Wednesday, 18 April 2018

Apa Itu Kereta Recon?

Sering kita dengar terma kereta recon, kan? Apa maknanya?
Orang awam faham, kereta recon membawa maksud, kereta import terpakai belum berdaftar.
Dasar Automotif Nasional secara teknikalnya belum wujud pada ketika Tun M mengambil alih tampuk pemerintahan negara. Regulasi sektor automotif dilakar di bawah plan induk besar Dasar Ekonomi Baru (DEB) untuk membantu usahawan Bumiputera lebih kompetitif bersaing khusus di dalam sektor automotif.
Untuk adik-adik generasi mellinial yang samar-samar DEB, matlamat DEB adalah untuk merapatkan jurang ekonomi kaum Bumiputera dengan kaum Cina. Setelah tercetus perang kaum 13 Mei 1969, kerajaan terpanggil untuk meletakkan kawalan ke atas sistem dagang dan pasaran terbuka, walaupun Malaysia asasnya mengamalkan kapitalisme lassiez-faire, free-for-all. Kononnya tidak akan Melayu tertinggal di belakang lagi.
Melayu dan Bumiputera, melalui konsep pecah-perintah British, telah dipindah-lokasi dibiarkan di kawasan kampung tanpa diberi peluang dan gesaan urbanisasi. Melayu kekal dengan kerjaya agraria, menjadi petani, nelayan atau bekerja sebagai kuli British di dalam struktur pengurusan kerajaan.
Bangsa Cina yang telah lama berniaga dan dibawa British untuk melombong bijih menjadi kaya dengan hasil dagang. Setelah British meninggalkan Malaya, peniaga Cina membeli perniagaan dan dealership jenama-jenama import dan berterusan menjadi pembekal barang-barangan secara monopoli individu atau oligopoli berkumpulan.
DEB mensasarkan pemegangan Melayu di dalam sektor perniagaan sebanyak 18% perkongsian pasaran sahaja. Contoh, di dalam 100 cawangan dealer Audi, mesti ada sekurang-kurangnya 18 dealer Melayu, minima. Kayu ukur termudah adalah rujukan market capitalisation syarikat-syarikat berstatus Bumiputera yang disenaraikan di Bursa Malaysia. Jika nilai kapital pasaran umum semasa Bursa Malaysia adalah RM200bilion, syarikat Bumiputera harus mencatatkan nilai enterprise semasa mereka sebanyak RM3.6bilion.
Sebab itu diwujudkan PNB, LUTH, LTAT, MARA dan berpuluh unit amanah Bumiputera yang diuruskan oleh pengurus dana profesional, adalah supaya Melayu secara kolektif mampu memiliki bisnes. Diwujudkan juga GLC (government-link companies) seperti Telekom Malaysia (TM), Tenaga Nasional Berhad (TNB), MAS, BCHB, UEM, Proton, Pos Malaysia, MAHB di bawah Khazanah; Maybank, Sime Darby, Golden Hope, Guthrie, UMW dan CCM di bawah PNB, Affin Holdings dan Boustead di bawah LTAT, MRCB dan MBSB di bawah EPF, dan BIMB dan TH Plantations di bawah LUTH, adalah supaya golongan profesional Bumiputera mampu berkhidmat sebagai pekerja kolar biru hingga ke peringkat pengurusan tertinggi.
Berbalik ke sektor automotif pula. Melayu tertinggal di belakang kerana semua jenama-jenama pembuat, pengimport alat ganti dan aktiviti import-edar-jual dan servis selepas-jualan didominasi oleh peniaga Cina. Maka, Tun Mahathir pun mengarahkan MITI dan KPDNKK melakar regulasi bertujuan supaya penglibatan Melayu di dalam industri automotif dipertingkatkan.
Lahirlah sistem import dengan AP atau Permit Import pada sekitar awal 1982-1983. Melayu yang layak diberi permit untuk mengimport kenderaan terpakai Jepun, UK dan negara RHD. Jika kenderaan lama yang dibeli di dalam kondisi buruk atau junk, mereka boleh hidupkan industri sampingan rekondisi, pembaik-pulih paint & bodywork, elektrikal dan interior refurbishment. Kereta-kereta dibaik-pulih inilah dipanggil RECONDITIONED CARS atau terma urban KERETA RECON. Tetapi yang sebenarnya, hampir semua kereta yang diimport adalah di dalam keadaan baik belaka tanpa perlu di-recon-kan pun.
Sepatutnya pengimport Melayu yang menjadi kaya disuap (walaupun bermerit, tetapi ramai bersebab know-who), berjaya mewujudkan ramai pengusaha Bumiputera di dalam sub-sektor ini. Tetapi gagal kerana ramai lebih memilih untuk menjual AP kepada pengimport Cina yang membantu bangsa mereka untuk membuat number plate, runner JPJ, tinting, balancing-alignment, in-car entertainment, cat, bodywork, electrical-electronics dan servis mekanikal total.
Maka, usaha membantu Melayu secara tuntas gagal. Yang kaya hanya puak Melayu yang mendapat keistimewaan terhad ini sahaja. Masyarakat-niaga Cina kaya bergandaan kerana meraka mampu dan bijak memperluaskan industri dimonopoli bangsa meraka juga. Mereka tidak bersalah. Mereka hanya opotunis.
Melayu sektor pembinaan pun sama. Dapat projek untuk total sub ke Cina. Melayu petani dapat baja subsidi bukannya mahu bertani menjual hasil tanaman, seronok menjual baja rupanya. Nelayan pula jual permit menangkap ikan ke bangsa asing. Kemudian bercakap tentang masalah bangsa dan pereputan nilai moral dan agama. Macam bagus.
Panjang saya tulis dan umpan saya adalah tajuk santai supaya ada engagement. Saya harap kita semua boleh mengambil pengajaran supaya tidak menjadi melayu-melayu lama yang gemar kaya segera disuap subsidi dan AP kemudian sombong umpama meraka hebat teknikal dan banyak menyumbang kepada negara dan anak bangsa. Saya ulang, macam bagus.
sumber: Irwan Sanei

No comments:

Post a Comment

"Semua artikel dalam blog ini dikongsikan untuk tujuan ilmu pengetahuan dan masih boleh dibincangkan & dipersoalkan kebenarannya. Ketepatan & kesahihan maklumat dalam blog ini perlu dibandingkan dengan sumber-sumber lain agar tidak terjadi anggapan penyebaran maklumat palsu atau fitnah. Sebarang maklumbalas berkaitan boleh diajukan kepada Abe di queachmad [at] queachmad [dot] com"