, kira-kira dua kilometer sahaja, jadi kami cari lampu dan
spotlight.
Dalam waktu dinihari yang gelap dan sejuk itu kami suluh jalan dan
kawasan kubur Allahyarham. Kami mula kebumikan Allahyarham itu kira-kira
pukul 1.30 pagi.
Sampai saja ke kuburnya , berlaku sekali lagi peristiwa aneh, yang
amat mengharukan. Kuburnya dipenuhi air! Air itu macam air biasa tapi
tak putus-putus keluar dari celah bumi. Ini memang aneh sebab hari itu
tidak hujan.
Kalau hendak dikatakan kawasan kubur itu rendah, lembah, tak juga
sebab sudah banyak kubur di situ tapi tak pernah pula terjadi macam ini.
Memandangkan orang ramai sudah mula kecoh, kami ambil keputusan
mengebumikan juga mayat itu dalam keadaan iaditenggelami air.
Menyedihkan. Apabila mayat mencecah saja ke air, maka air itu
bertukar menjadi merah kerana bercampur dengan darah. Hanyir, busuk,
susah saya nak cakap macam mana baunya ketika itu.
Makin lama warna air itu makin merah. Mujur waktu itu tengah
dinihari, orang yang datang ke kubur tak nampak sangat. Kalau siang…
Kami pun benamkan jenazah tadi, endal betul-betul dan kemudian tutup
dengan papan. Kami buat betul-betul supaya jenazah tidak terlungkup.
selepas selesai semuanya. kubur pun dikambus.
Selesai ditalkinkan, saya dan semua yang menghantar Allahyarham ke
kubur kembali semula ke rumah masing-masing dan saya menenangkan
keluarga Allahyarham yang bersedih.
Entah apa kesalahan yang telah Allahyarham lakukan saya tak tahulah.
Yang tahu cuma Allah dan Allahyarham. Bagaimanapun saya yakin ia adalah
balasan Allah kepada Allahyarham. Bagi saya ini satu iktibar.
Saya tidak mengatakan Allahyarham telah melakukan sesuatu kesalahan
besar tapi bagi saya, darah ini mempunyai tiga kaitan dan mungkin apa
yang berlaku pada Allahyarham ada kaitan dengan salah satu:
PERTAMA , janganlah sekali-kali kita membunuh orang. Membunuh pula
banyak caranya. Saya bukan kata Allahyarham ada membunuh orang tapi
perlu diingat darah itu mahal harganya.
KEDUA , ia mungkin ada kaitan dengan makanan dan minuman. Janganlah
kita memakan makanan dan minuman yang haram sebab ia menjadi sumber
darah yang mengalir dalam tubuh kita ini. Jauhkanlah diri daripada
rasuah, makan harta anak yatim atau duit masjid, harta pusaka dan
sebagainya yang bukan milik kita.
KETIGA , hormatilah darah. Kalau ada darah di rumah atau di jalan
raya akibat kemalangan, bersihkanlah dengan air. Bagi perempuan, ingin
saya ingatkan. Cucilah tuala wanita (semasa haid dan nifas) selepas anda
menggunakannya.
Bersihkan darah dengan air bersih baru dibuang tuala itu. Jangan
buang begitu saja selagi masih ada darah kotor yang melekat pada tuala
itu. Walaupun darah itu kotor, tapi ia juga makhluk Tuhan yang perlu
dihormati.
Renungkanlah diri kita dan jadikanlah kisah ini sebagai iktibar.
Ingatlah, suatu hari nanti kita juga kan menghadap Allah S.W.T.
Berdoalah supaya perkara-perkara aib macam ini tidak terjadi pada kita.
Sumber: Dunia Macam-macam.
1 comments
ini dapat dijadikan pengajaran selagi mana kita hendak menerimanya.. semoga rohnya diampuni Allah...amin.
ReplyDelete"Semua artikel dalam blog ini dikongsikan untuk tujuan ilmu pengetahuan dan masih boleh dibincangkan & dipersoalkan kebenarannya. Ketepatan & kesahihan maklumat dalam blog ini perlu dibandingkan dengan sumber-sumber lain agar tidak terjadi anggapan penyebaran maklumat palsu atau fitnah. Sebarang maklumbalas berkaitan boleh diajukan kepada Abe di queachmad [at] queachmad [dot] com"