Sunday, 26 June 2016

[EKSKLUSIF] KRONOLOGI KES PENDERAAN | Adik Mohamad Daniel Mohamad Nasser



Al Fatihah 😭😭😭

SINGAPURA: Setiap hari selama lima minggu, Mohamad Daniel Mohamad Nasser, 2 tahun, menderita dek didera ibunya sendiri dan teman lelaki wanita itu.

Setiap hari juga, pasangan itu menendang, menampar dan memijak Daniel, dan memaksa budak itu berdiri selama berjam-jam lamanya sambil meletakkan kedua-dua tangannya di atas kepala - dengan hanya memakai lampin.

Mereka juga memaksa anak kecil berusia 2 tahun itu makan cili kering.

Perbuatan tidak berhati perut itu terbongkar juga apabila kanak-kanak itu akhirnya meninggal dunia akibat kecederaan teruk selepas lima minggu didera, pada 23 November 2015.

Ibu mangsa, Zaidah, 41 tahun, dan teman lelakinya, Zaini Jamari, 46 tahun, mengaku bersalah hari ini (23 Jun) - masing-masing atas satu tuduhan menyebabkan kecederaan teruk hingga menyebabkan kematian, dan tiga tuduhan penderaan kanak-kanak.

Pasangan itu bersama bayi mereka yang berusia 1 tahun dan Daniel, iaitu anak lelaki Zaidah hasil perkongsian hidup sebelumnya dengan lelaki lain, tinggal bersama di flat satu bilik di Telok Blangah. Dua lagi penghuni lain turut menyaksikan penderaan itu.

Lagi 26 dan 18 tuduhan penderaan kanak-kanak ke atas pasangan tersebut, yang kedua-duanya pekerja pembersihan, akan diambil pertimbangan apabila mahkamah menjatuhkan hukuman pada 15 Julai ini.

PENDERAAN YANG "KEJAM DAN TIDAK BERPERIKEMANUSIAAN"

Di mahkamah hari ini, Timbalan Pendakwa Raya, Claire Poh menyifatkan "penderaan fizikal, mental dan emosi" terhadap kanak-kanak dua tahun yang "tidak boleh mempertahankan diri sendiri" itu sebagai "kejam dan tidak berperikemanusiaan."

Mahkamah diberitahu bahawa dalam satu insiden pada 18 November 2015, budak itu tertidur ketika berdiri dengan tangannya di atas kepala. Melihat keadaannya itu, ibunya mula menampar muka dan dada budak itu untuk mengejutkannya dari tidur.

Rakannya yang tinggal dalam flat yang sama melihat darah mengalir dari mulut budak itu apabila ibunya menderanya.

Budak lelaki itu terjatuh ke lantai, dan Zaidah memintal kedua-dua tangan anaknya itu dan memijaknya.

Dia kemudian mengangkat budak itu ke tandas dan menukar lampinnya, sebelum memaksanya terus berdiri dengan tangannya diletakkan di atas kepala, kata DPP Poh di mahkamah.

PIJAK DADA ANAK & DITAMPAR

Pada 22 November, iaitu sehari sebelum kematiannya, Daniel didera selama berjam-jam lamanya.

Sekitar 10.00 pagi, apabila budak itu enggan makan sarapan, Zaidah menamparnya. Dia memberikan mangkuk sarapan itu kepada Zaini, teman lelakinya, yang cuba memberi budak itu makan.

Apabila mangsa tetap enggan makan, kedua-dua Zaidah dan Zaini menamparnya beberapa kali dan wanita itu juga memukul bahagian belakang tubuh budak itu, hingga mangsa terjatuh ke lantai. Apabila Daniel tidak bangun dari lantai, Zaidah memijak dada anaknya itu sebelum menarik lengannya.

Budak itu makan dua atau tiga sudu makanan, namun enggan makan lebih banyak daripada itu. Dia kemudian disuruh berdiri di satu sudut.

Sekitar 7.00 malam pada hari itu, kanak-kanak itu sandar pada katil kerana letih setelah berdiri sepanjang hari. Apabila pasangan itu melihat keadaan budak itu, mereka menampar Daniel, yang baring di atas lantai dan menutup matanya.

Zaini membawa budak itu ke dapur dan memaksanya makan dua sudu cili kering, sebelum memaksanya terus berdiri di ruang tamu.

PERUT DANIEL DIPIJAK, KEPALA TERHENTAK KE LANTAI

Pada sekitar 8.45 malam kemudian, Daniel menjadi lemah dan tidak mampu terus berdiri. Ibunya mencubit tubuhnya dan pipinya dan menamparnya beberapa kali.

Mahkamah diberitahu Zaidah menyangka budak itu berpura-pura lemah dan mengadu kepada teman lelakinya.

Zaini menampar budak itu, memijak perutnya hingga Daniel terjatuh ke lantai dan terhentak kepalanya. Zaini kemudian memaksa budak itu makan cili buat kali kedua hari itu.

Keesokan harinya, pasangan itu tidak mampu mengejutkan budak itu, dan dua rakan mereka yang tinggal bersama mereka menelefon ambulans. Daniel disahkan meninggal dunia pada 9.11 pagi.

PASANGAN PULANG TONTON TV SETELAH SOAL SIASAT

Apabila ditanya para paramedik dan polis mengapa tubuh mangsa berlebam-lebam, pasangan itu berbohong dan berkata budak itu biasa mencubit dirinya sendiri, dan jatuh tersungkur di tandas.

DPP Poh berkata pasangan itu tidak menyesali tindakan mereka itu dan menyeru mahkamah menjatuhkan hukuman penjara sekurang-kurangnya sembilan tahun dan 12 kali sebatan untuk Zaini serta hukuman penjara lebih berat untuk Zaidah.

Pendakwa raya itu berhujah bahawa pasangan itu lebih mementingkan untuk melindungi diri sendiri dan langsung tidak mengendahkan tragedi yang berlaku itu. Bahkan, kata DPP Poh, pasangan itu pulang ke rumah dan menonton televisyen setelah disoal siasat polis tentang kematian budak itu.

DANIEL ALAMI LEBIH 40 KECEDERAAN

Pendakwa raya mengambil masa beberapa minit untuk membacakan di mahkamah senarai lebih 40 kecederaan yang didapati pada tubuh mangsa semasa bedah siasat. Mangsa juga didapati mengalami keretakan tulang rusuk dan pendarahan dalam otak.

Hakim Daerah Bala Reddy mengarahkan pegawai mahkamah menunjukkan kepada pasangan itu, yang berdiri bersebelahan satu sama lain di kandang tertuduh, gambar-gambar kecederaan yang mereka lakukan sendiri kepada Daniel, yang dipetik setelah budak itu meninggal dunia.

Namun, pasangan itu tidak menunjukkan sebarang reaksi, kata hakim, yang menunjukkan mereka tidak menyesali perbuatan mereka itu. Apabila ditanya sama ada mereka mahu berkata apa-apa, kedua-dua mereka mengambil kesempatan itu untuk merayu dijatuhi hukuman lebih ringan.

Atas kesalahan menyebabkan kecederaan teruk hingga menyebabkan kematian, pasangan itu boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan didenda atau disebat.

Atas kesalahan penderaan kanak-kanak, mereka boleh dipenjara sehingga empat tahun dan/atau didenda sehingga S$4,000 bagi setiap tuduhan.
- CNA/nd

3 comments:

  1. Mcm manalah mak kandung sendiri tergamak dera anak sekecil tu. Apalah dosa anak tu.

    ReplyDelete
  2. Subhanallah...moga keduanya menerima hukuman setimpal dengan perbuatan..amin...

    ReplyDelete
  3. SEDIHNYE HAI TERBYG PENDERITA KANAK2 KECIL TU ....

    ReplyDelete

"Semua artikel dalam blog ini dikongsikan untuk tujuan ilmu pengetahuan dan masih boleh dibincangkan & dipersoalkan kebenarannya. Ketepatan & kesahihan maklumat dalam blog ini perlu dibandingkan dengan sumber-sumber lain agar tidak terjadi anggapan penyebaran maklumat palsu atau fitnah. Sebarang maklumbalas berkaitan boleh diajukan kepada Abe di queachmad [at] queachmad [dot] com"