Sahabat Que 'Silent Readers'

WAJIB BACA | 10 Tabiat Buruk Ibu Bapa yang Patut Dihentikan

11/29/2015 09:00:00 am

WAJIB BACA | 10 Tabiat Buruk Ibu Bapa yang Patut DihentikanSebagai insan biasa, kita tidak terlepas mempunyai tabiat buruk masing-masing. Mana ada manusia yang sempurna, bukan? Tidak salah mempunyai tabiat buruk, asalkan ia tidaklah memudaratkan diri sendiri dan orang lain.

ibu-anak
Namun begitu, terdapat beberapa tabiat buruk yang harus anda pertimbangkan untuk dihentikan – lebih-lebih lagi setelah menjadi ibu bapa. Hidup ini hanya sementara. Perbaikilah mana yang mampu demi kesejahteraan hubungan anda dengan anak-anak. InshaAllah.
1. Menghakimi ibu bapa lain
Lumrah manusia, kita sering membanding-banding kehidupan kita dengan orang lain. Skeptikal tatkala melihat ada ibu bapa yang membawa anaknya makan malam di restoran makanan ringan seperti McDonald.
Memandang serong apabila ada ibu bapa yang mengherdik anaknya di Toys ‘R’ Us kerana anaknya memberontak mahukan permainan yang diidamkan. Tidak setuju apabila melihat sesetengah ibu bapa membiarkan sahaja anak mereka tidur lambat hingga 12 tengah malam untuk menonton tv. Semuanya serba tak kena.
Hanya cara didikan kita adalah yang terbaik. Hakikatnya, kesemua ibu bapa mahukan yang terbaik dari yang terbaik untuk anak mereka. Kalau tidak, masakan kita sanggup bekerja keras semata-mata mahu memberi keselesaan hidup pada mereka.
Pengajarannya: Janganlah menghakimi ibu bapa lain. Setiap individu mempunyai cara mereka yang tersendiri dalam mendidik anak mereka.
2. Bercakap negatif tentang diri sendiri
Pernah tak anda memarahi diri sendiri atau bercakap perkara yang tidak berapa elok tentang diri sendiri? Contohnya seperti; “ishhh. Bodohnya aku! Kenapa la aku terlupa kunci pintu tadi?” atau “alahai gemuknya aku bila tengok kat cermin ni. Macam panda” atau apa sahaja.
Kadang kala hinggakan menjadi satu tabiat menyalahkan diri sendiri. Mulai saat ini, fikir dua tiga kali setiap kali mahu bercakap perkara negatif tentang diri sendiri – lebih-lebih lagi apabila anak anda ada berdekatan. Ketahuilah, anak-anak kita memandang tinggi pada kita. Cuba letakkan diri anda di tempat mereka.
Pernahkah anda terfikir apa agaknya perasaan mereka apabila mereka mengetahui ibu bapa mereka tidak memandang tinggi akan diri sendiri? Pasti tidak elok. Dan apabila anak-anak anda kerap mendengarnya, dikhuatiri mereka mula membuat pada diri mereka juga – sekaligus mengurangkan tahap keyakinan mereka pada diri sendiri.
Pengajarannya: Berbuat baiklah dengan diri sendiri. Sayangilah diri sendiri.
3. Sibuk dengan perkara lain
Bilakah kali terakhir anda menghabiskan cuti hujung minggu tanpa smartphone, ipad dan segala jenis gadjet yang ada? Akhir-akhir ini, kadang kala apabila makan di luar, saya terperasan, walaupun satu keluarga makan bersama-sama di restoran, tetapi kesemuanya hanyut dalam gadjet masing-masing.
Mereka kurang berbual antara satu sama lain. Sedangkan, tujuan untuk makan di luar, adalah untuk menghabiskan masa bersama-sama. Aneh, bukan? Saya tertanya-tanya, dimanakah kualiti masa yang dihabiskan kalau semua orang sibuk dengan dunia masing-masing?
Daripada bermain candy crush, upload gambar di instagram ataupun check-in lokasi di facebook, cuba letakkan gadjet anda sebentar dan nikmati momen tersebut sepuas-puasnya. Mungkin anda boleh meletakkan satu peraturan:
Tiada gadjet selepas jam 7 malam. Semua orang wajib mengikutinya termasuk diri anda sendiri. Berbuallah, menonton tv bersama, atau bermain monopoly bersama. Anda pasti akan berasa seronok dengan kualiti masa yang dihabiskan – mood pun boleh menjadi bertambah baik.
Pengajarannya: Berhenti seketika. Ingatlah, hidup ini singkat. Anda tidak tahu bila kali terakhir anda menghabiskan masa dengan orang yang tersayang.
tabiat buruk ibu bapa
4. Berkata buruk tentang orang yang anak-anak sayangi
Tidak kira sama ada adik-beradik anda, cikgu anak anda, ibu bapa mertua ataupun bekas suami/isteri. Jangan sekali-kali berkata buruk tentang orang yang anak-anak anda sayangi. Islam juga melarang berkata buruk berkenaan orang lain – inikan pula orang yang rapat dengan anak-anak kita.
Saya yakin, anda pasti tidak akan marah tidak tentu hala. Pasti bersebab. Tetapi sekiranya tidak dapat mengawal diri pun, pastikan anda tidak melakukannya dihadapan anak anda. Ingatlah, sekiranya anda berkata buruk tentang orang lain, sebenarnya anda lebih menggambarkan diri anda sendiri. Jangan rosakkan imej buruk orang lain, dan imej buruk diri anda sendiri.
Pengajarannya: Jangan libatkan anak-anak yang tidak berdosa dengan masalah orang dewasa. Biarlah mereka hidup dengan gembira.
5. Cuba untuk mengawal semua perkara
Sebagai ibu bapa, kita pasti mahukan yang terbaik untuk anak-anak kita. Kita tidak mahu melihat mereka, susah, sakit, cedera, sedih, gagal atau kecewa. Tetapi tahukah anda, kesemuanya adalah sebahagian dari hidup? Jika bukan sekarang anak anda akan alaminya, pasti di masa hadapan mereka akan alaminya.
Jangan menjadi terlalu “overprotective“. Dikhuatiri mereka akan tertekan, menyimpan perasaan, memberontak dan melakukan perkata yang tidak sepatutnya satu hari nanti. Saya sendiri diwaktu muda, mengakui sering terdetik dalam hati apabila ibu bapa sayang melarang melakukan sesuatu “sikit-sikit tak boleh. Semua tak boleh. Rasa nak lari rumah la!”.
Saya tertekan kerana ibu saya tidak membenarkan saya keluar ke pusat beli belah sendirian. Sedangkan sedikit pun saya tidak tahu, beliau sebenarnya risaukan keselamatan saya.
Jangan terlalu mengongkong, tetapi jangan pula terlalu memberi kelonggaran. Biarlah anak mengumpul pengalaman mereka sendiri, agar lambat laun, beliau dapat membezakan sendiri mana yang baik dan mana yang buruk.
Pengajarannya: Berilah anak anda sedikit ruang untuk membuat kesilapan, agar membantu beliau membuat keputusan di masa hadapan.
6. Mengambil gambar hampir semua benda!
Di zaman teknologi kini, hampir semua benda kita mahu kongsikan di media sosial. Tetapi ketahuilah, ada bezanya mengambil gambar untuk kenangan, dengan mengambil gambar hampir semua benda!
Tidak salahnya nak bergambar di hari raya, di birthday party, di majlis penyampaian hadiah anak atau bergambar sewaktu percutian keluarga. Semestinya anda mahu merakam memori indah untuk simpanan di hari tua. Tetapi kadang kala.. KADANG KALA, lebih baik sekiranya anda berhenti seketika mengambil gambar dan menikmati momen tersebut semaksimum mungkin.
Apabila difikirkan kembali, menikmati sendiri saat tersebut lebih kekal dalam ingatan kita berbanding sibuk mengambil gambar. Demi mengambil gambar yang cantik, angle yang menarik, selalunya kita pasti akan terlepas saat indah yang sebenar.
Saya mempunyai seorang rakan yang sentiasa melekat dengan ipad beliau. Hampir setiap peristiwa, sama ada majlis sambutan atau percutian keluarga di Australia, semuanya beliau merakamnya dengan ipad tersebut. Sehinggakan kadang kala, saya tertanya sendirian. Apa bezanya dengan menonton sahaja video tersebut di youtube?
Pengajarannya: Bergambar dan berkongsi di media sosial biarlah berpada. Sekali lagi, hidup ini sementara. Kita tidak pasti bila kali terakhir dapat menikmatinya.
7. Menurut semua kehendak anak
Benar, apa lah sangat permainan RM20 dikedai atau ais krim baskin robin di hujung minggu. Pasti tidak menjadi masalah untuk setiap ibu bapa memenuhinya. Lagipun, kita pasti mahu anak-anak sentiasa gembira.
Namun, janganlah menjadikan ia sebagai suatu kebiasaan. Dikhuatiri, lama kelamaan anak anda tidak boleh menerima “tidak” sebagai jawapan. Pasti yang dia minta wajib kita penuhi. Dikhuatiri juga, anak anda tidak akan terlalu menghargai apa yang beliau ada. Kerana sudah tertanam dalam fikirannya “apa yang aku mahu, pasti aku akan dapat”. Takut sekiranya perasaan syukur hilang darinya.
Sebagaimana saya sewaktu kecil dahulu. Saya akan dapat basikal yang saya idam-idamkan hanya setelah saya memperoleh keputusan yang baik dalam UPSR. Jadi, saya akan terdorong untuk berusaha bersungguh-sungguh dan menjaga sebaik-baiknya pemberian ayah hasil dari usaha diri sendiri.
Pengajarannya: Letakkan limit untuk setiap permintaan dan pemberian.
tabiat buruk ibu bapa
8. Berada dalam zon selesa
Sekiranya anda bencikan roller coaster, anda pasti tidak akan membawa anak-anak ke taman hiburan. Sekiranya anda tidak suka terik panas matahari dan berenang, anda pasti tidak akan membawa anak-anak ke tepi pantai. Sekiranya anda tidak suka makanan Jepun, tentu restoran sushi tidak akan anak anda jejaki.
Mudah untuk mengelakkan sahaja perkara yang anda tidak suka lakukan. Tetapi ia mungkin tidak adil untuk anak anda. Tidak salah sekiranya membiarkan mereka meneroka sendiri kehidupan ini serta memilih apa yang mereka suka dan tidak suka lakukan.
Tidak mustahil mereka lebih berani bermain roller coaster dari anda. Tidak mustahil mereka lebih gemarkan snorkeling dan bermain pasir di pantai. Luangkan sedikit masa, dan biarlah anak anda merasai pengalaman baru. Manalah tahu, anda pula akan bertukar minat dan persepsi berkenaan aktiviti itu.
Pengajarannya: Janganlah mementingkan diri sendiri. Beri peluang untuk anak anda merasai pengalaman baru.
9. Melewat-lewatkan solat dan tidak solat berjemaah
Sungguhpun banyak lagi amalan agama lain yang boleh dititikberatkan seperti membaca al-Quran, berzikir, menderma dan berpuasa sunat; tetapi ketahuilah, solat itu tiang agama. Sekiranya tiangnya tidak teguh, masakan binaan tersebut kukuh, bukan?
Solat itu penting terutamanya untuk menegah kita dari melakukan perkara yang mendatangkan dosa. Saya akui, saya sendiri bergelut untuk berusaha solat di awal waktu. Pasti ada sahaja perkara yang tiba-tiba urgent untuk dilakukan sehingga melalaikan saya. Sekiranya kita mahu anak-anak menjadi anak yang soleh dan menjaga solat, paling utama, semuanya harus bermula dengan diri kita dahulu.
Selain itu, solat berjemaah adalah pengikat kasih dan hubungan sesama ahli keluarga. Amalkan solat berjemaah setiap kali bersolat. Nescaya, Allah akan merahmati dan memberkati keluarga anda, inshaAllah.
Pengajarannya: Bak kata pepatah, “memimpin melalui teladan”. Kata-kata, nasihat pada anak-anak dan menghantar mereka ke sekolah agama tidak cukup, selagi kita sendiri tidak mengamalkannya.
10. Tidak mengucapkan ‘I Love You’.
“I love you.” atau “saya sayang awak”. Tiga perkataan yang tampak mudah, tetapi susah untuk diucapkan oleh kebanyakan ibu bapa terutamanya kaum bapa. Mungkin bukan budaya kita, atau mungkin sahaja ramai ibu bapa berpendapat “perbuatan yang ditunjukkan adalah lebih baik berbanding sekadar kata-kata ucapan”.
Benar pebuatan itu penting, tetapi anak-anak kebanyakannya tidak tahu andai kata kita sendiri tidak memberitahu mereka. Anak-anak tahu betapa anda sayangkan mereka sama ada secara perbuatan dan luahan kata-kata merupakan antara hadiah terindah yang boleh diberikan kita kepada mereka.
Pergilah. Beritahu mereka anda menyayangi mereka – tidak kira anak anda sudah meningkat remaja atau masih dibuaian.
Pengajarannya: Buangkan rasa ego atau malu dan luahkan perasaan sayang anda pada anak-anak.
Semoga bermanfaat. Wassalam :)
Kredit gambar: Mike Franks, Cool Fundamentalist, Marwa Morgan
sumber: www.bidadari.my

You Might Also Like

1 comments

  1. Huhu hampir semua kena kat diri sendiri... kadang-kadang cuba nak perbetulkan tapi terbuat jugak..

    ReplyDelete

"Semua artikel dalam blog ini dikongsikan untuk tujuan ilmu pengetahuan dan masih boleh dibincangkan & dipersoalkan kebenarannya. Ketepatan & kesahihan maklumat dalam blog ini perlu dibandingkan dengan sumber-sumber lain agar tidak terjadi anggapan penyebaran maklumat palsu atau fitnah. Sebarang maklumbalas berkaitan boleh diajukan kepada Abe di queachmad [at] queachmad [dot] com"


Search Blog QueAchmad