Kasih Dan Pengorbanan Seorang Bapa. Si Bapa Hanya Tengok Anak² Makan Makanan Sedap, SEDIH !!! | Mata kedua-dua anak perempuannya tertumpu pada makanan segera enak di hadapan mereka. Si ayah pula dilihat merenung ayam goreng pada tangan anak perempuan di sebelahnya.
Situasi di sebuah restoran makanan segera di Filipina ini tersebar luas apabila ramai yang bersimpati dengan si ayah yang hanya mampu melihat kedua-dua anaknya menikmati hidangan enak di restoran itu.
Gambar tersebut diambil oleh Jhunnel Sarajan, seorang pakar hartanah yang kebetulan berada di situ. Jhunnel kembali ke restoran yang sama pada keesokan harinya untuk mengenali keluarga itu apabila ramai yang menyatakan niat mereka untuk membantu.
Melalui perbualannya dengan si ayah tersebut, dia mendapati si ayah itu merupakan seorang pesakit strok yang membesarkan kedua-dua anak perempuannya seorang diri.
Si ayah tersebut bernama Ryan Arebuabo. Lelaki berusia 38 tahun ini tinggal di teratak seluas 4 meter persegi yang diperbuat daripada papan lapis terpakai dan logam berkarat. Tergantung di sebelah pintu rumahnya ialah gambar dua cahaya matanya, Rose May dan Rose Ann.
Ryan diserang penyakit strok empat tahun lalu sewaktu dia masih bekerja menjual jagung rebus di kawasan perumahannya. Katanya dia tidak pernah menjalani sesi terapi. Kali terakhir dia menemui doktornya ialah tiga tahun lalu.
Disebabkan keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan, Ryan tidak mampu bekerja selama beberapa bulan setelah dia keluar dari hospital. Separuh badannya lumpuh dan dia mengalami kesukaran bertutur.
Isterinya pula meninggalkannya dan membawa kedua-dua anak mereka bersama.
Walaupun Ryan tidak dapat memujuk isterinya untuk kembali, dia berjaya mendapatkan hak penjagaan ke atas kedua-dua anaknya.
Kesukaran yang dihadapinya tidak menghalang bapa berdedikasi ini untuk menyara anak-anaknya dan menghantar mereka ke sekolah. Rose May dan Rose Ann kini bersekolah di sekolah rendah Jose Corazon De Jesus.
Ryan ialah penerima sumbangan program Pantawid Pamilyang Pilipino, sebuah inisiatif kerajaan yang memberikan wang tunai kepada golongan miskin di Filipina.
Setiap beberapa bulan, Ryan akan menerima sumbangan sebanyak P2,2oo (RM194.55) yang digunakannya untuk membeli keperluan anak-anaknya.
Ryan juga menerima sumbangan berbentuk sebuah gerai mobil yang digunakannya untuk membuka sebuah kedai mudah beli yang menjana pendapatan sebanyak P100 (RM8.84) ke P200 (RM17.69) sehari.
Setiap hari, Ryan akan bangkit pada pukul 5 pagi untuk menyiapkan anak-anaknya ke sekolah. Pada satu tengah hari, dia membawa mereka ke sebuah restoran makanan segera untuk meraikan hari pengijazahan anaknya Rose Mae yang akan beralih ke sekolah rendah.
Di awal usianya, Ryan telah pun mempelajari nilai kasih sayang seorang ayah kepada anaknya. Ayahnya juga merupakan seorang bapa tunggal yang menyaranya empat beradik dahulu. Ibu Ryan meninggal dunia setelah melahirkan adiknya yang bongsu.
Menurut Ryan, tanggungjawab seorang bapa tidak terhenti setakat menyara anak-anak. Seorang bapa juga perlu memastikan cita-cita anak mereka tercapai.
Kata Ryan lagi, dia mahu membuktikan kepada bekas isterinya serta seluruh dunia bahawa dia masih mampu menjadi seorang ayah yang baik walaupun menghidap penyakit strok.
Ryan percaya satu hari nanti, dia dan anak-anaknya akan bangkit dari kemiskinan yang merundungi mereka.
Sumber: FB Jhunnel Sarajan & Era Baru
sumber: GuaBlog.com
No comments:
Post a Comment
"Semua artikel dalam blog ini dikongsikan untuk tujuan ilmu pengetahuan dan masih boleh dibincangkan & dipersoalkan kebenarannya. Ketepatan & kesahihan maklumat dalam blog ini perlu dibandingkan dengan sumber-sumber lain agar tidak terjadi anggapan penyebaran maklumat palsu atau fitnah. Sebarang maklumbalas berkaitan boleh diajukan kepada Abe di queachmad [at] queachmad [dot] com"