Peperangan Imam Mahdi Dengan Orang-Orang Kafir | Kedatangan Dajjal Dan Nabi Isa A.S. | IMAM Mahdi menghadapi beberapa peperangan dengan orang-orang kafir.
Sebagaimana diterangkan di dalam hadis riwayat Abu Daud.
Jelas disebutkan di dalam hadis tersebut bahawa orang-orang daripada Banu Kalab akan menyerangnya tetapi kalah. Begitulah juga dengan tentera yang dihantar telah ditelan bumi ketika di dalam perjalanan untuk menyerangnya di antara Mekah dan Madinah.
Di samping ini ada juga disebutkan di dalam hadis akan penglibatan orang-orang Islam di dalam peperangan namun tidaklah disebut akan nama Imam Mahdi.
Shah Rafiuddin Dehlawi bagaimanapun telah menjelaskan bahawa peperangan-peperangan ini juga adalah berlaku pada zaman Imam Mahdi. Beliau menulis bahawa Imam Mahdi akan bergerak dari Mekah ke Madinah di mana baginda akan menziarahi kuburan Rasulullah s.a.w. dan dari sana menuju ke Syria.
Baginda hampir sahaja tiba di Damsyiq bilamana muncul tentera-tentera Nasrani menyerang dari sana. Imam Mahdi bersiap sedia menghadapi tentera ini dan setelah berperang selama 3 hari, orang-orang Islam menang pada hari keempat. Gambaran peperangan itu yang diberikan di dalam hadis adalah seperti berikut :
“Akan pastilah terjadi sebelum berlakunya Kiamat bahawa tidak akan terbahaginya harta pusaka atau berasa gembiranya mana-mana individu untuk menerima harta rampasan perang (Kemudian memperincikan perkara ini lalu dikatakan) :
“Satu angkatan tentera musuh yang kuat telah menyerang orang-orang Islam di Syria. Orang-orang Islam juga bersatu tenaga menentang kembali serangan tersebut. Daripada tentera ini mereka membantu satu angkatan perang yang mengambil bai’ah bahawa mereka akan berperang sehinggalah mereka menang atau mati syahid, yakni peperangan terus-menerus berlaku sepanjang siang harinya dan berhenti sebelah malam apabila mereka pulang dari medan perang. tidak ada mana-mana pihak yang menang. Kedua-dua tentera akan terus berperang sehingga kedua-dua punah.
Keesokan harinya orang-orang Islam akan menghantar lagi satu kumpulan tentera yang telah mengambil bai’ah samada menang atau syahid. Pada hari ini juga, peperangan terus-menerus berlaku tanpa henti sehingga matahari terbenam. Tidak ada yang menang bagi kedua-dua pihak. Pada hari ini juga kedua-dua pihak binasa.
Pada hari ketiga, cara yang ketiga juga dilakukan tanpa hasil. Pada hari keempat baki tentera Islam bingkas bangun menyerang dan dengan pertolongan Allah mereka dikurniakan kemenangan ke atas musuh. Peperangan pada hari keempat ini begitu sengit sekali seolah-olah tidak pernah wujud sebelumnya. Ini dapat diambil kesimpulan bahawa orang-orang yang terbunuh di medan peperangan itu begitu ramai sehingga burung yang terbang menjadi letih lalu jatuh mati kerana gagal merentasi mayat-mayat yang bergelimpangan ataupun kerana bau mayat yang menyenak hidung.
Dan tatkala mereka yang mengambil bahagian di dalam peperangan ini mengira bilangan saudara mara mereka, yang pulang hanya seorang sahaja daripada 100 orang, sedangkan 99 orang lagi syahid.
Rasulullah s.a.w. pun bertanya :
” Beritahuku jikalau ada sesiapa yang gembira mendapat harta rampasan perang atau sesiapa yang suka mengambil akan harta pusaka yang dibahagi-bahagikan? “Kemudian baginda bersabda : “Selepas berperang mereka sibuk pula mengira orang-orang yang tinggal, tiba-tiba kedengaran berita peperangan yang lebih besar dan lebih sengit. Berita ini masih belum lagi mendapat perhatian sepenuhnya lalu datang pula berita kemunculan Dajjal yang mahu memporak-perandakan isteri dan anak-anak mereka dalam kerosakan. Mendengar berita ini mereka akan membuang segala harta benda dan wang ringgit lalu bergegas pulang ke rumah mereka. Untuk mendapat maklumat yang sahih tentang Dajjal mereka menghantar 10 orang penunggang kuda mendahului mereka.
Mengenai 10 orang penunggang kuda ini, Rasulullah s.a.w. bersabda : “Aku mengetahui nama-nama mereka, nama ibubapa mereka dan juga warna kuda-kuda tunggangan mereka. Pada masa itu penunggang-penunggang ini adalah yang terbaik daripada segala penghuni bumi.”
Selepas ini Shah Rafiuddin Dehlawi r. ‘alaihi menulis bahawa di dalam peperangan ini ramailah orang Nasrani terbunuh dan hasrat memiliki kuasa dan negara terkeluar daripada pemikiran dan hati mereka yang tinggal. Yang masih hidup akan lari lalu mereka dikejar oleh orang-orang Islam dan beribu-ribu orang daripada mereka dibunuh.
Selepas itu Imam Mahdi akan membabitkan dirinya dengan menguruskan hal keadaan negara Islam dan beberapa angkatan tentera dihantar ke sana sini. Setelah bebas daripada tugasnya ini maka baginda bersiap-sedia untuk menakluk Constantinople. Ini adalah salah satu daripada tanda-tanda Kiamat.
Menurut sebuah kenyataan apabila Imam Mahdi tiba di laut Mediterranean baginda bertemu denga sejumlah tentera 70,000 daripada Banu Ishaq. Mereka akan berpernag. Apakah mereka berjuang untuk menakluk Contantinople, hanyalah disebut bahawa tentera yang 70,000 ini berperang dengan penduduk sebuah kota yang dikelilingi satu bahagiannya dengan tanah dan satu bahagiannya yang lain oleh laut.
Pengarang Mirqat menulis bahawa bandar ini terdapat di Rome yang beberapa pengarang menganggapnya sebagai Constantinople. Imam Nawawi r. ‘alaihi juga Shah Rafiuddin Dehlawi r. ‘alaihi mengatakan bahawa : “Bandar inilah Constantinople yang dimaksudkan itu.”
Seluruh hadis itu berbunyi demikian : ” Satu ketika Rasulullah s.a.w. bersabda kepada para Sahabatnya : “Tahukah kamu sebuah kota (bandar) yang satu bahagiannya ada tanah dan sebahagiannya adalah laut?” Para Sahabat r. ‘anhum menjawab : “Ya kami tahu.” Baginda bersabda : “Kiamat tidak akan berlaku sehingga 70,000 tentera daripada Banu Ishaq menakluk bandar ini. Apabila orang-orang ini memasuki kota ini dan menetap di situ untuk melancarkan serangan, mereka tidaklah menyerang menggunakan senjata atau melancarkan sebarang anak panah. Mereka akan memperolehi kemenangan hanyalah semata-mata dengan pertolongan Allah. Orang-orang Islam hanyalah memperolehi kemenangan dengan melaung kalimah Laa-ilaha-illallah, Allahu Akbar yang meruntuhkan sebahagian dinding kota tersebut. Apabila mereka melaung sekali lagi mereka dapat melihat jalan untuk memasuki ke dalamnya lalu mendapat kemenangan. Mereka memperolehi harta rampasan.
Sedang mereka membahagi-bahagikan harta rampasan itu, tiba-tiba mereka mendengar satu pengisytiharan : “Telah muncul Dajjal.” Mendengar pengisytiharan ini mereka meninggalkan segala-galanya lalu pulang.” (Muslim)
Di dalam hadis yang lain yang terkandung di dalam Muslim yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r. ‘anhu gambaran penaklukan Constantinople dan zaman Dajjal diterangkan begini : Rasulullah s.a.w. bersabda : “Kiamat tidak akan datang sehinggalah tentera-tentera Rome berhenti di A’maq atau Wabiq dan tentera daripada Madinah mara menentang mereka. Tentera ini adalah terdiri daripada orang-orang yang terbaik daripada manusia pada ketika itu. Apabila kedua-dua tentera berhadapan satu sama lain, tentera-tentera Nasrani itu akan berkata : “Biarkan kami dengan orang-orang Islam yang menawan orang-orang kami sebagai tawanan.” Orang-orang Islam akan menjawab : “Demi Allah! Kami tidak akan melakukan demikian bahawa kami tidak berhak ke atas kamu dan saudara-saudara kami sehingga kamu hanya mahu menentang mereka.” Lalu mereka menyerang orang-orang Nasrani tersebut.
Satu pertiga daripada orang-orang Islam akan gugur syahid. Orang-orang yang syahid ini adalah lebih tinggi kedudukannya daripada yang lain. Satu pertiga daripada tentera-tentera Islam ini akan menjauhi daripada peperangan itu lalu mengasingkan diri mereka daripada ketumbukan utama. Allah Ta’ala tidak akan menerima taubat mereka. Yakni Dia tidak akan mengurniakan taufiq untuk bertaubat.
Dan satu pertiga lagi daripada tentera Islam akan mengalahkan tentera-tentera Nasrani dan menang perang. Mereka tidak akan terbabit di dalam perbuatan-perbuatan yang merosakkan dan berdosa. Inilah tentera yang akan menawan Constantinople. Mereka pun mulalah membahagikan harta ghanimah (harta peninggalan perang) dan menyangkutkan pedang mereka di pohon-pohon zaitun, maka kedengaran satu suara laungan syaitan : “Sesungguhnya Dajjal telah sampai ke tempat anak-anakmu di belakang sana”, tetapi berita ini adalah palsu.Kemudian tentera-tentera Islam berhasrat pula menakluk Syria dan sewaktu mereka sampai di Baitul Muqaddis (Di Jerusalem) maka muncullah Dajjal. Sedang mereka bersiap-siap utnuk berperang maka masuklah waktu solat dan merekapun bangun untuk mendirikan solat.
Ketika itu turunlah Nabi Isa ‘alaihissalam Ibn Mariam daripada langit. Sebaik-baik sahaja mata Dajjal bertembung dengan Isa ‘alaihissalam maka cairlah tubuh si Dajjal seperti garam larut di dalam air.
Walaupun Nabi Isa ‘alaihissalam tidak membunuhnya dan membiarkannya begitu sahaja, Dajjal itu akan binasa juga. Tetapi Nabi Isa ‘alaihissalam membunuhnya dengan tangannya sendiri lalu menunjukkan tombak yang berlumuran dengan darah kepada orang ramai.
No comments:
Post a Comment
"Semua artikel dalam blog ini dikongsikan untuk tujuan ilmu pengetahuan dan masih boleh dibincangkan & dipersoalkan kebenarannya. Ketepatan & kesahihan maklumat dalam blog ini perlu dibandingkan dengan sumber-sumber lain agar tidak terjadi anggapan penyebaran maklumat palsu atau fitnah. Sebarang maklumbalas berkaitan boleh diajukan kepada Abe di queachmad [at] queachmad [dot] com"