Sakit gigi adalah sakit yang akan menyerang gigi sesiapa sahaja termasuk kanak-kanak dan ia sangat dibenci oleh semua orang di dunia ini. Serangannya tidak mengira masa sama ada waktu makan atau bila-bila sahaja yang membuatkan pesakit hilang tumpuan untuk melakukan kerja dan aktiviti seharian.
Terkadang sakit gigi sampai ke kepala dan telinga dan apakah penyebab sakit yang kita rasai itu terus menerus? Adakah makanan penyebab kesakitan pada gigi kita? Makanan adalah satu faktor yang menjadikan gigi sakit kerana sisa makanan yang tertinggal pada gigi diurai oleh kuman bakteria.
Siapa yang boleh tahan jika gigi sakit dan gusi berdenyut tak terkata? Lebih-lebih lagi kalau gigi berlubang besar memang sangat sakit ditambah dengan gusi bengkak. Biasanya, gigi geraham sama ada atas atau bawah yang sering sakit dan berlubang yang menyebabkan gusi membengkak dan mungkin mempunyai ulat gigi yang menjadi punca kesakitan.
Kalau boleh ingin saja hentakkan kepala ke dinding atau cabut terus gigi yang sakit itu dengan menggunakan apa saja alat yang ada dengan niat supaya kesakitan itu hilang dengan cepat. Lebih parah lagi, semua orang yang ada nak saja dimarah-marahkan. Betul?
Tapi bagaimana cara untuk menghilangkan sakit gigi yang kuat dengan berkesan? Biasanya jika pergi ke klinik atau ubat yang dibeli di farmasi adalah ubat tahan sakit sahaja memandangkan gigi belum boleh dicabut kerana sedang sakit.
Tetapi, cara perubatan sakit gigi menggunakan ramuan herba asli yang semulajadi atau secara tradisional juga tidak kurang hebatnya kerana ia juga telah membuktikan keberkesanannya yang mampu mengatasi rasa sakit gigi yang teruk.
Malah, menerusi laman CNN Indonesia, seorang pengusaha kosmetik dan jamu yang dikenali sebagai Martha Tilaar turut mengatakan bahawa bunga cengkih adalah salah satu ubat tradisional yang mampu mengubati sakit gigi dengan berkesan.
Beliau turut mengakui petua ini adalah yang terbaik dengan menggunakan bunga cengkih sewaktu berkumur dan sehingga kini beliau masih mengekalkan serta mengamalkannya dan giginya juga masih kuat sampai sekarang, katanya.
Berikutnya adalah salah satu cara menghilangkan sakit gigi dengan cepat dan mujarab menggunakan bunga cengkih dan daun salam seperti yang disarankan oleh Martha Tilaar yang telah menggunakan cara ini untuk mengatasi kesakitan pada giginya sebelum ini.
Petua Hilangkan Sakit Gigi Tanpa Ubat
Bahan-Bahan:
3 biji bunga cengkih
5 helai daun salam
Air secukupnya
Cara Membuatnya;
1. Terlebih dahulu anda harus memanaskan air secukupnya sehingga mendidih
2. Masukkan helaian daun salam dan bunga cengkih ke dalam periuk. Sila rebus sehingga air rebusan tersebut mendidih dan mengeluarkan aroma wanginya.
Cara Menggunakan;
Air rebusan tersebut haruslah digunakan untuk berkumur pada setiap waktu sebelum tidur. Kumurlah beberapa kali ketika air menjadi suam, insha Allah kesakitan itu semakin berkurangan.
Senang bukan? Tidak salah rasanya jika kita mencuba sebagai ikhtiar untuk menghilangkan kesakitan pada gigi sebelum mengambil sebarang ubat-ubatan lain.
Walau bagaimanapun, keberkesanan selepas menggunakan petua ini adalah dikatakan berbeza pada setiap orang. Mungkin kesakitan itu hilang dengan cepat dan mungkin juga lambat di atas sebab faktor-faktor lain yang harus diambil kira. Apa yang lebih penting adalah berikhtiar agar kesakitan yang menyakitkan itu segera hilang dan berkurang.
Sebenarnya, masih banyak lagi petua dan cara untuk menghilangkan sakit gigi tanpa ubat iaitu dengan kaedah tradisional dengan guna bahan-bahan semulajadi yang mudah kita dapati dari rumah. Berikutnya kami kongsikan beberapa petua mudah yang mungkin dapat hilangkan sakit gigi anda dengan segera.
Ubat Sakit Gigi Cara Kampung
1. Air garam juga boleh digunakan dengan cara berkumur iaitu sesudu kecil garam dicampurkan dengan secawan air suam. Kacau dan kumurlah sehingga hilang kesakitan dan pastikan jangan sampai tertelan.
2. Minyak gamat juga boleh digunapakai dengan letakkan minyak gamat pada putik kapas lalu disapukan ke bahagian yang sakit itu.
3. Listerine juga dapat membantu menghilangkan plak gigi yang dilihat sebagai antara punca dan penyebab terjadinya gejala sakit gigi. Kumur dan basuh gigi sehingga bersih dengan 3 kali sehari.
4. Air rebusan sirih tua juga boleh anda guna untuk kurangkan sakit gigi dengan mengambil 10 helai daun sirih yang direbus bersama 5 ke 6 gelas air. Kemudian tapiskan lalu dikumur dan pastikan sakit itu hilang.
5. Mungkin ramai yang belum tahu tomato juga berguna untuk kurangkan kesakitan gigi dan gusi kita. Malahan ia juga mampu mengeluarkan ulat gigi sekiranya gigi anda itu dimakan ulat. Anda hanya perlu memasukkan buah tomato muda yang dibelah dua kepada bahagian gigi yang sakit lalu digigit.
Selepas mengigit, anda perlu berkumur dengan air bersih. Sekiranya petua ini sangat sesuai dengan anda, pastinya sakit gigi anda itu akan hilang dengan cepat.
6. Bawang putih boleh juga digunakan dengan hiris nipis dan ditampalkan pada bahagian sakit itu. Anda perlu membiarkan tempelan gigi bersama bawang putih itu sekurang-kurangnya selama satu jam dan kemudiannya anda lihat sendiri kesannya. Insha Allah akan hilang.
Doa Untuk Rawatan Sakit Gigi
Berikutnya kami kongsikan beberapa ayat Al-Quran yang boleh dijadikan penawar dan amalan bagi mengurangkan sakit gigi mengikut cara Islam. Anda boleh amalkan doa ini dengan kerap sebagai cara cepat untuk menyembuhkan kesakitan yang dialami. Insha Allah pasti ada penyembuhan jika kita membaca dengan yakin.
Sesungguhnya, sakit gigit itu amat menyakitkan dan menyeksakan dan jangan biarkan kesakitan itu berpanjangan serta berlarutan. Dapatkan nasihat daripada doktor dengan pergi ke klinik gigi untuk mendapatkan rawatan gigi yang terbaik. Mungkin gigi anda masih lagi dapat diselamatkan.
Selalulah gosok gigi mengikut waktu dan cuci dengan bersih, pasti anda jarang sakit gigi jika gigi, gusi dan mulut sentiasa dijaga. Jangan biarkan bakteria membiak di dalam mulut anda, mari membasmi dan mencegah kuman yang ada dalam gigi. Mulai hari ini, anda harus menggosok gigi dengan kerap pada setiap hari. Semoga bermanfaat. - koleksiviral.com