[MISTERI] Kisah Nenek Kebayan Merayau Di Asrama Maktab Tentera Darat | DONGENG ATAU BENAR
2/10/2015 11:27:00 am
[MISTERI] Kisah Nenek Kebayan Merayau Di Asrama Maktab Tentera Darat | DONGENG ATAU BENAR | Sebut sahaja nenek kebayan, minda kita akan menggambarkan seorang nenek tua yang dilihat berjalan secara terbongkok-bongkok menyusuri jalan yang tidak diketahui.
Sebuah kisah seram nenek kebayan yang dikaitkan dengan satu kejadian di sebuah asrama di Maktab Tentera Darat.
Sejauh manakah dakwaan ini? Kami akan berkongsi artikel ini bersama
anda untuk sama-sama kita nilaikan sejauh kebenaran kisah ini.
baca lagi klik TAJUK ENTRI ni
KEJADIAN ini berlaku di asrama Maktab Tentera Darat, Sungai Besi,
Kuala Lumpur. Tengah hari itu, semua pelajar lelaki pergi bersolat
Jumaat di masjid berhampiran, kecuali seorang. Pelajar yang agak nakal ini cuba untuk ponteng. Dia menyorok di dalam almari pakaian dengan harapan tidak dapat dikesan warden.
Tetapi entah bagaimana, pelajar tersebut telah tertidur. Apabila
sedar, hari sudah lewat petang. Pelajar itu menolak pintu almari, namun
gagal. Rupa-rupanya pintu telah terkunci dari luar. Mungkin secara tidak
sengaja, atau dikunci oleh rakan-rakan yang tidak sedar dia sedang
bersembunyi di dalamnya.
DAM! DAM! DAM!
Pelajar tersebut terus mengetuk pintu almari dan memanggil
kawan-kawannya. Sunyi sepi. Namun tidak seperti biasa, hari itu tiada
suara yang menyahut panggilannya. Rupa-rupanya, semua penghuni asrama
telah pulang ke kampung kerana hari itu adalah hari terakhir
persekolahan!
Kini tinggallah dia keseorangan. Tiada siapa dapat membantunya. Akibat suhu yang panas dan kekurangan udara, pelajar berkenaan akhirnya mati kelemasan.
Tragedi itu memulakan kisah misteri yang berlaku di asrama elit
tersebut, sampailah hari ini. Kalau ada pelajar tidur di katilnya, arwah akan baring di sebelah mereka. Pintu almari juga akan diketuk-ketuk dari dalam, biasanya pada hari Jumaat dan lewat malam.
Kisah ini belum berakhir. Di sebuah asrama Maktab Rendah Sains Mara
di Perak pula berlaku satu kejadian menakutkan. Dini hari itu, seorang
pelajar mengejutkan kawan di sebelah katil untuk menemaninya ke bilik
air.
“Aku takutlah… aku dengar cerita tandas kita berhantu,” kata pelajar yang hendak ke tandas itu.
Sahabatnya tidak menjawab, hanya tersenyum dan menemaninya ke tandas.
Selepas membuang hajat, pelajar pertama itu pergi ke singki untuk
membasuh muka. Sebaik-baik paip dibuka dia terkejut. Yang keluar
bukannya air, tetapi darah!
Dia menjerit memanggil sahabatnya yang masih di dalam bilik air. Tetapi suara yang menyahut panggilannya amat menakutkan. Garau dan pelik. Pelajar yang sedang ketakutan itu terus mengetuk pintu bilik air untuk mengajak kawannya pulang. Dan, kreeet…
Pintu terbuka, tetapi yang muncul bukanlah sahabatnya, sebaliknya
lembaga berambut panjang, bermuka hodoh dan bermata merah. Pelajar itu
pengsan di situ juga!
Sebuah asrama puteri di Kelantan pula terkenal dengan kisah seorang
nenek yang duduk di atas almari sambil menggoyang-goyangkan kakinya.
Mengikut cerita, suatu malam seorang pelajar menyanyi-nyanyi seorang diri. Tiba-tiba
pelajar itu terdengar ada suara pelik mengiringi nyanyiannya. Suara itu
seperti suara seorang nenek dan alunannya amat meremangkan bulu roma.
Pelajar itu cepat-cepat menarik selimut dan memejamkan matanya. Dia cuba melelapkan mata tetapi gagal.
“Katil nombor satu dah tidur. Katil nombor dua dah tidur. Katil
nombor tiga… pura-pura tidur!” tiba-tiba kedengaran suara seorang
perempuan tua.
Pelajar itu menjengukkan kepala dan terkejut apabila melihat ada
seorang nenek duduk di atas almari sambil menggoyang-goyangkan kaki dan
memandang ke arahnya.
Menggerunkan
Anda pernah dengar cerita ini? Pasti pernah, bukan. Semua kisah
misteri yang diceritakan itu ialah kisah-kisah seram yang sangat popular
dalam kalangan pelajar asrama. Tanyalah kepada para pelajar asrama di
mana-mana juga di negara ini, rata-rata tahu akan cerita tersebut.
Cuma persoalannya, adakah kejadian-kejadian itu benar-benar berlaku? Kalau berlaku, di mana?
Saya sengaja letakkan lokasi asrama-asrama tertentu, tetapi anda
pergilah ke asrama berkenaan, pasti mereka menafikannya. Sebab, memang
tidak ada kejadian seumpama itu berlaku di sana. Sedangkan, cerita yang sampai ke telinga kita mengatakan, memang kejadian tersebut berlaku di asrama berkenaan.
Mengapa ini terjadi? Dalam bidang kajian paranormal, kisah-kisah itu
dikategorikan sebagai urban legends, atau lebih mudah difahami, cerita
dongeng seram popular. Di Barat, ia dipanggil urban legends (dongeng
bandaran), tetapi dalam konteks negara kita, istilah tersebut agak
kurang sesuai.
Kembali kepada topik perbincangan kita: Perhatikan, cerita dongeng seram popular ini mempunyai beberapa ciri.
Pertama, ia berlaku kepada kawan kepada kawan, bukan kepada pencerita itu sendiri. Sebagai contoh,cerita tersebut disampaikan oleh pelajar bernama Maria.
Kata Maria, ia berlaku kepada kawannya, Shima. Apabila ditanya kepada
Shima, pelajar itu mengatakan, sebenarnya ia terjadi kepada kawannya
yang lain, Aishah. Begitulah seterusnya… tiada penghujung.
Untuk pengetahuan anda, apa yang sebenarnya berlaku adalah dalam
rantaian sahabat itu, mereka saling mempercayai. Jadi bagi meringkaskan
cerita, si A akan memendekkannya dengan berkata, ia berlaku kepada
sahabatnya, B. Sedangkan hakikatnya tidak begitu.
Cerita dongeng seram popular ini ringkasnya tidak diketahui berlaku kepada siapa, dan di mana. Ia tersebar dari mulut ke mulut, ke serata pelosok daerah.
Kedua, terdapat pelbagai versi. Sebagai contoh, ada versi mengatakan
sebenarnya cerita seram di tandas itu berlaku ketika menjelang subuh.
Pelajar lelaki itu pula melihat darah keluar daripada paip singki semasa
mahu memberus gigi.
Versi lain pula mengatakan dia tidak pengsan di tandas, tetapi di
dorm apabila mendapati kawannya itu sebenarnya sedang nyenyak tidur. Begitulah juga dengan kisah-kisah seram lain.
Ketiga, urban legends mengandungi pengajaran moral dan amaran.
Misalnya, cerita pertama untuk menakutkan pelajar supaya jangan ponteng
sembahyang Jumaat. Cerita nenek di atas almari pula bertujuan menakut-nakutkan pelajar supaya tidur pada waktu yang ditetapkan oleh pihak asrama.
Ciri keempat, cerita itu sangat aneh, janggal dan kadang kala lucu.
Perhatikan cerita pertama itu. Tidak logik langsung ada pelajar yang
sanggup menyorok di dalam almari untuk ponteng sembahyang Jumaat.
Tidak masuk akal pintu almari boleh terkunci dari luar, begitu juga
tidak mungkin pelajar tersebut tidak dengar kawan-kawannya yang lain
bergelak ketawa, berbual serta sibuk mengemas barang sebelum pulang ke
kampung masing-masing.
Kisah-kisah urband legends ini lebih kurang sama cirinya dengan kisah
hantu kum kum, hantu stoking dan lelaki tua penyabit kepala.
Kisah-kisah itu sangat menarik dan kononnya ia berlaku di sesebuah
tempat. Namun apabila dijejaki, semuanya palsu.
Hakikatnya, apa yang berlaku ialah semua kisah tersebut tersebar
kerana ia menjadi bahan cerita paling digemari semasa para penghuni
asrama ini berkumpul sebelum memejamkan mata. Ada juga dikatakan, antara cerita itu yang sebenarnya telah diubah suai daripada kisah-kisah urban legends di luar negara.
Anda tak percaya? Kalau ada mana-mana pelajar asrama yang betul-betul
pernah mengalami kejadian seram seperti itu, saya cabar… sila hubungi
saya sekarang.
sumber: kisahbest.my
3 comments
Macam-macam misteri nenek kebayan .
ReplyDeletehurm... cerita nak menakut2kan je kadang tu kan..
ReplyDeleteKisah dongeng je tu,,,,
ReplyDelete"Semua artikel dalam blog ini dikongsikan untuk tujuan ilmu pengetahuan dan masih boleh dibincangkan & dipersoalkan kebenarannya. Ketepatan & kesahihan maklumat dalam blog ini perlu dibandingkan dengan sumber-sumber lain agar tidak terjadi anggapan penyebaran maklumat palsu atau fitnah. Sebarang maklumbalas berkaitan boleh diajukan kepada Abe di queachmad [at] queachmad [dot] com"